Sepuluh Cara Penunggang Motosikal Menjengkelkan Orang Ramai

  • Penunggang motosikal sering merungut tentang pemandu kereta.
  • Namun pemandu kereta pula selalu merungut mengenai penunggang motosikal.
  • Marilah kita bertimbang rasa sesama kita dan dengan semua orang yang berkongsi jalan raya.

Jika anda pernah berulang alik sewaktu waktu puncak, anda pasti akan bertemu pelbagai jenis perangai pemandu serta penunggang Malaysia. Penunggang motosikal akan menyalahkan pemandu kereta, pemandu kereta pula menuding jari ke arah penunggang motosikal, dan begitulah lumrah yang sentiasa berlaku di atas jalan raya tanah air kita. Ianya tampak seperti mereka tidak mahu bertanggungjawab di atas kelakuan mereka, menyebabkan kekalutan yang kita lalui saban hari di dalam negara.

Ya, saya setuju, ada pemandu yang sepatutnya tidak dibenarkan langsung memandu, tetapi, apabila saya memandu, saya faham mengapa sesetengah pemandu kereta sering kali menyalahkan penunggang motosikal, dan begitulah sebaliknya.

Kita ambil contoh di Bulatan Pandan yang cukup terkenal itu. Setiap hari ada sahaja motosikal yang melanggar lampu merah – salah sebuah daripada hampir dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda pada tempoh hari, tetapi pada masa yang sama, saya bersama isteri saya hampir dilanggar sebuah Exora pada minggu lalu.

Marilah kita bertimbang rasa sesama kita dan juga masyarakat sekeliling.

1. TIDAK BERHENTI DI LAMPU MERAH

Yang pertama dalam senarai ini sudah semestinya perkara ini. Merah bermakna berhenti.Titik. Noktah. Habis cerita. Tiada yang boleh diperdebatkan. Tidak kiralah sekiranya jalan lengang bagaikan berlakunya malapetaka zombie.

Lampu merah : BERHENTI.

Sebaliknya pula, lampu isyarat yang bertukar hijau tidak bermakna anda boleh memecut semberono. Tidak, ini bukannya litar lumba. Lampu hijau bermakna anda boleh bergerak sekiranya ianya selamat. Kita haruslah sentiasa memerhatikan kenderaan dari arah lampu hijau terdahulu sebelum kita mula bergerak.

Dan para pemandu kereta, berpada-padalah dalam menggunakan hon anda. Hijau hanya bermaksud BERGERAK SEKIRANYA SELAMAT. Di minta bersabar.

2. MENUNGGANG DALAM KUMPULAN YANG BESAR

Ya, saya cukup menggemari penunggangan berkumpulan namun tolonglah, berilah sedikit ruang untuk pengguna jalan raya yang lain, kecualilah sekiranya tunggangan itu dikawal oleh Polis Trafik. Ianya lebih baik untuk menunggang dengan seorang ketua marsyal, satu atau dua pelari dan orang terakhir (sweeper), di samping membiarkan kumpulan tersebut menunggang dalam formasi yang longgar.

3. PAIP YANG TERLALU BINGIT

Konsep “paip bingit menyelamatkan nyawa” masih lagi satu konsep yang hangat diperdebatkan, tetapi saya telah mendapati yang bunyi yang lebih bising sedikit daripada ekzos standard sudah mencukupi untuk mengumumkan kehadiran motosikal anda kepada pengguna jalan raya yang lain. Masalahnya mula timbul apabila paipnya terlalu bising yang ianya amat membingitkan. Apa yang ia cuba buktikan? Bingit bersamaan dengan laju? Hingar bersamaan dengan keseronokan?

Sebuah ekzos yang terlalu bising akan hanya menjengkelkan orang ramai. Terdapat sekumpulan penunggang yang suka memecut laju berulang alik di jalan utama di taman kami, menakutkan warga tua dan membangunkan bayi yang sedang tidur. Mendatangkan kemarahan sungguh mereka ini.

4. MEMOTONG BARISAN

Yang ini berlaku pada setiap masa.

