Tunggangan Pertama: Triumph Bonneville Bobber Black, Tiger 800 XCX, Tiger 800 XRX

  • Triumph Motorcycles Malaysia baru-baru ini telah melancarkan secara rasmi lapan buah model yang baru: Bonneville Bobber Black, Bonneville Speedmaster, dan enam buah varian Triumph Tiger 800.
  • Kami telah berpeluang untuk menunggang uji motosikal Bobber Black, Tiger 800 XCX dan Tiger 800 XRX.
  • Model Tiger 800 XR kini ditawarkan pada harga istimewa RM56,900 (harga asas beserta GST).

Dalam satu langkah yang cukup mengujakan, Triumph Motorcycles Malaysia telah melancarkan bukan hanya sebuah, tetapi, lapan buah model yang baru sekaligus: Bonneville Bobber Black, Bonneville Speedmaster, serta varian Tiger 800 XCX, XCA, XR, XRX, XRX LRH (Low Ride Height), dan XRT.

Pelancaran itu telah diadakan bersempena dengan “Triumph Motorcycles Malaysia’s Grand Dinner” di kawasan peranginan Berjaya Bukit Tinggi. Kira-kira 400 orang pemilik Triumph telah menghadiri acara makan malam tersebut, beserta dengan warga media permotoran negara.

Sila tekan pautan di bawah untuk membaca liputan kami mengenai acara tersebut.

Triumph Bonneville Bobber Black, Speedmaster Dan Tiger 800 2018 Dilancarkan! Dari RM56,900

Warga media permotoran telah pun berkumpul dari awal pagi lagi bagi menguji model-model terbaru ini – Bonneville Bobber Black, Tiger 800 XCX dan Tiger 800 XRX. Kami menunggang dari Pusat Konvensyen Colmar Tropicale turun ke hentian pemeriksaan keselamatan yang pertama dan kembali ke Colmar. Setiap wartawan telah diberikan sebuah model yang tertentu sewaktu turun dan bertukar ke model yang lain sewaktu naik semula.

Sesiapa yang pernah menunggang menaiki jalan Bukit Tinggi pasti sudah arif akan cabaran jalan raya tersebut. Laluannya yang sempit, selekoh yang tajam, keadaan jalan raya yang teruk pada sesetengah bahagian, dan terdapat juga bahagian yang berpasir akibat bawaan hujan yang lebat. Tempat yang cukup menarik sekali bagi menguji pengendalian sebarang motosikal.

Sumber imej: PR Kraft

Walaupun sesi tunggang ujinya singkat, ianya cukup bagi kami untuk membuat tanggapan awal kerana kami telah pun menunggang model sebelumnya, sesetengah darinya melebihi 500km. Walau bagaimana pun, kami pasti akan menjalankan tunggang uji dan ulasan yang lebih mendalam pada masa akan datang, jadi, nantikanlah kemunculannya!

BONNEVILLE BOBBER BLACK

Pertama sekali, motosikal Bobber Black ini bukanlah pewaris kepada motosikal Bonneville Bobber yang teramat popular tersebut, yang mana ianya merupakan model paling laris Triumph dalam sejarah 30 tahunnya.

Motosikal Bobber yang ‘original’ yang telah dilancarkan pada 2016 merupakan sebuah motosikal yang sudah cukup hebat sekali, lengkap dengan pelbagai ciri moden seperti ABS, kawalan cengkaman, pendikit ‘Ride-by-Wire’, klac bantuan tork dan bermacam-macam lagi. Tarikan utama model Bobber tersebut sudah pastinya pelana penunggang terapung. Satu perkataan yang menggambarkan penggayaan motosikal Bobber tersebut: “Attitude”.

Motosikal Bobber Black ini pula, telah mempertingkatkannya lagi. Triumph menggelarnya, “Darker. Meaner. Stronger.” Dan oleh kerana itu, ia berdiri dengan lebih kekar dan agresif.

Roda hadapan 19 incinya itu telah digantikan dengan yang bersaiz 16 inci, dilitupi dengan tayar Avon Cobra saiz 130/90, dibangunkan khusus untuk motosikal ini. Bagi menyokong tayar yang lebih besar itu, ianya disuaikan dengan fork kartrij sebesar 47mm Showa (seperti yang mana sering ada pada motosikal lumba mewah) berbanding yang konvensional sebesar 41mm pada motosikal Bobber.

