Ujian Musim Sejuk MotoGP 2018: Johann Zarco Terpantas Dalam Sesi Pagi

  • MotoGP musim 2018 telah pun bermula dengan Ujian Musim Sejuk.
  • Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, para pasukan yang bertanding telah kembali semula untuk menguji jentera terbaru mereka.
  • Dorna telah mengurangkan lagi jumlah ujian untuk tahun ini, menjadikan sesi ini bertambah pentingnya.

Walaupun perlumbaan pertama bagi siri perlumbaan MotoGP bagi musim 2018 tidak akan bermula buat beberapa bulan lagi, para penunggang telah kembali semula untuk Ujian Musim Sejuk MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang, di mana “Rookie of the Year” MotoGP 2017, Johann Zarco, telah membunyikan semboyan cabarannya untuk musim 2018 ini dengan mencatatkan masa terpantas.

Ujian ini selalunya telah diadakan di pertengahan bulan Februari sebelum ini, namun telah diawalkan pada tahun ini oleh kerana penambahan satu pusingan tambahan di Buriram, Thailand, bagi kalendar 2018.

Sah: Thailand Akan Menganjurkan MotoGP Pada 2018!

Para peminat pasti sudah sedia maklum yang Ujian Musim Sejuk, atau nama rasminya, Ujian MotoGP Rasmi Sepang adalah salah satu acara yang paling penting dalam setiap musim MotoGP. Sepang telah dipilih sebagai litar untuk acara ini oleh kerana cuacanya yang bercirikan berkelembapan tinggi, cuaca yang panas, dan hujan lebat, di samping kelajuan yang boleh dicapai di atas litar ini. Inilah yang telah menjadikan Litar Antarabangsa Sepang sebagai salah sebuah – sekiranya bukan satu-satunya – litar di mana para pasukan yang bertanding akan menetapkan “aturcara asas” mereka untuk litar dan keadaan cuaca yang serupa seperti ini, selain menguji kebolehan jentera dan kelengkapan terkini mereka, dan bagi membolehkan para penunggang mendapatkan semula rentak mereka setelah cuti yang panjang.

Dalam sesi ujian yang pertama pada hari yang pertama(28 Januari), Johann Zarco telah mencatat masa yang terpantas dengan 2:11.863 pada pusingan ke-21 dan yang kedua terakhir. Dani Pedrosa mencatatkan masa ke-dua terpantas buat setakat ini dengan 2:12.527 (0.664 saat di belakang) dengan Jorge Lorenzo di tempat ke-tiga dengan 2:12.897 (1.034 saat di belakang).

Juara bertahan, Marc Marquez, berada di tempat ke-sembilan, dengan catatan masa 2:13.406, yang mana merupakan masa yang sama telah dicatat oleh Valentino Rossi yang berada di tempat ke-lapan. Teman sepasukan Rossi, Maverick Viñales pula di tempat ke-tujuh, dengan catatan 2:13.395.

Pasangan penunggang dari Yamaha ini sudah pasti tidak sabar ingin menguji jentera bagi tahun 2018 mereka yang menggunakan casis 2016, setelah mereka berhadapan dengan masalah kekurangan cengkaman pada bahagian belakang sewaktu hujan pada musim 2017 yang lalu. Jentera terbaru mereka itu telah pun dilancarkan secara rasminya tiga hari yang lalu.

MotoGP: Movistar Yamaha lancarkan Yamaha M1 2018; Vinales Kekal Sehingga Tahun 2020

Catatan masa ini masih lagi jauh ketinggalan daripada catatan terpantas yang telah dibuat sewaktu pusingan kelayakan Q2, iaitu dengan catatan 1:59.212 yang dicatat oleh Dani Pedrosa sewaktu pusingan Shell Malaysia MotoGP 2017. Zarco mencatatkan masa Q2 ke-dua terpantas dengan catatan 1:59.229 dan Jorge Lorenzo pula di tempat ke-enam dengan 1:59.622.

Keadaan cuaca di Litar Antarabangsa Sepang adalah mendung dengan hujan renyai dan litarnya lembap di sesetengah bahagian. Suhunya telah turun dari 30 darjah Celsius ke 29.3 darjah Celsius.

Teruskan setia bersama kami untuk perkembangan sesi ujian musim sejuk Sepang 2018 dari masa ke semasa.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]