Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah
- Tayar adalah cara terbaik bagi menambah baik motosikal.
- Namun, bagaimanakah anda menentukan tayar yang terbaik?
- Di sini kami senaraikan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan beserta tip.
Tidak dapat kita nafikan lagi yang tayar adalah komponen yang paling penting pada motosikal anda. Tayar bukan sahaja menentukan tahap pengendalian motosikal, tetapi ia juga menentukan keselamatan penunggang, keyakinan, keselesaan, dan penggunaan bahanapi secara keseluruhannya.
Tetapi, apakah faktor-faktor yang perlu anda pertimbangkan dalam membuat pilihan anda?
BERKOMPROMI
Perlu disedari bahawa ke semua jenis tayar adalah kompromi di antara perbatuan dan ketahanan, pengendalian kelajuan tinggi dan kelajuan rendah, kestabilan dan pantas-belok, serta pelbagai lagi aspek yang lain. Sebuah tayar yang popular dalam kejohanan perlumbaan seperti MotoGP dan WorldSBK mungkin tidak sesuai dengan gaya penunggangan anda atau perbatuan yang ingin anda capai.
Ini kerana jenama yang berbeza, malah model yang berbeza ditawarkan oleh sesebuah jenama mempunyai sifat-sifat yang berbeza. Sebagai contoh, Bridgestone secara amnya mempunyai dinding sisi yang keras dan profil bulat berbanding dengan Metzeler dan Pirelli yang mempunyai dinding sisi yang lebih lembut dan profil bulat. Bagaimana pun, di mana profil tayar Pirelli Supercorsa berbentuk bulat, tayar sport-touring Pirelli Angel ST pula berbentuk segi tiga.
Dinding sisi yang pejal memberikan lebih banyak maklum balas kepada penunggang, tetapi ianya mungkin tidak memberikan keyakinan dan keselesaan buat sesetengah penunggang apabila jalannya tidak rata. Sebaliknya, dinding sisi yang lembut pula lebih mudah mengikut bentuk muka bumi jalan raya, dan oleh kerana itu akan memberikan lebih keyakinan pada jalan raya yang berbonggol, dengan maklum balas tayar sebagai galang gantinya.
Selain itu, sesetengah tayar diperbuat untuk menggelongsor dengan lebih awal sebagai satu isyarat kepada penunggang yang menghampiri had batasnya (walaupun masih terdapat banyak lagi cengkaman). Penulis secara peribadinya menyukai sifat ini kerana penulis tidak perlu teragak-agak akan batas had tayar, terutamanya ketika menunggang di dalam hujan atau di atas jalan raya yang basah, Sesetengah penunggang mungkin terasa agak bimbang atau pun menakutkan apabila tayar motosikal mereka mula menggelongsor.
PROFIL
Profil bersegi tiga memberikan sensasi pemanduan arah yang pantas dan kesanggupan untuk mencondong masuk selekoh. Tambahan pula, profil bersegi tiga memberikan cengkaman sisi yang lebih baik disebabkan tompok sentuhan yang lebih besar. Walau bagaimana pun, tayar jenis ini mungkin tidak sestabil sewaktu menunggang dalam garisan lurus dan sewaktu pembrekan keras.
Tayar berprofil bulat menawarkan lebih stabiliti semasa menunggang pada garis lurus dan sewaktu pembrekan keras, mengorbankan kebolehan belokan pantas dan kelincahan bertukar arah, menjadikannya lebih neutral. Selain itu, tayar berprofil bulat membolehkan penunggang untuk berada tetap pada garis yang dipilihnya dengan agak mudah.
Jadi, persoalannya buat sekian kali, yang mana satu pilihannya?
Ianya bergantung pada gaya penunggangan, (jenama) kegemaran, dan tahap kemahiran anda. Pilihan peribadi penulis adalah profil bersegi tiga kerana saya gemar akan kelincahan tambahan sewaktu berulang alik. Tetapi ianya juga disebabkan kecenderungan saya untuk membelok masuk ke selekoh dengan lebih lewat di atas jalan raya (bagi membolehkan penulis melihat lebih jauh di hadapan selekoh), yang memerlukan saya untuk menukar arah motosikal dengan pantas. Sebaliknya, penulis lebih gemar akan tayar berprofil bulat di atas litar di mana selekohnya telah pun ditetapkan dan penulis tidak perlu menyelit menyusuri trafik.
KOMPAUN
Satu mitos tayar yang tidak pernah terpadam adalah tayar perlumbaan yang lebih melekit membolehkan penunggang untuk pergi dengan lebih laju. Walaupun ianya mungkin benar di atas litar, ianya tidak sebegitu di atas jalan raya.
Seperti yang telah diketahui ramai, getah akan menjadi lebih mudah untuk dibentuk apabila ianya dipanaskan, membolehkannya untuk mengisi bonggol mahu pun lubang di atas permukaan jalan raya. Kitaran pemanasan serta penyejukan ini juga akan mengubah sifat-sifat tayar, menjadikan kompaun tayar lebih keras dari masa ke semasa.
Tayar perlumbaan dihasilkan untuk satu tujuan sahaja: Berlumba. Ia akan beraksi pada tahap optimumnya sekali atau dua kali dan kemudiannya, dibuang. Tayar perlumbaan juga direka bagi mengendalikan lebih banyak haba, disebabkan oleh kelajuan melampau, menyelekoh, pemecutan, dan daya pembrekan, serta pelelasan sebelum ia kehilangan kualiti. Di atas sebab ini, ia memerlukan lebih banyak masa serta penunggangan yang lebih agresif bagi memanaskannya ke suhu yang sesuai.
