Bagaimana Enjin Empat Lejang Berfungsi

  • Sebuah enjin pembakaran dalaman perlu membakar udara dan bahanapi bagi menghasilkan kuasa mekanikal.
  • Campuran udara/bahanapi perlu diaruh,dimampat, dibakar, dan dikeluarkan.
  • Di sini kami senaraikan asas-asas mengenai bagaimana enjin empat lejang berfungsi.

Baru-baru ini ketika kami sedang menunggang uji motosikal Triumph Street Triple RS, ada seseorang telah bertanya pada penulis sama ada motosikal tersebut adalah motosikal tiga lejang. Ada juga satu lagi kejadian di mana saya berbalah dengan seseorang yang bertegas bahawa motosikal KTM 1290 Super Duke GT adalah jentera dua lejang. Saya tidak terlalu ambil kisah sekiranya mereka ini baru berjinak-jinak dengan motosikal, tetapi tidak, mereka mereka ini penunggang lama, dan ianya telah berlaku berulang kali bertahun lamanya. Jadi, kalau motosikal itu motosikal BMW K 1600 atau Honda Gold Wing pula bagaimana? Adakah ia mempunyai enjin enam lejang?

Tampaknya fenomena ini telah berleluasa semenjak dua puluh tahun yang lalu di dalam negara kita. Aduhai.

Terdapat dua jenis kitaran kuasa yang diketahui umum untuk enjin gasolin: Empat lejang dan dua lejang. Di sini kita akan meneliti bagaimana enjin empat lejang berfungsi. Terdapat juga enjin rotari dan enjin kitaran Atkinson, namun ianya lebih jarang digunakan.

Yang pertama sekali, sebuah enjin pembakaran dalaman perlu membakar bahanapi serta udara. Daya kuasa dari pembakaran ini akan bertukar menjadi tenaga mekanikal. Oleh dengan itu, sebuah enjin empat lejang menggunakan empat kitaran lejang yang berlainan bagi menghasilkan kuasa untuk menggerakkan kenderaan.

Mari kita lihat asasnya.

1: MASUKAN

Juga dipanggil sedutan, kitaran lejang ini bermula dengan omboh berada di kedudukan ‘Top Dead Centre’ (TDC), dan ia akan bergerak ke arah bawah ke ‘Bottom Dead Centre’ (BDC). Injap masukannya dibuka dan ombohnya itu bergerak ke bawah menghasilkan tekanan negatif (vakum) di dalam silinder, menyedut masuk campuran bahanapi/udara dan mengisi silinder.

2: MAMPATAN

Sewaktu ombohnya bergerak semula ke atas dari kedudukan BDC ke TDC, injap masukannya ditutup dan memerangkap campuran bahanapi/udara di dalam silinder. Ombohnya itu memampatkan campuran itu dalam persediaan untuk pembakaran.

Aci engkolnya akan bergerak 1 revolusi 360 darjah penuh (1 RPM) apabila omboh itu tiba di kedudukan TDC.

3: PEMBAKARAN

Juga dikenali sebagai pencucuhan atau lejang kuasa. Palam pencucuhnya menyala, mencetuskan campuran bahanapi/udara termampat itu. Tekanannya meningkat di antara 3200 hingga 500 kPa (32 hingga 50 bars), dan suhunya mencecah 600 darjah Celcius.

Tekanan mampatan tersebut memaksa ombohnya ke bawah ke posisi BDC, menghasilkan kuasa mekanikal (tenaga kinetik) bagi menggerakkan aci engkol.

4: EKZOS

Juga dikenali sebagai lejang keluaran. Ekzosnya dibuka apabila gerakan ke atas omboh tersebut menolak keluar wasap terbakar keluar melalui injap ekzos, ke dalam port ekzos dan paip ekzos.

Aci engkolnya menyempurnakan dua revolusi penuh apabila ombohnya tiba kembali di kedudukan TDC. Sebuah enjin empat lejang memerlukan dua RPM bagi menghasilkan kuasa mekanikal. Jadi, sekiranya anda kekal pada 10,000 rpm untuk satu minit pada takometer motosikal anda, bermakna sudah berlaku 5000 lejang kuasa dalam satu minit itu.

Seperti yang telah kami sebut di atas, ini adalah asas mengenai bagaimana enjin empat lejang berfungsi. Terdapat beberapa lagi perincian kecil yang akan kami bincangkan pada masa akan datang, seperti pemasaan pencucuhan yang menghasilkan percikan api sebelum omboh tiba di kedudukan TDC sepenuhnya, dan lain-lain lagi.

Kembali kepada cerita di permulaan artikel ini, tidak, tiada enjin tiga lejang atau enam lejang. Jawapan yang sering saya gunakan adalah, “Ianya adalah enjin empat lejang, satu/dua/tiga/empat/enam omboh.” Atau, tunjuk sahaja pada mereka artikel ini.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply