- Pembina motosikal buatan khas Jepun, Doremi telah memperagakan motosikal Kawasaki Z900RS 2018 cas lampau karyanya semasa Pertunjukan Motosikal Tokyo baru-baru ini.
- Diberi nama Kawasaki Z900RS MkII, motosikal tersebut telah diterapkan dengan lebih banyak penggayaan retro dan juga penambahbaikan prestasi.
- Pengecas lampau MS- Sailing telah dilengkapkan kepada motosikal tersebut, beserta dengan pelbagai kelengkapan buatan khas yang lain.
Salah satu helah yang telah lama digunakan oleh para pengeluar bagi meningkatkan lagi tarikan pada jentera keluaran terbaru mereka adalah dengan memberikan jentera tersebut kepada para pembina motosikal buatan khas sebelum ianya dilancarkan secara rasmi. Tiada bezanya bagi motosikal Kawasaki Z900RS 2018, dan sewaktu acara Pertunjukan Motosikal Tokyo 2018, terdapat motosikal-motosikal Z900RS buatan khas diperagakan di bawah projek “Beyond Z”.
Salah sebuah daripada motosikal buatan khas ini telah menarik perhatian kami dengan tarikannya yang lebih retro lagi, dan pada masa yang sama, masih mengekalkan aura ‘sado’nya. Dibina oleh pembina motosikal buatan khas Jepun yang bernama Doremi, motosikal Z900RS-nya itu mengambil lebih banyak ilham dari motosikal legenda Z1 atau “Zephyr” dari tahun 1970-an.
Hasilnya? Sebuah motosikal Kawasaki Z900RS dengan rupa paras super retro yang dilengkapi dengan sebuah pengecas lampau! Doremi menggelarkan jentera ini Kawasaki Z900RS MkII, yang mana daripada mengkhususkan motosikal ini menjadi sesuatu yang asing sama sekali, dia dengan jayanya telah mengambil ke semua bahagian terbaik motosikal Z900RS dan menjadikannya lebih baik.
Kebanyakan pembina motosikal buatan khas tidak akan mengusik tangki bahanapi, tetapi, bukan lelaki ini. Motosikal Z900RS MkII ini dilengkapi dengan tangki bahanapi, pelana, pelitup sisi, ekzos, madgad hadapan, lampu isyarat, serta bermacam-macam lagi bahagian yang telah dikhususkan. Ekzosnya tampak amat mempersona dengan tatarajah 4-4 yang begitu indah sekali dan dikatakan mempunyai prestasi yang menakjubkan.
Pengecas lampau MS-Sailing dikatakan boleh mendesak enjin empat selari 948cc motosikal tersebut untuk melebihi 109hp dan 98.5Nm tork maksimum. Walaupun Doremi belum secara rasminya menjalankan ujian dyno terhadap motosikal ini, jumlah yang dijangka dikatakan berada sekitar 150hp. Hebat sekali.
Jika ada kemungkinan anda ke Jepun dan ingin mencari seorang pembina motosikal buatan khas, Doremi boleh membantu anda kerana kebanyakan kelengkapan yang ada pada motosikal Z900RS MkII-nya boleh didapati di kedainya (termasuklah roda 18 inci Morris Mag). Bersiap sedialah untuk berbelanja besar kerana ianya bukan murah.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, TEKAN SINI.