KTM 790 Duke 2018 Bakal Tiba Di Malaysia?

  • Ada khabar angin yang telah tersebar mengatakan bahawa motosikal KTM 790 Duke 2018 bakal membuat kemunculannya di Malaysia.
  • Pengedar telah pun mula menerima tempahan untuk motosikal tersebut, yang mana ianya telah dikatakan akan dilancarkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan.
  • Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, kami dapat mengesahkan yang motosikal 790 Duke ini akan disediakan untuk pasaran Malaysia dalam separuh pertama tahun ini.

Sejak pelancaran rasmi motosikal KTM 790 Duke 2018 pada bulan Disember tahun lalu sewaktu pertunjukan motosikal EICMA di Milan, Itali, ramai peminat di seluruh dunia telah tertunggu-tunggu akan kehadiran jentera yang mengagumkan ini dalam pasaran negara masing-masing. Begitulah juga bagi penggemarnya di Malaysia, dan ada sesetengah pengedar sudah mula menerima tempahan bagi jentera kelas pertengahan yang menakjubkan ini.

CA Cycle Advance, yang bertapak di Kajang adalah salah satu daripada pengedar tersebut yang telah mula menerima tempahan dari serendah RM1,000. Walaupun harga rasminya masih belum didedahkan lagi oleh KTM Malaysia pada waktu ini, kami agak yang ianya akan berada di antara RM60,000 hingga RM70,000. Ini untuk memastikan yang pakej mereka tidaklah dianggap terlalu mahal apabila dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya yang lain dari Eropah dan Jepun.

Apa yang dapat kami sahkan di sini adalah motosikal KTM 790 Duke 2018 akan tiba dan para peminatnya tidak perlu tunggu lama untuk memilikinya. Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, jentera naked kelas pertengahan berprestasi tinggi ini dijangka akan membuatkan kemunculan rasminya dalam separuh pertama tahun ini. Jika kami perlu meneka, kami andaikan yang ianya akan tiba sekitar bulan Jun atau Julai (yang mana ianya lebih kurang sama seperti pelancaran motosikal 1290 Super Duke GT pada tahun 2016).

Dengan nama gelaran “The Scalpel”, motosikal KTM 790 Duke 2018 ini didatangkan dengan enjin berkembar selari 799cc LC8c yang dikatakan mampu menghasilkan sehingga 105hp dan 85Nm tork maksimum. Dilengkapi dengan kelengkapan elektronik KTM yang terkini, penunggang akan dapat menikmati spesifikasi seperti kawalan cengkaman sensitif-condong, ABS menyelekoh, kawalan mulaan, ‘auto-blipper’, quickshifter dwi-arah, klac ‘slipper’, skrin TFT pelbagai warna, dan bermacam-macam lagi.

Dan apa yang pasti boleh kami sahkan adalah sebaik sahaja motosikal KTM 790 Duke ini tiba di tanah air kita, ia akan menjadi jentera yang akan mengubah persepsi keseluruhan orang ramai terhadap jenama yang seringkali dikaitkan dengan syarikat keretapi negara kita. bermula saat itu, orang ramai pasti akan terbayangkan 790 Duke yang mengagumkan sebaik sahaja KTM disebut.

Motosikal KTM 790 Duke 2018 Dilancarkan Di EICMA 2017 – “The Scalpel”

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]