Dan oleh kerana itu, ianya tidak sesuai bagi kegunaan jalan raya, kerana untuk mendapatkan kelajuan sebegitu di atas jalan raya adalah mustahil, dan juga merbahaya sekiranya anda mampu melakukannya.
Selain itu, tayar perlumbaan kering tidak mempunyai banyak, atau pun langsung tiada alur bagi menangani hujan, atau sebarang keadaan kotor lain yang ada di atas jalan raya. Tayar perlumbaan cuaca basah pula menggunakan kompaun ultra-lembut yang akan menghancurkan tayar dalam kurang daripada 60km sekiranya ditunggang dalam cuaca yang kering.
Dalam keadaan ini, lebih elok sekiranya anda menggunakan tayar kompaun jalan raya yang akan memberikan perbatuan yang baik dan pada masa yang sama, masih boleh digunakan di atas litar. Seperti yang telah kita bincangkan di atas, tayar berkompaun jalan raya hanya memerlukan sedikit masa dan penunggangan agresif bagi membolehkan berfungsi dengan baik.
Begitu banyak kemajuan pada teknologi tayar masa kini sehinggakan tayar sport-touring juga mampu memberikan cengkaman tambahan untuk 90% daripada keseluruhan penunggang di luar sana. Tayar Bridgestone T30 Evo, Pirelli Rosso Corsa, dan Pirelli Angel ST, Michelin Pilot 4 adalah di antara contoh-contoh yang baik. Anda pasti akan kagum dengan apa yang boleh dilakukan oleh penunggang yang berkemahiran dengan tayar-tayar ini. Dan, sejujurnya, kebanyakan daripada kita tidak mampu melampaui batas kebolehan tayar sport-touring moden.
Sebaliknya, tidak salah sekiranya kita ingin memasang tayar supersport, jika itu minat anda. Tetapi, pertimbangkanlah sama ada penunggangan atau hajat penunggangan anda itu lebih banyak untuk tunggangan berulang alik di atas lebuh raya, dengan beberapa kali tunggangan hujung minggu mencari lemang, dan jarang sekali ke litar. Ianya lebih masuk akal sekiranya perjalanan ulang alik itu adalah di antara Ulu Yam ke pusat bandar, tetapi bagaimana pula jika hari hujan?
UMUR TAYAR
Tarikh pengeluaran tayar dicop pada dinding sisi dan anda mungkin sekali akan melihat sesuatu seperti “3017”. Dua digit pertama mewakili minggu pengeluarannya, manakala dua digit terakhir adalah tahunnya. Dalam contoh ini, tayar itu telah dikilangkan pada minggu pengeluaran ke-30 dalam tahun 2017.
Jangan sesekali beli tayar yang berusia enam tahun keatas, termasuklah tayar terpakai.
Bercakap mengenai tayar terpakai, penulis pernah bertemu dengan penunggang-penunggang yang merungut yang tayar terpakai mereka amat teruk sekali dan tidak faham mengapa banyak penunggang yang lain yang mengesyorkannya.
Ingat lagi perbincangan di awal artikel ini tentang kitaran haba? Ianya boleh diandaikan yang tayar terpakai telah melalui beberapa kitaran haba sebelum ianya dijual. Bahan kimia di dalam tayar akan di”outgas”kan, menjadikan tayar berkenaan bukan sebuah tayar yang baru lagi, walaupun ianya kelihatan baru dengan alur yang dalam.
Selain daripada itu, kerana setiap penunggang mempunyai tahap kemahiran dan gaya penunggangan yang berbeza, tayar akan mempunyai sifat yang tertentu mengikut penunggangnya. Boleh dikatakan bahawa tayar mempunyai “ingatan”. Ianya juga merupakan sebab mengapa kita berasa agak ‘janggal’ menunggang motosikal kawan, walaupun ianya dari model yang serupa.
Sekali lagi, tiada salahnya untuk menggunakan tayar terpakai, tetapi janganlah anda bandingkannya dengan tayar yang baru.
MEMPERLUSUHKAN TAYAR BARU
Memperlusuhkan tayar baru perlu dilakukan secara teliti.
Tayar perlu beberapa kitaran pemanasan dan penyejukan yang berulang bagi menstabilkan kompaun kimianya. Selain itu, bagaimana anda memperlusuhkan tayar akan menentukan prestasinya di masa akan datang. Terlalu banyak tekanan di awal hidup tayar berkenaan akan menyebabkannya mengeras dengan lebih cepat. Oleh itu, janganlah terlalu berlembut atau keras dalam memperlusuhkan tayar anda semasa 300km yang pertama.
TEKANAN UDARA TAYAR
Pengeluar kadang kala akan terlalu mengembungkan tayar motosikal yang keluar dari kilang untuk simpanan dan pengangkutannya. Ada pengedar yang tidak memeriksa keadaan ini sewaktu memberikan motosikal kepada pelanggan, menyebabkan pemilik baru untuk mempercayai yang tayar baru perlu diisi dengan tekanan udara berlebihan.
Sebenarnya, ianya lebih elok sekiranya anda merujuk kepada tahap tekanan udara yang disyorkan oleh pengeluar motosikal. Kami pernah mengajukan soalan yang sama secara terus kepada Pirelli sewaktu klinik tayar Pirelli baru-baru ini dan mereka telah mengesyorkan benda yang sama.
Anda boleh menambah tekanan udara tayar apabila membawa pembonceng dan bagasi, tetapi sekali lagi, pengeluar motosikal anda ada saranan untuk senario sebegini. Hanya isi mengikut tekanan yang biasanya dipamerkan pada lengan ayun mengikut senario yang tertentu.