Isle of Man TT: John McGuinness Menyertai Norton!

  • Norton Motorcycles akhirnya telah mengesahkan penunggang kedua mereka bagi kempen Isle of Man TT 2018, John McGuinness.
  • Bagi menghangatkan lagi suasana, gambar-gambar McGuinness bersama dengan motosikal Norton V4 RR SG7 telah pun tersebar di atas talian internet.
  • Pemenang TT sebanyak 23 kali itu akan meneruskan kerjaya perlumbaan jalan rayanya pada tahun ini bersama dengan penunggang dari Australia, Josh Brookes.

Setelah khabar angin yang kuat bertiup sebelum ini, John McGuinness akhirnya telah disahkan akan menyertai Norton bagi perlumbaan Isle of Man TT 2018. Pemenang Isle of Man TT sebanyak 23 kali itu akan mengemudi motosikal 1,200cc, Norton V4 RR bersama dengan penunggang dari Australia, Josh Brookes.

Setelah merangkul 23 kemenangan TT besertakan semangat membara untuk meneruskan kerjaya perlumbaan jalan rayanya itu, perpindahan ini telah dijangkakan oleh ramai pihak memandangkan Norton sudah pasti akan memberikan sokongan pengilang sepenuhnya bagi mencapai kemenangan TT pertama mereka dengan jentera baru mereka itu. Dan sudah pasti peluang itu makin cerah dengan adanya “King of the Mountain” di atas jentera mereka.

Perpindahan itu adalah satu tindakan yang tepat pada masanya bagi penunggang berusia 45 dari Morecambe, UK itu, kerana jentera terkini Honda, CBR1000RR Fireblade SP2 telah terbukti sebagai sebuah jentera yang agak ‘liar’. Ianya telah mengejutkan ramai peminat TT apabila pasukan pengilang Honda melepaskan juara tersebut untuk pasangan yang lebih muda, Ian Hutchinson dan Lee Johnston.

Ian Hutchinson Dan Lee Johnston Melengkapi Barisan Honda Racing 2018

Menurut McGuinness,”Saya tidak mahu menamatkan kerjaya saya kerana kecederaan, namun sejujurnya, saya sendiri tidak tahu sama ada saya dapat kembali kerana saya tidak pasti secergas mana diri saya nanti. Buat masa ini, segalanya berjalan dengan lancar.”

“Saya berasa lebih lincah dan diri terasa amat fokus dan bersedia. Pelannya adalah untuk menanggalkan ‘external fixator cage’ dari kaki saya menjelang hujung bulan ini dan selepas itu kami boleh memulakan tugas untuk menyediakan motosikal dan mengujinya.”

Perlumbaan Isle of Man TT 2018 sudah pasti akan menjadi lebih meriah lagi dengan kehadiran McGuinness. Teruskan bersama MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.

Isle of Man TT: Josh Brookes Kekal Bersama Norton Bagi Tahun 2018!

Sumber IOMTT

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]