MotoGP: Valentino Rossi Akan Bersaing Sehingga Tahun 2020!

  • Valentino Rossi baru sahaja menandatangani sebuah kontrak dua tahun dengan pasukan Movistar Yamaha MotoGP.
  • Ini bermakna juara dunia MotoGP sebanyak sembilan kali itu akan bersaing sehingga akhir musim 2020.
  • Pada tahun 2020, genap 25 tahun kerjaya perlumbaan Rossi, di mana 15 tahun daripadanya adalah bersama Yamaha.

Berita gembira buat para peminat Rossi di luar sana! Valentino telah menandatangani satu perjanjian dua tahun yang baru dengan pasukan semasanya, Movistar Yamaha MotoGP, yang akan menyaksikan penunggang dari Itali berkenaan bersaing sehingga ke hujung musim 2020! Ini juga bermakna menjelang penghujung kontraknya, Rossi telah pun bersaing bersama Yamaha selama 15 tahun dari 25 tahun dalam kerjaya perlumbaannya.


Apa yang bermula sebagai salah sebuah tindakan yang paling berkontroversi dalam sejarah MotoGP apabila Rossi menyertai Yamaha dari pasukan Honda telah menjadi satu titik penting dalam lipatan sejarah. Setelah memenangi kejohanan tahun 2003 bersama Honda, penunggang tersebut telah mengejutkan semua apabila dia memenangi perlumbaan pertamanya di atas jentera Yamaha yang belum terbukti kehebatannya dan akhirnya telah menggondoli kejohanan bagi musim 2004.

Untuk kali ini, kedua-dua penunggang dan pengilang dari Jepun itu berasa yakin yang mereka mampu untuk bukan sahaja tampil berdaya saing, tetapi, mencabar kejuaraan dengan pilihan utama yang lain. Dengan kontrak dan semangat yang diperbaharui, Rossi telah kembali ke cara ‘old school’ dengan rekaan klasik “Sun and Moon” bagi helmet AGV Pista GP R 2018-nya.

Menurut penunggang berusia 39 tahun dari Itali itu, “Sewaktu saya menandatangani perjanjian terdahulu dengan Yamaha, pada bulan Mac 2016, saya terfikir sama ada ianya kontrak terakhir saya sebagai penunggang MotoGP. Pada ketika itu, saya memutuskan untuk membuat keputusan tersebut dalam masa dua tahun yang berikutnya. Dalam masa dua tahun yang lalu, saya telah memutuskan yang saya ingin meneruskannya kerana perlumbaan, menjadi penunggang MotoGP, dan lebih-lebih lagi menunggang jentera M1 saya, adalah perkara yang menggembirakan saya.”

“Mempunyai peluang untuk bergandingan dengan pasukan saya, dengan Silvano, Matteo, dan ke semua mekanik saya, dan bekerjasama dengan ke semua jurutera Jepun, Tsuji-san, dan, yang paling penting sekali, Tsuya-san, adalah penghormatan buat diri saya – saya berasa amat gembira. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yamaha – terutamanya kepada Lin Jarvis dan Maio Meregalli – di atas kepercayaan mereka pada diri saya, kerana ianya cabaran yang menggetirkan: untuk kekal berdaya saing sehingga ke usia 40 tahun!”

“Saya tahu yang ianya pasti sukar dan memerlukan usaha yang keras dari diri saya sendiri, dan juga banyak latihan, namun, saya telah bersedia, Saya tidak kekurangan motivasi, itulah sebabnya saya menandatangani untuk dua tahun lagi,” tambah juara dunia sebanyak 9 kali itu.

Pertarungan musim ini akan bermula pada hari Ahad ini (18 Mac 2018), di mana ini adalah musim yang pertama yang akan menyaksikan adanya penunggang negara dalam setiap kategori. Perlumbaan ini akan dimulakan dengan perlumbaan Moto3 pada jam 9 malam (waktu tempatan), diikuti dengan Moto2 pada jam 10.20 malam, dan MotoGP pada tengah malam.

Marilah kita sama-sama memberikan sokongan buat Adam Norrodin, Khairul Idham Pawi, Zulfahmi Khairuddin, dan, penunggang MotoGP Malaysia yang pertama, mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin!

Sumber: MotoGP

Hafizh Syahrin Sah Akan Bersaing Dalam MotoGP!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]