Selain itu, ianya kini dilengkapi dengan cakera brek berganda yang dicengkam dengan angkup Brembo. Motosikal Bobber Black ini juga dilengkapi dengan kawalan bersiar yang boleh dihidupkan dengan satu butang. Lampu hadapannya kini LED sepenuhnya dan dilengkapi dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL).

Ciri-ciri menarik lain yang ada pada motosikal Bobber Black adalah tema legapnya: Tangki bahanapi, panel sisi, tiub fork, ekzos, enjin, palang pemegang, tuil, hab roda, dan bermacam-macam lagi.

Model Bobber yang asli dengan tayar hadapan 100/90 sudah pasti terasa lebih lincah di sekitar Bukit Tinggi ini, tetapi, motosikal Bobber Black ini juga sama hebatnya. Breknya agak lembut pada tarikan mulaan namun ternyata lebih kuat semakin kuat tuilnya ditarik. Saya andaikan yang pad breknya masih belum serasi sepenuhnya.

Suspensi hadapannya ternyata hebat sewaktu ia menyerap segala kecelaan jalan raya dan tidak terbenam dengan kuat sewaktu pembrekan keras. Ia juga tidaklah menghenjut keras ketika breknya dilepaskan.

Bahagian belakangnya mirip sebuah ‘hardtail’, dan itulah kata kuncinya: mirip; kerana ia terasa semulajadi. Ia berfungsi dengan baik sekali di atas semua permukaan jalan raya, kecuali untuk lubang, tetapi, mungkin sekali lebih baik daripada motosikal-motosikal yang lain (kecuali motosikal Tiger, yang sudah pasti lebih hebat lagi menyerap kecelaan jalan raya). Nama “Bobber” ini melambangkan penggayaan motosikal yang dibikin khusus, bukan kerana motosikal tersebut akan tersenggut-senggut – yang mana motosikal Bobber Black dan Bobber tidak sekali pun pernah melakukannya.

Enjin HT (High Torque). engkol 270 darjah, sejukan cecair 1200cc-nya kekal sama. Ia berfungsi dengan hebat sekali, memecut motosikal tersebut keluar dari selekoh, manakala tindak balas pendikit linear yang sering dikaitkan dengan Triumph ini memberikan anda keyakinan untuk memulas pendikitnya lebih awal lagi. Pada masa yang sama, nota bunyian ekzos yang menderu rendah mengiringi tunggangan anda.

Inginkan sebuah motosikal buatan khusus pengilang yang memperagakan gaya dan karekter, beserta pengendalian yang baik? Motosikal Bonneville Bobber Black adalah pilihan yang tepat sekali. Dan sebelum saya lupa, terdapat lebih daripada 300 buah barangan dalam katalog aksesori Triumph yang boleh anda pilih bagi mengkhususkan lagi motosikal Bonneville anda, jadi, pilihlah yang sesuai dengan citarasa anda.

TIGER 800 XRX, XCX

Kami amat menggemari motosikal Tiger 800 yang sebelum ini.

Kami telah menunggang versi Tiger 800 XR dan XC yang sebelum ini buat beberapa kali dan ianya motosikal adventure-tourer 800cc kegemaran kami, setakat ini. Serba boleh dalam prestasinya, mengisi gaya dan keperluan menunggang yang luas. Cukup baik sekali sehinggakan kami tertanya-tanya bagaimana Triumph akan mempertingkatkannya lagi pada model yang baru ini.

Yang pasti, ianya bukan sekadar pengemaskinian rupa paras sahaja. Bukan itu cara Triumph. Pengeluar dar Hinckley, UK ini telah mengemaskini lebih daripada 200 bahagian pada casis dan enjinnya sahaja. Ini tidak termasuk perubahan, pengemaskinian, rombakan semula komponen, badan motosikal mahu pun ergonomiknya.

Bermula dari hadapan, motosikal Tiger 800 kini mempunyai penghadang angin baru yang boleh dilaras ke lima posisi. Bukan itu sahaja, skrinnya kini dipaut pada empat titik, dan bukannya pada dua sahaja bagi menyingkirkan ‘buffeting’ pada bahagian atasnya. Pengoperasiannya kini hanya menggunakan satu tangan. Selain itu, pemesong angin yang dipasang di bahagian bawah skrin menyalurkan angin menjauhi penunggang.

Untuk keselesaan ergonomik penunggang, palang pemegang kini berada 10mm lebih rapat pada penunggang. Berdiri di atas tempat letak kaki bagi mensimulasikan penunggangan ‘off-road’, apa yang kami dapat lihat hanyalah gugusan instrumen. Ini adalah satu aspek yang bagus bagi sebuah motosikal ‘off-road’, kerana ianya bermakna yang penunggang boleh meletakkan lebih banyak berat di tayar hadapan.

