Arca Dua Roda Bone-X Karya Eastern Bobber

 

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Motosikal Bone-X, hasil karya Eastern Bobber bakal mewakili Malaysia di AMD World Championship of Custom Bike Building di pertunjukan Intermot lewat tahun ini.
  • Kami telah mendapat peluang berjumpa dengan Encik Omar jumiran bagi melihat serta menangkap gambar motosikal tersebut dengan lebih dekat.
  • Ikuti laman kami di mana kami akan membawakan perkembangannya dari masa ke semasa.

Jika kita melihat sebuah motosikal buatan khas tanpa memahami elemen kesenian serta falsafahnya, kita sudah terlepas pandang satu aspek yang besar padanya.Motosikal pengeluaran juga tidak dinafikan adalah satu hasil karya seni, namun kerana dihasilkan dalam skala ratusan ribu, ianya boleh dianggap sebagai salinan bagi satu acuan yang tertentu.

Pembikin motosikal buatan khas pula, berpegang pada falsafah satu: satu-satunya. Yang terbaik. “The One”.

Ianya pasti apa yang telah bermain di fikiran Omar Jumiran, pemilik Eastern Bobber, salah satu pembikin motosikal buatan khas terulung di Malaysia, sewaktu dia mencipta mahakaryanya yang dipaparkan di sini, dikenali sebagai Bone-X.

Motosikal Bone-X tersebut telah meraih buat Omar dan Eastern Bobber sebuah tempat di ‘AMD World Championship of Custom Bike Building’ di pertunjukan Intermot di Cologne, Jerman, yang akan diadakan pada bulan Oktober tahun ini, setelah memenangi sebuah pertandingan yang telah diadakan di Motonation pada awal bulan Disember lalu. Motonation akan membiayai perjalanan Omar ke sana. (TEKAN SINI untuk membaca laporan kami mengenai kemenangan Bone-X di Motonation.)

Eastern Bobber Memenangi Pertandingan Motosikal Buatan Khas di Motonation 2017!

Penulis berjumpa dengan Omar buat kali pertamanya pada dua tahun yang lalu sewaktu meliputi Triumph Malaysia-Art of Speed Invitational Bike Build-Off pada tahun 2015. Eastern Bobber merupakan salah seorang daripada empat finalis pada waktu itu. Bertemu kembali dengan Omar di rumahnya itu, dapat dilihat motosikal ‘signature’ Eastern Bobber, Batbike, serta motosikal ampaian galang dan ‘space-framed’. Terdapat juga arca-arca robot yang bertaburan di sekitar halamannya.

“Saya ingin membina sesuatu yang belum pernah dilihat sebelum ini. Sampaikan saya sendiri tidak dapat menamakan konsep bagi Bone-X ini,” ujar bekas pengimpal besi dan seniman besi tempa itu.

Ianya melalui kemahirannya itulah yang membolehkan Omar untuk membentuk dan mengimpal bahagian-bahagian Bone-X tanpa perlu menggunakan cara pemesinan CNC. Hampir keseluruhan bahagian motosikal ini diperbuat dari keluli, kecuali tayar dan bahagian-bahagian wayar brek dan klac.

Segala-galanya mengenai motosikal ini adalah radikal, bermula dengan dua pegas besar yang terletak di atas tangki bahanapi kecil yang membentuk tulang belakang motosikal ini.

Pegas-pegas dipaut pada tuil bahagian atas suspensi hadapan dan belakang. Apabila diperhatikan dengan lebih teliti, separuh daripada setiap pegas itu adalah gelungan berganda. “Bahagian satu gelungan mengendalikan redaman mampatan, manakala pegas berganda pula mengendalikan lantunan. Tuilnya panjang jadi ia memerlukan keteguhan pegas yang lebih bagi mengampaikan kedua-dua bahagian motosikal,” terang Omar. Pegasnya diletakkan secara rata jadi lebih banyak tekanan pegas diperlukan, berbanding dengan motosikal pengeluaran yang mana penyerap hentakannya dipasang secara hampir menegak.

Walau apa pun, pegas-pegas berkenaan menyumbang kepada rupa yang seakan rusuk.