Kita bernasib baik kerana penyuraian trafik dibenarkan, tetapi kita perlulah bijak dalam melakukannya. Berapa kerapkah telah kita saksikan penunggang motosikal yang terus memotong masuk di hadapan sebuah kereta untuk memasuki laluan yang lain tanpa memberikan isyarat atau memberikan masa yang mencukupi buat pemandu kereta? Tetapi sekiranya seorang pemandu kereta melakukan perkara yang sama, penunggang-penunggang inilah yang panas punggung dahulu. Sungguh ironik.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

5. LAMPU HADAPAN TERLALU TINGGI

Lampu hadapan motosikal telah di pra-laras di kilang untuk kebanyakan penunggang. Namun sekiranya anda seorang penunggang yang ‘lebih muatan’ atau pun membawa pembonceng atau bagasi, laraskanlah lampu hadapan anda.

Jika anda menyedari yang papan tanda jalan menjadi lebih terang dari biasanya dan bukannya jalan raya yang ada di hadapan anda, ianya satu petanda yang baik untuk anda melaraskannya, Pelarasannya cukup mudah sekali kerana pelaras lampu hadapan mudah dicapai pada kebanyakan motosikal.

6. MENUNGGANG TERLALU RAPAT

Perlukah kita menunggang terlalu rapat dengan kereta bagi menakutkan mereka supaya membuatkan mereka memberikan laluan kepada kita? Kebanyakan pemandu tidak memahami prestasi motosikal kita dan fikir yang mereka lebih pantas daripada ke semua pengguna lain di atas jalan raya. Menunggang dengan terlalu rapat mungkin terlalu merimaskan mereka sehinggakan mereka melakukan ‘ujian brek’ dengan anda.

Ianya lebih mudah dan produktif untuk memotong mereka dengan pantas di sebelah kiri dan tinggalkan mereka jauh di belakang. Ianya mungkin bukan perkara yang betul untuk dilakukan tetapi tidak perlulah kita membazirkan tenaga serta masa kita.

7. MENAKUTKAN PENUMPANG KERETA

Seperti menunggang terlalu rapat, lebih elok sekiranya kita memotong terus jika mereka menjadikan laluan seperti hak milik mak bapak mereka. Memotong dengan rapat secara sengaja atau pun memulas-mulas pendikit bagi menakutkan mereka tidaklah perlu dilakukan. Sekiranya ada pemandu kereta yang membuatkan anda marah, hon, potong kenderaanya, dan geleng-gelengkan kepala anda. Saya berani kata yang 99.999999% daripada mereka tidak tahu apa kesilapan yang telah mereka lakukan jadi janganlah anda bazirkan masa anda.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

8. MENUNGGANG TERLALU PERLAHAN

Tiada salahnya sekiranya anda suka menunggang dengan perlahan, tetapi, pastikanlah anda berada di sebelah kiri laluan dan pastikan anda kekal di sebelah itu, membolehkan trafik untuk memintas anda di sebelah kanan. Sudah kerap kali kita melihat motosikal yang perlahan menduduki laluan memotong, melambatkan trafik. Ianya cukup merbahaya dan juga menjengkelkan.

9. MENUNGGANG TERLALU LAJU

Cara paling selamat menyusuri trafik di antara dua laluan yang bergerak perlahan adalah untuk menunggang dengan kelajuan tidak melebihi 30km/j lebih laju daripada kelajuan kenderaan yang lain. Ini bermakna anda mempunyai ruang yang cukup untuk pembrekan serta pengelakan kecemasan, pada masa yang sama motosikal masih lagi boleh dipandu arah kerana ianya masih bergerak.

Tetapi, apabila kita bergerak melewati trafik pada kelajuan yang lebih tinggi, margin keselamatan itu semakin mengecil. Kebanyakan pemandu kereta telah merungut tentang penunggang motosikal yang tidak hiraukan mereka dan terus sahaja memecut melepasi mereka, walaupun setelah memberikan isyarat dengan lebih awal. Kenapa? Kerana motosikal sedang bergerak terlalu pantas. Sudah pasti ada juga pemandu yang memberi isyarat selepas mula memutarkan stereng tetapi itu cerita untuk lain hari.

10. MELAKUKAN AKSI LAGAK NGERI

Yang memang tidak boleh diterima serta dimaafkan. Melakukan aksi lagak ngeri di dalam trafik atau tempat awam adalah cara yang paling mudah untuk dicopkan sebagai samseng, penyangak, dan bermacam-macam lagi, Dan, sudah menjadi kebiasaan ramai untuk melabelkan ke semua ahli kumpulan dengan stereotaip negatif berdasarkan kelakuan sekumpulan kecil yang tidak panjang akalnya.

Hentikannya! Jika ingin melakukan aksi lagak ngeri, dapatkan tempat atau ruangan persendirian.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]