- Berita yang telah tersebar dalam dunia permotosikalan telah mengandaikan kemunculan semula pengeluar dari Itali, Cagiva pada tahun 2019.
- Dimiliki oleh MV Agusta pada ketika ini, Cagiva akan dihidupkan semula sebagai jenama yang mengeluarkan motosikal elektrik.
- Model terbaru mereka akan dipersembahkan pada lewat tahun ini (kemungkinan paling cerah adalah sewaktu acara EICMA 2019).
Perhatian buat semua peminat Cagiva! Pengeluar motosikal dari Itali tersebut sedang merancang kemunculan semula yang gemilang pada tahun 2019. Pengumuman yang baru dibuat dan yang mengujakan ini telah dibuat bersama dengan pengumuman kehadiran model baru yang akan membuat kemunculan sulung mereka menjelang penghujung tahun ini. Kami andaikan yang kemunculannya itu akan berlangsung sewaktu acara pertunjukan motosikal berprestij tahunan, EICMA di Milan, Itali.
Jenama Cagiva ini cukup dikenali ramai sebagai pengeluar motosikal-motosikal paling ikonik dunia seperti jentera lumba Cagiva Mito, sehinggalah motosikal dwi-sukan Elefant. Walaupun kami berasa amat teruja dengan prospek kemunculan semula Cagiva, syarikat pemiliknya, iaitu MV Agusta, mempunyai rancangan yang berbeza bagi jenama itu. Rancangan yang AMAT BERBEZA.
MV Agusta akan menempatkan jenama Cagiva di bawah satu segmen kenderaan yang belum penah mereka terokai sebelum ini. Menjelang tahun 2019, Cagiva akan mengeluarkan motosikal elektrik! Lebih khusus lagi, sebuah motosikal yang berada di antara e-bike dan motosikal elektrik sepenuhnya yang akan menyaingi syarikat seperti Alta dan Zero.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Giovanni Castiglioni, “Saya percaya akan masa depan (kenderaan) elektrik. Ada satu potensi yang hebat di situ, dan kami sedang melaksanakan sebuah projek dalam segmen tersebut – di bawah satu jenama yang berlainan – iaitu Cagiva. Kami telah melabur dalam sebuah kenderaan ringan yang menyeronokkan, basikal. Kita anggap sahaja yang ianya di antara… yang ianya di bawah satu keluarga. Ianya adalah satu keluarga yang berada di antara sebuah basikal hingga ke motosikal jenis Zero, namun, berbeza.”
Ada juga yang mengandaikan yang Cagiva akan dihidupkan semula sebagai sebuah jenama ‘off-road’ yang mana ianya sesuai sekali dengan kedudukan MV Agusta sebagai pengeluar jentera jalan raya sejati. Jika ramalan itu benar, kita mungkin sahaja akan dapat menyaksikan kemunculan semula yang gemilang model Elefant, dan barangkali ianya muncul sebagai jentera elektrik dan bukannya jentera yang menggunakan enjin pembakaran dalaman.
Jika semuanya berjalan dengan lancar, sudah pasti ini adalah satu langkah yang baik untuk MV Agusta. Kami andaikan yang segmen ini mempunyai potensi yang besar di Eropah, yang jauh lebih hadapan berbanding apa yang ada di negara-negara Asia pada waktu ini. Dan sudah pasti, kami tidak sabar menanti kewujudan jentera Mito janaan elektrik.
Adakah mereka akan melaksanakannya? Kami berharap yang ianya akan berlaku. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.