Omar inginkan rupa yang simetrikal pada kedua-dua hujung motosikal ini, menggunakan roda berdiameter besar, 21 inci. Di mana bahagian belakangnya dipaut pada sebuah lengan ayun satu sisi, bahagian hadapannya telah dipaut pada sebuah hab suspensi stereng-tengah. Palang pemegangnya dipaut pada pemaut menegak suspensi hadapan melalui satu batang keluli di atas titik temu bebola.

“Saya sentiasa tertarik dengan aturcara hab stereng-tengah suspensi hadapan sejak saya melihatnya pada motosikal lumba Elf Honda GP ada tahun 80-an, dikemudi oleh Ron Haslam. Saya masih kecil lagi pada masa itu.”

Omar menambah lagi, “Pada pendapat saya, fork ada kekurangan tersendirinya, oleh itu, atur cara satu lengan telah diterokai bagi menggantikannya. Saya gemar akan Yamaha GTS sewaktu ianya mula dikeluarkan dan saya rasa ianya sayang sekali kerana para pengeluar tidak mengikuti haluan itu.”

Menujuke bahagian lebih bawah, Enjin AJS 1967-nya itu sama ada telah dikromakan atau digilap bagi mengikuti tema keseluruhan berkromanya. Ianya agak mustahil untuk terlepas pandang akan ‘downpipe’ ekzosnya yang disalur melalui ‘vertical member’ kerangkanya itu.

Terdapat sebuah tuil menegak bersebelahan dengan bahagian kiri enjin. Pada mulanya, ramai yang mengagak ianya penukar gear, namun sebaliknya ianya adalah tuil bagi tongkat tengah. “Penukar gear tangan sudah terlalu kerap digunakan oleh ramai orang, jadi saya ingin melakukan sesuatu yang berbeza.”

Aturan ‘powertrain’-nya yang ringkas dan indah itu dipersembahkan untuk tatapan ramai. Pacuan rantai utama mengagihkan kuasa dari aci engkol ke klac kering, yang mana engkolnya itu juga merupakan engkol masukan ke kotak gear. Tetapi Omar telah melakukan sedikit pengubahsuaian pada pacuan akhirnya. “Pada asalnya, pacuan rantai akhir keluar pada sebelah kiri, tetapi saya tidak dapat membuatkannya bergerak di bahagian luar (sisi kiri) roda. Jadi saya pasangkan pacuan akhir itu pada engkol pelahu bagi memacu gegancu pada bahagian kanan.”

Hab roda belakangnya merumahkan gegancu belakang serta cakera brek.

Hasilnya adalah sebuah motosikal yang tampak organik. Bagi Omar serta rakan setaranya, Bone-X tampak bagaikan rangka tetulang, dan dengan itu sesuai dengan namanya. Walau bagaimana pun, bagi orang ramai yang kurang arif, motosikal ini lebih mirip raksasa yang diilhamkan dari konsep biomekanikal H.R. Giger.

Pada pandangan kami, Bone-X tampak cukup sempurna sekali, namun pada mata artisnya sendiri, masih ada yang boleh ditambah lagi. “Seetengah bahagian pada motosikal ini perlu diperkemaskan lagi. Ia tampak baik-baik sahaja di bawah pencahayaan ketika ini, tetapi, kami perlu memperagakan motosikal ini ruangan luar bangunan di Jerman. Ianya pada masa inilah di mana segala kecacatannya ankan lebih terserlah lagi.”

“Saya berharap adanya orang-orang yang baik hati di luar sana yang memahami betapa pentingnya sebuah motosikal buatan Malaysia bertanding secara serius di pertunjukan antarabangsa. Saya tidak mahu memalukan nama negara dengan sebuah motosikal yang masih lagi tidak siap sepenuhnya, dan walaupun ianya sukar untuk saya katakan, saya amat menghargai mana-mana penaja di luar sana yang dapat membantu saya menyempurnakan motosikal Bone-X ini. Sudah tiba masanya kita keluar dari kepompong jaguh kampung,” ujar Omar dengan penuh harapan.

Omar telah dan akan terus memberikan dedikasi sepenuhnya kepada motosikal Bone-X ini, sebagai motosikal “The One” hasil titik peluhnya. Bagi kami dan juga Omar, kami berharap yang Bone-X akan menjadi motosikal “The One” yang mencuri hati para juri antarabangsa dan rakan setara di Jerman nanti.

Ikutilah perkembangan motosikal ini sehinggalah ke pertunjukan Intermot di Jerman nanti.

GALERI GAMBAR

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.