MotoGP: Dani Pedrosa Kuasai Ujian Thailand!

  • Dani Pedrosa (Repsol Honda) telah menetapkan catatan masa yang terpantas di Litar Antarabangsa Buriram sewaktu sesi ujian tiga hari MotoGP di Thailand.
  • Johann Zarco (Monster Yamaha Tech3) tidak ketinggalan jauh di atas jentera Yamaha M1-nya.
  • Marc Marquez (Repsol Honda) menduduki tangga ketiga setelah menyempurnakan lebih daripada 300 pusingan di Litar Antarabangsa Buriram.

Setelah selesainya ujian pra musim MotoGP yang telah diadakan julung kalinya di Thailand, keseluruhan kelompok penunggang MotoGP sudah pun mengetahui selok belok Litar Antarabangsa Buriram. Penunggang yang telah mendapat kelebihan yang paling besar sekali sudah semestinya Dani Pedrosa dari pasukan Repsol Honda.

Jumlah catatan masa keseluruhan dari ketiga-tiga sesi tersebut telah menyaksikan Dani Pedrosa menduduki tangga teratas dengan catatan masa yang mengagumkan iaitu 1:29.781, di mana ianya catatan masa terpantas di atas dua roda di litar berkenaan. Nampaknya, apa yang mereka cuba uji telah membuahkan hasil, termasuklah lengan ayun karbon fiber.

Penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco, tidak jauh ketinggalan di P2 dengan catatan masa yang juga amat menakjubkan, 1:29.867. Penunggang muda kelahiran Perancis itu cukup pantas dan berpuas hati dengan atur cara motosikalnya di sepanjang sesi ujian tersebut.

Kita dapat lihat yang Zarco telah mula menyesuaikan jentera Yamaha M1-nya itu mengikut gaya penunggangannya yang mana ianya ternyata lebih pantas berbanding dengan pasangan penunggang pasukan Movistar Yamaha, Maverick Viñales dan Valentino Rossi.

Marc Marquez berada di kedudukan P3 dengan catatan masa 1:29.969, yang mana telah dia catat pada Hari 2 ujian di Thailand ini. Juara dunia MotoGP 2017 ini dengan sukacitanya telah memaklumkan bahawa pakej 2018 mereka sudah hampir sedia setelah menyempurnakan sekitar 300 pusingan dalam masa tiga hari di Buriram.

Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol) berada di P4 di hadapan penunggang yang menunjukkan prestasi yang menakjubkan, Alex Rins (Suzuki ECSTAR). Rins, bersama dengan jentera Suzuki GSX-RR tunggangannya telah menjalani satu tahap pembangunan yang cukup memberangsangkan dan dia tampak cukup gembira dengan pakej 2018 mereka.

Jack Miller (Alma Pramac Racing) membuat kejutan dengan menjadi penunggang Ducati terpantas di Thailand, menduduki anak tangga P6 dengan catatan masa 1:30.185. Andrea Dovizioso (Ducati Team) hanya mampu berpuas hati di anak tangga P7, dengan perbezaan masa hanya sekadar 0.007 saat di belakang penunggang muda dari Australia. Dovizioso, bersama dengan Lorenzo dan Petrucci telah diberikan tugas untuk menguji beberapa buah ‘aerofairing’ sewaktu sesi ujian ini.

Satu-satunya penunggang Yamaha yang lain yang berada di kedudukan sepuluh treatas adalah Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP), dengan jarak masa hanya 0.082 di belakang penunggang jentera Ducat Desmosedici GP18. Penunggang dari Sepanyol itu, dan juga Rossi, tampak menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan pakej terkini mereka sejak hari terakhir ujian di Sepang beberapa minggu yang lalu. Isu utama dikatakan berkaitan dengan prestasi tayar belakang.

Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu) melengkapkan sepuluh penunggang terpantas di Buriram dengan catatan masa yang menakjubkan, 1:30.456, yang mana ianya hanya 0.675 saat di belakang penunggang veteran, Dani Pedrosa. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi seorang penunggang ‘rookie’ yang baru sahaja mengemudi motosikal MotoGP buat beberapa sesi.

Hafizh Syahrin (Monster Yamaha Tech3) menyudahi ujian tiga hari di Buriram dengan catatan masa terbaiknya, 1:31.537. Walaupun dia berada di P22, penunggang muda dari Malaysia itu telah memperbaiki catatan masanya sebanyak 1.6 saat setelah baru sahaja menunggang motosikal MotoGP buat kali pertama pada tiga hari yang lalu.

Hasilnya? Dia lebih pantas berbanding Karel Abraham (Angel Nieto Team) dan Xavi Simeon (Real Avintia Racing), yang mana telah menunjukkan lagi potensi penunggang muda negara kita ini. Dengan sedikit masa, latihan dan ketekunan, kami pasti yang Hafizh boleh berada di kelompok 10 teratas.

MotoGP akan ke destinasi ujian pra musim terakhirnya i Qatar pada 1 Mac 2018 sebelum berlangsungnya pusingan pembukaan pada 18 Mac 2018. Dalam masa dua minggu lagi, kita akan menyaksikan sendiri ke semua mtosikal yang telah mereka usahakan bertanding di bawah lampu limpah Litar Antarabangsa Losail.

Sumber: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]