Watkins M001 – Motosikal Yang Perlu Anda Lihat Untuk Percaya

  • Jack Watkins adalah orang yang bertanggungjawab di atas pembinaan motosikal buatan khas, Watkins M001.
  • Pensyarah dengan ijazah PhD dalam rekabentuk mekanikal di Gdansk University of Technology ini mengambil masa selama empat tahun untuk merekabentuk bahagian hadapannya sahaja.
  • Penjana keajaiban teknologi ini adalah sebuah enjin BMW R 1150 RT dari tahun 2002.

Apa yang akan anda dapat sekiranya ada seorang lelaki dengan ijazah PhD dalam rekabentuk mekanikal yang bekerja di firma industri Poland dan juga seorang pensyarah/penyelidik di Gdansk University of Technology, memutuskan untuk membina sebuah motosikal buatan khas? Hasilnya adalah sebuah motosikal Watkins M001 dan ianya cukup mengagumkan.

Setelah bertahun lamanya mengkaji intipati rekabentuk, mekanikal, dan asas lanjutan tentang bagaimana motosikal berfungsi, serta ke manakah hala tujunya pada masa yang akan datang, Jack Watkins telah membangunkan sebuah motosikal Watkins M001 yang bermula dengan sebuah idea yang berasaskan enjin BMW R 1150 RT sejukan udara. Rekaan stereng hab tengahnya sahaja telah memakan masa selama empat tahun untuk disempurnakan namun hasilnya cukup menakjubkan sekali.

Dengan bantuan Mateusz Kozlowski dari Moto Spec di Gdansk, hampir keseluruhan bahagiannya telah dihasilkan dengan begitu sempurna sekali bagi menghidupkan visi Watkins. Ratusan komponen perlu dibikin khas bagi membolehkan motosikal Watkins M001 ini berfungsi sebaik yang mungkin. Sesetengah bahagian didapatkan dari sumber luar dan kemudiannya dikhususkan seperti enjin R 1150 RT dari tahun 2002, penyerap hentakan belakang, roda belakang GS, dan roda hadapan Yamaha XJ6 dengan hab yang dicanai.

Melihat pada casis utamanya, Watkins menggunakan dua lapisan keluli potongan laser dan secara asasnya telah melenturkannya mengikut rekaannya. Dengan kepakarannya dalam teknologi 3D, Jack mampu melakukan tugas yang agak mustahil seperti menetapkan titik pautan enjin yang paling sesuai dan mengilangkan ‘jig’nya sendiri untuk mengimpal ke semua bahagian bersama.

Tangki bahanapi sebesar 16 liter juga merupakan satu cabaran yang besar dalam memastikan segala-galanya muat dengan sempurna dalam dimensi motosikal berkenaan. Pembahagian beratnya juga telah diutamakan kerana Watkins mahukan motosikal tersebut untuk lebih condong ke hadapan berbanding ke belakang. Bahagian buatan khas kegemaran kami sudah pasti merupakan sistem ekzosnya yang kompleks di mana ianya mengambil masa selama lima jam untuk dipasang. Dia juga telah mendakwa bahawa bunyi ekzos tersebut membuatkan motosikal itu ‘unik’.

Kami boleh sahaja terus menceritakan segala kehebatannya, tentang bagaimana ianya adalah satu contoh mahakarya teknologi dari segi rekabentuk dan kefungsian, namun, kata-kata sahaja tidak cukup menggambarkan betapa menakjubkan motosikal ini, jadi, apa kata anda belek sendiri gambar-gambarnya di bawah dan nikmati sendiri kehebatan motosikal Watkins M001 ini.

Sumber imej: Watkins by Maciek Bejma

BMW R1250 Global Sport Concept

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]