SAH: John McGuinness TIDAK LAGI BERSAMA Honda Racing

Sumber imej: Pacemaker Press
  • Ianya telah disahkan bahawa kerjasama di antara John McGuinness dan Honda Racing telah pun berakhir.
  • Berita itu telah disampaikan sendiri oleh juara TT 23 kali tersebut di majlis makan malam amal tahunan Joey Dunlop Foundation.
  • Pelbagai spekulasi telah timbul tentang sama ada “King of the Mountain” itu akan menyertai Norton, Tyco BMW, Kawasaki, atau pun dia akan menguruskan pasukan persendiriannya bagi tahun 2018.

Baru sahaja pada bulan lalu Honda Racing mengesahkan yang Ian Hutchinson dan Lee Johnston akan berlumba di atas jentera mereka, Honda CBR1000RR Fireblade SP2 untuk tahun 2018. Kedua-dua Hutchinson dan Johnston mempunyai pengalaman yang luas dalam perlumbaan jalan raya dan bersama dengan Honda, mereka akan cuba untuk mengungguli ke semua acara perlumbaan jalan bermula dengan North West 200, Isle of Man TT dan Ulster GT.

Ian Hutchinson Dan Lee Johnston Melengkapi Barisan Honda Racing 2018

Semenjak pengumuman tersebut, ramai di kalangan peminat perlumbaan jalan raya telah membuat spekulasi mengenai apakah yang telah terjadi di antara Honda Racing dan John McGuinness. Penunggang berusia 45 tahun dari Morecambe, UK itu, yang mempunyai jolokan sebagai “Morecambe Missile”, atau namanya yang lebih tersohor lagi iaitu “King of the Mountain”, telah merangkul kemenangan yang paling banyak buat Honda terutamanya di acara Isle of Man TT.

Kini, ianya telah disahkan bahawa Honda Racing telah menamatkan kerjasama mereka dengan McGuinness, dan berita tersebut disampaikan sendiri oleh penunggang tersebut, namun semangatnya masih lagi berkobar-kobar. Dijangkakan untuk kembali bagi tahun 2018, terdapat pelbagai desas-desus yang memperdebatkan pengeluar yang manakah yang bakal menandatangani pemenang perlumbaan Isle of Man TT sebanyak 23 kali itu.

Sumber imej: STEPHEN DAVISON

Buat masa ini, terdapat beberapa buah spekulasi tetapi petunjuk terkuat telah mengatakan bahawa McGuinness bakal menyertai Norton bagi tahun 2018. Sumber lain yang belum dapat disahkan buat masa ini menggambarkan kemungkinan dia menyertai Tyco BMW, Kawasaki, atau mungkin sekali dia menguruskan pasukan persendiriannya sendiri.Berdasarkan tahap kebolehan perlumbaannya yang tinggi itu, kami mengagakkan para pengeluar pasti bertungkus lumus cuba memancingnya menyertai pasukan mereka.

Sewaktu acara perlumbaan North West 2017 pada bulan Mei 2017 lalu, McGuinness telah mengalami kemalangan yang mengakibatkan kerekatan pada tulang kaki kanannya, keretakan pada empat tulang vertebrae (belakang), serta retak pada tiga tulang rusuk semasa sesi latihan kategori Superbike. Disebabkan kecederaannya yang serius itu, McGuinness tidak dapat meneruskan persaingannya untuk keseluruhan tahun termasuklah untuk siri perlumbaan Isle of Man TT.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai insiden malang yang menimpa McGuinness sewaktu perlumbaan North West 200 2017, tekanlah pautannya yang berada di bawah ini.

John McGuinness Mengalami Kecederaan Serius Ketika Kemalangan Di Perlumbaan North West 200

Perlumbaan North West 200 pada tahun ini akan bermula pada 13 Mei 2018. Kami jangkakan sekiranya John McGuinness akan bertanding untuk mana-mana pasukan, pengumumannya pasti akan disiarkan dalam masa terdekat ini. Buat masa ini, teruskanlah setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]