Pelananya terasa lebih selesa dari sebelumnya, atas jasa kompaun pelana yang baru, beserta dengan ‘3D mesh technology’. Pelana penunggang juga boleh dilaraskan untuk dua ketinggian.

Triumph Motorcycles Malaysia telah menyediakan kedua-dua versi XRX dan XCX bagi pihak media untuk acara ini. Dan oleh kerana itu, kedua-dua motosikal ini dilengkapi dengan panel instrumen TFT berwarna penuh, lima inci yang baru, mirip seperti Street Triple RS. Panel tersebut memaparkan segala maklumat yang diperlukan penunggang, termasuklah tolok jangkauan bahanapi yang mengira ke sifar, dan bukannya menjengkelkan kita dengan jumlah kilometer yang direntasi sejak mulanya amaran bahanapi rendah bermula (yang boleh didapati pada motosikal lain). Paparan TFT-nya juga mempunyai ciri ‘Auto Contrast’ yang melaraskan kecerahannya mengikut pencahayaan persekitaran.

Dan oleh kerana paparan TFT tersebut mirip dengan apa yang ada pada Street Triple RS, Triumph juga turut menerapkan kawalan tangan pada motosikal Tiger 800 ini, meletakkan ke semuanya dalam capaian mudah ibu jari penunggang. Menukar mod penunggangan atau mencari sebarang data dikawal menggunakan kayuria lima arah. Penunggang tidak lagi perlu mencapai gugusan instrumen bagi menukar aturcaranya.

Kawalan bersiarnya juga telah dirombak semula, kini tanpa suis ON/OFF utama.

Melihat ke bahagian bawahnya pula anda akan ternampak bahawa brek hadapannya adalah dari Brembo. Ianya beransur-ansur kuat tanpa terlalu mencengkam. Brek yang terlalu mencengkam tidak sesuai sama sekali sekiranya anda menunggang ‘off-road’.

Enjin tiga selari, 800cc-nya itu telah dirombak semula dengan lebih sistem penyejukan jisim terpusat, nisbah gear satu yang lebih rendah, ekzos yang lebih ringan dan alir bebas, alternator yang lebih ringan. dan menanggalkan gear ‘backlash’ dari transmisi.

Perbezaan kedua-dua varian Tiger 800 ini adalah pada kegunaannya: XR yang berorientasikan jalan raya dan XC (Cross Country) yang berorientasikan kembara. Setiap versi ini kemudiannya dipecahkan kepada sub-varian yang lain bergantung pada tahap aksesori dan kelengkapan.

Rangkaian XR terdiri daripada empat buah model: XR asas, tahap pertengahan XRX, XRX LRH (Low Ride Height), dan yang utama, XRT. Rangkaian XR menggunakan roda tempa 19 inci di bahagian hadapan dan 17 inci di belakang, berbanding dengan rangkaian XC yang menggunakan roda berjejari 21 inci hadapan dan 17 inci di belakang.

Model XR asas akan dilengkapi dengan segala kelengkapan baru kecuali brek Brembo, paparan TFT, kawalan bersiar dan mod penunggangan. Ia juga dilengkapi dengan ABS dan kawalan cengkaman.

Model tahap pertengahan, XRX dilengkapi dengan 4 mod penunggangan, kawalan bersiar, LCD 5 inci berwarna penuh, Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED, dan penunjuk isyarat, ‘switchcubes’ dan kayuria lima arah, brek hadapan Brembo, penghadang angin lima posisi, pemesong udara dan pelindung tangan.

XRT pula akan dilengkapi dengan suspensi hadapan boleh laras sepenuhnya Showa, pencahayaan keseluruhan LED, suis-suis ‘backlit’, lima mod penunggangan, tiga gaya skrin LCD tambahan dan pencahayaan LED tambahan.

Bagi rangkaian XC pula, model asas XC dan XCX LRH telah dihapuskan. Rangkain tersebut akan bermula dengan XCX sebagai model asas.

Triumph Motorcycles Malaysia telah menyuarakan hasrat pengeluar tersebut untuk mengembangkan lagi pengaruh mereka dalam arena penunggangan ‘off-road’, dan oleh kerana itu, motosikal Tiger XCX dan XCA telah dilengkapkan dengan beberapa kemaskini yang penting.

