Pembahagi Jalan Laluan Basikal Di Kuala Lumpur – Merbahaya Bagi Pengguna Jalan Raya?

  • Pembahagi jalan laluan basikal yang baru dipasang di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur telah mendapat kritikan ramai baru-baru ini.
  • Ramai orang telah menyuarakan rungutan mengatakan yang pembahagi jalan berkenaan merbahaya manakala cat biru yang digunakan terlalu licin terutamanya sewaktu hujan.
  • Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang menanggalkan pembahagi-pembahagi jalan tersebut di samping pihak bertanggungjawab yang lain telah bertemu bagi menyelesaikan isu ini.

Imej tular pembahagi jalan yang baru dipasang untuk laluan basikal baru bagi beberapa buah jalan utama di Kuala Lumpur telah dianggap merbahaya oleh kebanyakan orang ramai sejak beberapa hari yang lalu. Pembahagi-pembahagi jalan ini yang digunakan bagi memisahkan laluan basikal serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain telah mendapat pelbagai kritikan negatif berkenaan perancangan keseluruhannya.

Baru semalam, beberapa buah gambar menunjukkan seorang penunggang motosikal yang menjadi mangsa pembahagi jalan laluan basikal ini telah ditularkan. Pengguna jalan raya yang lain serta penunggang basikal sekalipun telah meluahkan kebimbangan serta ketidakpuasan hati mereka di atas talian internet berhubungan pembahagi jalan ini serta mengenai cat biru yang digunakan untuk menandakan keseluruhan laluan basikal berkenaan. Tampkaknya, cat yang telah digunakan itu telah didakwa ramai sebagai terlalu licin terutamanya sewaktu hujan.

Inisiatif ini telah disuarakan oleh Cycling Kuala Lumpur, Bicycle Map Project, dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pelan ini telah dipersetujui bagi membolehkan para penunggang basikal untuk menggunakan laluan basikal dengan selamat di tengah-tengah bandaraya bersempena dengan “World Urban Forum” yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.

Di mana cat tersebut didakwa diperbuat menggunakan bahan nyah-gelincir, pakar untuk projek berkenaan telah menyatakan yang ianya hanya digunakan untuk tujuan menanda sebelum ini dan tidak pernah untuk mengecat keseluruhan laluan. Namun begitu, pembahagi jalan yang berwarna hitamlah yang menjadi sumber rungutan ramai dan pada ketika ini, DBKL sedang dalam proses menanggalkannya bagi mengelakkan sebarang insiden atau kecederaan masa akan datang.

Firma-firma yang terlibat dengan inisiatif laluan basikal terkini ini sedang bermesyuarat bagi menangani isu ini dengan pantas dalam satu post-mortem. Dan walaupun sebarang langkah ke arah gaya hidup dan mod pengangkutan yang lebih mesra adalah satu langkah yang baik untuk masa depan, keselamatan semua orang yang menggunakan jalan raya perlu menjadi keutamaan terpenting.

Orang ramai faham akan keperluan untuk melindungi para penunggang basikal, namun, pada masa yang sama, sebarang inisiatif yang diambil perlulah selamat bagi setiap pengguna jalan raya, tidak kiralah apa pun mod pengangkutan mereka. Kami juga berharap yang perkara ini diatasi dengan segera, berkesan dan secara professional oleh ke semua pakar yang terlibat.

Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.

Sumber imej: Haresh Deol & Cycling Kuala Lumpur, Bicycle Map Project

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply