WorldSBK: PATA Yamaha Lancarkan Yamaha YZF-R1 2018!

 

  • Pasukan PATA Yamaha Official WorldSBK telah memperkenalkan jentera perlumbaan mereka bagi musim ini, iaitu Yamaha YZF-R1 2018.
  • Pelancarannya itu telah dibuat sempena ujian pra musim WorldSBK yang berlangsung di Portimao, Portugal.
  • Kedua-dua penunggang utama pasukan tersebut, Alex Lowes dan Michael van der Mark telah bersedia untuk memberikan kemenangan perlumbaan yang pertama buat Yamaha sejak tahun 2011.

Kancah perlumbaan siri WorldSBK telah dihangatkan lagi dengan pelancaran jentera Yamaha YZF-R1 2018 yang bakal digunakan oleh pasukan PATA Yamaha Official WorldSBK. Bersama dengan pasangan penunggang handalan Alex Lowes dan Michael van der Mark, mereka telah bersedia untuk menggegarkan musim 2018 ini.

Pelancaran jentera perlumbaan tersebut yang telah diadakan di Litar Portimao (Litar Antarabangsa Algarve) di Portugal adalah bersempena dengan ujian pra musim FIM Superbike World Championship dan juga, semestinya bersempena pelancaran motosikal Yamaha YZF-R1 dan R1M 2018 yang telah diperkemaskini. Jentera terbaru bagi tahun 2018 tersebut telah dilengkapi dengan kelengkapan elektronik dan suspensi elektronik yang telah diperkemaskini.

Dengan jentera perlumbaan yang serba baru dan maklum balas yang memberangsangkan daripada kedua-dua penunggangnya sewaktu sesi ujian musim sejuk, pasangan handalan tersebut telah bersedia bagi memberikan cabaran yang lebih sengit buat pasukan Kawasaki dan Ducati bagi musim 2018 ini. Menurut Pengurus Projek Yamaha Road Racing, Andrea Dosoli, “Musim 2017 adalah sebuah musim yang menakjubkan bagi Yamaha dan keputusan yang telah kami capai di keseluruhan kategori bermakna yang kami memulakan musim 2018 dengan penuh keyakinan.”

“Salah satu faktor utama dalam sukan permotoran adalah kesinambungan dan ianya sesuatu yang kami nilai dengan tinggi sekali. Kami berasa amat sukacita dapat mengekalkan kedua-dua Alex Lowes dan Michael van der Mark dalam pasukan PATA Yamaha Official WorldSBK setelah mengharungi satu tahun yang amat memberangsangkan bagi pasukan ini pada tahun 2017,” tambah Dosoli lagi.

Pasukan PATA Yamaha Official WorldSBK telah bersedia membawa cabaran mereka pada tahun ini dan berharap dapat memecahkan kemarau kemenangan perlumbaan WorldSBK sejak tahun 2011 yang lalu.

Galeri Gambar

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]