Selain daripada ciri utama XRX, model XCX ini bercirikan lima mod penunggangan, termasuklah satu mod baru, “Off-Road Pro”. Dalam mod ini, kawalan cengkaman serta ABS roda belakang akan dimatikan. ABS roda hadapan kekal aktif. Ciri ini membolehkan penunggang untuk mengunci roda belakang dan pada masa yang sama membolehkan tekanan pembrekan maksimum pada roda hadapan bagi mengekalkan kebolehan untuk memandu arah motosikal tersebut. Ianya paling berguna untuk mengunci dan menyeret roda belakang sewaktu menuruni cerun yang tajam, selain menggelongsorkan roda belakang sewaktu di selekoh di atas jalan tanah merah.

Ciri standard lain yang ada pada XCX ini adalah palang pelindungan enjin, pelindung takungan minyak aluminium, dan pelindung radiator.

Bagi XCA pula, model ini mempunyai ciri-ciri sama seperti XCX, beserta beberapa kelengkapan tambahan. Dilengkapi dengan enam mod penunggangan, yang mana salah satu daripadanya boleh diprogram oleh penunggang sendiri; pencahayaan keseluruhan LED, sejumlah enam gaya skrin dalam dua tema; dan pelana dan cengkaman tangan yang dihangatkan.

Jadi, apakah hasil perubahan besar pada Tiger 800 terbaru ini?

Enjin terbaru ini kedengaran berbeza sekali dari awal lagi. Di mana ekzos motosikal terdahulu berbunyi lebih perlahan, bunyi pada motosikal terbaru ini lebih bergema. Enjinnya juga lebih senyap sekarang.

Posisi duduknya juga terasa sama, namun tangan tidak terasa terlalu jauh ke hadapan. Motosikal Tiger 800 yang sebelum ini terasa amat lincah dan perwatakan ini masih kekal sama pada motosikal yang baru ini. Bagaimana pun, motosikal terkini ini terasa lebih stabil, teguh, dan suspensinya terasa lebih ‘ketat’ sewaktu tangkas menangani selekoh. Menukar garis laluan di tengah-tengah selekoh dapat dilakukan tanpa sebarang kerisauan. Tindak balasnya terasa amat semulajadi.

Kebanyakan motosikal yang tinggi dengan ruang gerakan suspensi yang panjang tidak suka dibrek dengan keras memasuki selekoh, terutamanya bagi motosikal yang mempunyai suspensi ‘manual’. Tidak bagi Tiger 800. Anda boleh membrek seagresif yang anda mahu dan motosikal ini sekali pun tidak akan mengelipkan matanya.

Pengagihan bahanapinya terasa amat linear dan enjinnya berfungsi dengan baik sekali. Namun, kesediaan torknya di mana-mana sahaja dalam jangkauan ‘rev’ enjinnya itu yang benar-benar mengasyikkan. Begitu banyak tork sekali, hinggakan saya hanya bermain di gear empat dan lima sewaktu menunggang di Bukit Tinggi. 3,000rpm dalam gear lima bersamaan dengan 60km/j, tetapi, motosikal itu dengan mudah boleh memecut dari bawah 2,000rpm tanpanya tersangkut-sangkut.

Enjin Tiger 800 generasi ketiga ini amat lancar sekali bagi sebuah enjin tiga silinder, tetapi ianya jauh lebih lancar pada motosikal baru ini. Selain itu, ia terasa bagaikan motosikal ini mempunyai klac ‘slipper’, walaupun hakikatnya tidak, oleh kerana tiadanya gear ‘backlash’. Dan oleh kerana itu, memasuki selekoh dan keadaan sewaktu pertengahan selekoh terasa amat lancar sekali.

Ciri-ciri yang memberi keyakinan inilah yang telah membuatkan kami sayang akan motosikal Tiger 800 generasi ketiga, namun, motosikal-motosikal terbaru ini jauh lebih hebat lagi. Dan bukan kami sahaja yang merasakan yang ianya hebat, kerana setiap wartawan permotoran yang ada juga turut terpesona dengannya.

Motosikal Tiger 800 terbaru ini sudah bersedia untuk menggegarkan dunia.

Triumph Motorcycles Malaysia sedang menjalankan promosi pengenalan bagi motosikal Tiger 800 XR yang baru. Ditetapkan pada harga yang menggiurkan RM56,900 (harga asas beserta GST), jadi, segeralah ke bilik pameran mereka untuk menunggang ujinya.

Untuk mendapatkan sebarang maklumat tambahan, layarilah laman Facebook Triumph Motorcycles Malaysia.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]