Benelli Leoncino 500 2018 Tersedia Bermula Februari

  • Motosikal Benelli Leoncino 500 2018 bakal tiba di bilik pameran pada bulan Februari ini.
  • Mforce Bike Holdings telah menerima lebih daripada 1,000 buah tempahan sejak motosikal ini dilancarkan pada bulan Oktober 2017 yang lalu.
  • Ditetapkan harganya pada RM27,999 (harga asas beserta GST), motosikal Leoncino 500 ini menghasilkan 47hp dan 45Nm tork.

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah mengumumkan bahawa motosikal Benelli Leoncino 500 2018 bakal tiba di semua bilik pameran Benelli rasmi di seluruh negara. Semenjak pelancaran motosikal tersebut pada bulan Oktober 2017 yang lalu, mereka telah menerima lebih daripada 1,000 buah tempahan bagi motosikal Leoncino 500. Pengeluarannya telah bermula pada awal Januari dan akan diteruskan bagi memenuhi permintaan yang tinggi.

Dengan sebuah konsep yang menerapkan penggayaan retro klasik pada sebuah motosikal yang moden, motosikal Leoncino 500 ini melambangkan semangat jati Benelli dalam sebuah pakej yang mengujakan. Warisan pengeluar yang megah dalam industri permotosikalan telah diterapkan dalam motosikal Leoncino 500 terkini ini.

Dijana oleh enjin dua silinder 500cc, motosikal Benelli Leoncino 500 ini didakwa dapat menghasilkan 47hp pada 8,500rpm dan 45Nm tork maksimum. Keseluruhan tork dan kuasanya itu dipacu ke roda belakang 17 incinya itu melalui kotak gear enam kelajuan.

Ciri-ciri lain yang ada pada motosikal ini adalah fork hadapan terbalik 45mm, cakera brek berganda hadapan 320mm dengan angkup empat omboh, cakera brek belakang 260mm dengan angkup satu omboh, dan klac hidraulik, serta pelbagai lagi ciri yang lain. Motosikal Leoncino 500 ini juga telah didatangkan dengan kerangka keluli trellis yang serba boleh.

Ditetapkan harganya pada RM27,999 (harga asas beserta GST), motosikal Leoncino 500 ini adalah salah satu daripada pelbagai tawaran menarik yang diperkenalkan oleh Benelli Malaysia lewat tahun lalu. Apa yang lebih mengujakan lagi adalah mereka juga bakal memperkenalkan dua model baru bagi tahun 2018 dalam masa terdekat ini, iaitu motosikal cruiser mini, Benelli 402S 2018, serta motosikal ‘streetfighter’, 752S.

Benelli 752S Dan 402S 2018 – Bakal Tiba Di Malaysia Dalam Masa Terdekat!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]