Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018: Dani Pedrosa Terpantas Pada Hari Pertama

  • Hari pertama Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 menyaksikan Dani Pedrosa mendahului keseluruhan lapangan penunggang, mengatasi desakan lewat dari penunggang pasukan pengilang Ducati.
  • Dani sentiasa menunjukkan prestasi hebat dan pernah memenangi perlumbaan di Sepang.
  • Pendahulu awal dari pasukan pengilang Yamaha telah ditinggalkan di belakang.

Dani Pedrosa berjaya menangkis serangan Ducati pada penghujung hari pertama bagi Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 dan berjaya menakluki tempat teratas.

Sesi lewat petang itu menyaksikan persaingan yang hebat di antara pasukan pengilang Honda, Ducati, dan Yamaha, di mana para penunggang mereka bersilih ganti mencatatkan masa yang terpantas.

Ianya dimulakan oleh Valentino Rossi (Movistar Yamaha), yang menjadi penunggang pertama terpantas sebaik bermulanya sesi tersebut, yang kemudiannya telah digantikan dengan Andrea Dovizioso (Ducati MotoGP). Desmo Dovi berjaya mengekalkan tempat teratasnya buat beberapa ketika sebelum ianya dirampas semula oleh Rossi dengan catatan masa 2:00.322.

Dan apabila tempoh masa bagi sesi hari pertama semakin suntuk, mulalah kebanyakan penunggang memasuki litar secara beramai-ramai. Dan di sini, tampak dengan jelas sekali bahawa para penunggang yang mengemudi Ducati nyata lebih pantas. Danilo Petrucci dan Jack Miller dari pasukan Alma Pramac Racing mencatatkan masa ke-lima dan ke-empat terpantas pada hari ini dengan 2:00.123 dan 2:00.178.

Bagi pasukan pengilang Ducati pula, Andrea Dovizioso telah merampas kembali tempat teratas dengan masa 1:59.770 manakala teman sepasukannya, Jorge Lorenzo mencatat masa 1:59.802.

Namun, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan bagi Dovi, apabila Dani Pedrosa (Repsol Honda) berjaya merangkul tempat pertama dengan catatan masa 1:59.427. Masa yang telah dicatatkannya itu hanyalah 0.235 saat lebih lambat dari rekod catatan masa kelayakannya yang telah dibuat pada tahun 2017 yang lalu

Rossi telah jatuh ke tangga ke-enam, dengan Marc Marquez di tempat ke-tujuh dengan catatan masa terbaiknya 2:00.290. Penunggang terpantas sesi pagi, Johann Zarco mengatasi masa terpantas sebelum ini (yang dicatat di atas litar yang lembap) dengan catatan masa 2:00.421, menamatkan hari pertamanya di tempat ke-lapan.

Teman sepasukan Rossi, Maverick Viñales, telah merekodkan 72 pusingan pada hari pertama, lebih daripada mana-mana penunggang yang lain. Dia pada awalnya telah merekodkan masa yang baik dengan catatan masa 2:00.714, namun pada penghujung harinya hanya dapat berada di tempat ke-13.

Dengan rentak awal yang laju ditunjukkan oleh Pedrosa, apakah yang bakal terjadi pada hari keduanya esok? Dan dengan hujan lebat yang turun di sekitar Lembah Klang lewat petang hingga ke malam ini, apakah kesannya pada sesi seterusnya nanti?

Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya dari sesi ujian yang mengujakan ini.

Sumber imej: MotoGP.com

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]