10,000 Penunggang Motosikal Berkumpul Di Himpunan 2 Roda Bagi Membanteras Rasuah!

  • Lebih daripada 10,000 orang penunggang motosikal telah berkumpul di MAEPS Serdang pada hari Sabtu yang lalu untuk acara Himpunan 2 Roda.
  • Penggemar sukan permotoran dari seluruh negara dan juga dari negara-negara jiran telah menghadiri acara yang disokong oleh SPRM ini.
  • Acara ini juga turut menyaksikan pelancaran kempen 3J dan Street Warriors Against Corruption (SWAC) yang dijalankan bagi membanteras rasuah.

Pada hari Sabtu yang lalu, telah berlangsungnya satu acara besar-besaran yang menghimpunkan lebih daripada 10,000 orang penunggang motosikal dan penggemar sukan permotoran di MAEPS Serdang, iaitu acara Himpunan 2 Roda (H2R). Acara yang telah mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini telah menyaksikan perhimpunan para penunggang motosikal dari pelbagai latar belakang daripada sekitar 100 buah kelab motosikal yang hadir dari seluruh Malaysia.

Dengan matlamat mempromosikan komuniti penunggang motosikal yang sihat serta selamat, tujuan utama yang lain acara ini adalah untuk menangani isu rasuah di Malaysia melalui kesedaran dan juga pendidikan. Acara H2R ini berlangsung dengan jayanya di mana ribuan penunggang motosikal telah mengambil bahagian dalam Ikrar Bebas Rasuah sewaktu acara satu hari itu.

Turut mendapat sokongan badan-badan kerajaan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), usaha bagi mempromosikan negara bebas rasuah telah dipergiatkan dan dipertingkatkan ke tahap yang lebih menyeronokkan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, “Kami cuba menerapkan perubahan dari segi tingkah laku bagi mengelakkan rasuah. Perhimpunan H2R ini melambangkan keperluan bagi generasi muda akan datang untuk berani dan bersemangat dalam melakukan perubahan dan membanteras rasuah.”

Sebelum tamatnya acara hari tersebut dengan persembahan dari artis ternama negara serta pemberian hadiah cabutan bertuah, acara itu juga telah menyaksikan pelancaran dua kempen tersendiri bersempena dengan acara ini. Ianya adalah kempen “Revolusi 3J, yang membawa maksud “Jangan Hulur, Jangan Kawtim, dan Jangan Settle”, bersama dengan kempen Street Warriors Against Corruption (SWAC).

Melihat kepada jumlah penunggang motosikal yang telah menghadirkan diri sewaktu acara berkenaan, sudah pasti kita boleh katakan yang acara Himpunan 2 Roda (H2R) telah berlangsung dengan jayanya sekali.

Himpunan 2 Roda 2018 (H2R) Berlangsung Esok Di MAEPS Serdang!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]