Acara Tahunan Pertama Bikers Invitational Golf Charity Classic (BigCC) 2018

  • Sebuah pertandingan golf telah diadakan dengan tujuan untuk mengumpul dana buat beberapa buah badan kebajikan.
  • Acara tersebut telah dianjurkan oleh Cigaros MX dan Momxys MG.
  • Sejumlah 128 peserta telah mengambil bahagian.
  • Moto Guzzi dan Harley-Davidson Petaling Jaya merupakan sebahagian daripada penaja hadiah.

Kota Seriemas Golf & Country Club, 31 Mac 2018 – Kebanyakan orang menganggap penunggang motosikal hanya terdiri daripada mereka yang meminati motosikal semata-mata, namun, komuniti tersebut sebenarnya terdiri daripada mereka yang berasal dari pelbagai latar belakang dengan minat yang berbeza. Rasa kasih sayang yang membara terhadap motosikal yang menyatukan mereka semua dalam komuniti tersebut.

Menyedari akan hakikat ini, Cigaros MC dan Momyxs MG telah menganjurkan acara tahunan pertama “Bikers Invitational Golf Charity Classic (BigCC) 2018, menghimpunkan para penunggang yang juga penggemar sukan golf.

Pertandingan persahabatan ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana bagi dua buah rumah kebajikan. Rumah kebajikan yang pertama adalah Rumah Pakats yang terletak di Bukit Kerayong, Selangor, di mana ianya di bawah naungan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-anak Islam Tersisih Selangor. Rumah kebajikan tersebut menjaga kanak-kanak yang HIV positif, yatim, dan juga dari keluarga yang daif. Organisasi kedua adalah PJ Caring Homes, yang memberikan penjagaan bagi individu berkelainan upaya mental.

Beberapa buah jenama motosikal terkenal dalam negara juga turut menaja acara ini, antaranya ialah Moto Guzzi Malaysia, Harley Davidson Petaling Jaya, dan Ducati Malaysia. Ducati Malaysia telah menaja sebuah motosikal XDiavel sebagai hadiah untuk peserta yang berjaya melakukan ‘hole-in-one’. Pada masa yang sama, Moto Guzzi Malaysia dan Harley Davidson Petaling Jaya telah menaja beberapa buah hadiah yang menarik dalam cabutan bertuah. Beberapa buah produk juga turut dilelong, di mana hasil yang dikutip akan disumbangkan kepada rumah-rumah kebajikan di atas. Penaja korporat yang lain terdiri daripada Malaysia Airlines, Holiday Villa Subang, Tanjung Rhu Resort Langkawi, Awana Resort, serta Hotel StarCity.

Kota Seriemas Golf & Country Club juga turut menaja dengan menyediakan tempat bagi acara tersebut pada kadar yang amat istimewa.

Sejumlah 128 peserta yang mewakili kelab dan kumpulan motosikal yang berbeza telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, dalam kategori berkumpulan, individu lelaki, individu wanita, dan juga novelti. Ada di antara peserta yang datang dari sejauh Labuan, Singapura, dan juga Brunei.

Sesi cabutan bertuah dan lelongan telah diadakan sepanjang hari. Peserta dan para hadirin yang lain juga turut diberi peluang untuk menunggang uji motosikal Moto Guzzi V9 Roamer dan V7 Stone.

Setelah dikira markah, pasukan Ducati Desmo Owners Club Malaysia telah berjaya bergelar juara, memenangi tiket Malaysia Airlines ke Jakarta, trofi juara, dan pelbagai hadiah yang lain.

Bagi kategori individu wanita, Nor Cilla Omar muncul juara manakala Sura Abdul Rahman mendapat tempat ke-dua.

Sura Abdu Rahman (kanan), Nor Cilla Omar (kiri)

Kedua-dua rumah kebajikan akan menerima RM20,000, yang telah berjaya diraih melalui derma dan hasil lelongan.

Para penganjur acara ini, Cigaros MC dan Momyxs MG, sentiasa bergerak aktif dalam kempen kebajikan kelab mereka. Selain daripada acara ini, mereka juga turut menganjurkan tunggangan amal bagi mengutip dana untuk rumah anak yatim yang lain, bantuan kembali ke sekolah untuk mangsa banjir, makanan untuk gelandangan pada bulan Ramadhan, dan bermacam-macam lagi.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.