Lima Perkara Yang Boleh Dijangka dari Kemunculan Kawasaki Ninja H2 SX

  • Keseronokan yang lebih mengujakan akan bakal dirasai dengan pelancaran motosikal Kawasaki Ninja H2 SX.
  • Kawasaki telah mengkaji semula pelbagai aspek motosikal berkenaan.
  • Motosikal H2 SX akan menjadi lebih praktikal untuk tunggangan harian dan kembara.

Sewaktu Kawasaki menyingkap tirai di sebalik sebuah motosikal yang dicas lampau, Ninja H2R di Pertunjukan Intermot 2014, dan motosikal Ninja H2 pada bulan yang berikutnya, kedua-dua jentera tersebut dengan serta merta menempa sejarah sebagai motosikal pengeluaran terpantas dunia. Sama ada anda sukakannya atau pun tidak, kedua-dua jentera itu akan masih mendapat tempat yang istimewa di dalam hati semua orang untuk bertahun-tahun yang akan datang, seperti mana kita masih lagi mengagumi motosikal H1 Mach III 1969, H2 Mach IV 1972, Z1 1972, GPz900R Ninja, dan berbagai lagi motosikal Kawasaki yang lain.

Motosikal kegunaan litar sahaja, H2R, telah mengejutkan seluruh dunia dengan sebuah enjin yang dapat menghasilkan 300hp. Motosikal jalan raya H2 pula, boleh menghasilkan 197.6hp. Kedua-dua buah motosikal ini telah dilitupi dengan panel badan yang mana penggayaannya merupakan sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelumnya. Direka oleh Kawasaki Aerospace Company, setiap satu baji yang ada pada motosikal berkenaan adalah untuk menghasilkan lebih banyak ‘downforce’.

Walau bagaimana pun, motosikal H2R dan H2 adalah motosikal lumba sejati, jadi mengembara atau berulang-alik di atasnya bermakna penunggang merana. Ramai orang tertanya-tanya sama ada motosikal H2 boleh dijadikan lebih praktikal.

Kini, permintaan anda telah ditunaikan apabila Kawasaki memperkenalkan H2 SX di Pertunjukan EICMA 2017. Kawasaki kini mempunyai sebuah jentera sport-tourer di cas lampau.

Di sini adalah lima perkara yang kami jangkakan dari motosikal Kawasaki Ninja H2 SX.

1. ERGONOMIK YANG DIROMBAK SEMULA

Kelebihan sebuah sport-tourer adalah ergonomik yang selesanya.

Kerangka keluli trellis H2 SX ini berdasarkan motosikal H2, namun telah diperkuatkan dan dipanjangkan. Bersama dengan pelana pembonceng baru, ianya kini lebih tebal dan juga lebar. Palang pemegangnya telah diangkat lebih tinggi lagi untuk memberikan posisi menunggang yang lebih tegak.

Penggayaannya pula masih lagi mempunyai iras-iras sebuah H2, tetapi ianya lebih bulat, besar dan kini mempunyai penghadang angin yang lebih tinggi.

2. KAPASITI MUATAN YANG LEBIH BESAR

Satu lagi kelebihan kerangka yang telah dirombak semula itu adalah kebolehannya untuk membawa pembonceng serta bagasi. Motosikal H2 SX ini telah dikadarkan untuk membawa muatan seberat 195.5kg. Lengan ayunnya telah dipanjangkan sebanyak 15mm untuk kestabilan tambahan, manakala sudut kekunci sterengnya telah ditambah sebanyak 30 darjah pada kedua-dua belah bagi memudahkan pengendalian pada kelajuan rendah.

3. ENJIN YANG DIPERHALUSI

Enjin yang hebat pada motosikal H2 dan H2R telah menjalani beberapa perubahan bagi memudahkannya untuk penunggangan jalan raya dan juga kembara. Objektifnya adalah untu memberikan jangkauan tork yang lebih rendah dan sederhana.

Pendesak pengecas lampaunya itu telah direka semula sepenuhnya dengan kebuk masukan baru, cams, dan ekzos. Kecekapan termal enjin berkenaan juga telah dipertingkatkan dengan menambah nisbah mampatan menjadi 11.2:1, dari 8.5:1; beserta dengan omboh bersadur aluminium baru, silinder, dan kepala silinder. Masukan serta profil cam ekzosnya juga telah dipendekkan untuk memenuhi keperluan tunggangan jalan raya.

Perubahan ini masih lagi boleh menghasilkan 197.6hp dan 101Nm tork yang sama.

4. JARAK YANG LEBIH JAUH

Satu lagi aspek yang penting bagi sebuah motosikal sport-tourer adalah jarak, kerana sekiranya anda mengharapkan untuk mengembara secara realistik, anda memerlukan sebuah jentera yang boleh pergi lebih jauh daripada 200 hingga 250 km dengan satu tangki penuh.

Motosikal H2 SX kini mempunyai sebuah tangki bahanapi 19 liter. Rombakan semula pada sifat enjinnya itu telah menghasilkan jumlah perbatuan bahanapi yang menandingi motosikal Kawasaki Ninja 1000 (Z1000SX) dan Versys 1000.

5. PAKEJ ELEKTRONIK BARU

Motosikal H2 SX akan bercirikan sebuah paparan LCD 2-mod yang baru.

Selain itu, ia juga menggunakan kawalan bersiar elektronik, pencahayaan keseluruhan LED, Kawalan Cengkaman Kawasaki 3-mod (KTRC), Kawasaki Intelligent ABS (KIBS), kawalan brek enjin, tiga mod kuasa, beserta dengan Unit Pengukuran Inertia (Inertia Measurement Unit – IMU) 5-paksi Bosch dengan paksi keenam tambahan (yaw) yang dihitung oleh perisian yang dibangunkan dalam WorldSBK milik Kawasaki sendiri.

Motosikal H2 SX SE pula mempunyai perincian tambahan seperti LCD berwarna sepenuhnya, lampu menyelekoh LED, penghadang angin yang lebih besar, Kawasaki Launch Control Mode yang mengawal wheelie serta putaran roda, quickshifter untuk ke gear tinggi mahu pun rendah, wayar brek keluli bersirat, genggaman yang dipanaskan, dan tongkat tengah.

Kedua-dua model berkenaan bersuspensikan fork 43mm boleh laras sepenuhnya KYB dan penyerap hentakan belakang 40mm dengan pautan uni-Trak yang dirombak semula.

Breknya pula adalah cakera brek hadapan 320mm yang digenggam oleh angkup 4 omboh, namun ianya bukanlah berjenama Brembo.

KESIMPULAN

Kami mengandaikan akan ada lebih banyak penambahan daripada apa yang ada pada spesifikasinya apabila motosikal H2 SX dan H2 SX SE membuat kemunculannya di tanah air kita nanti. Dengan adanya model-model ini nanti, anda pasti akan lebih segera sampai ke destinasi anda dan dapat meluangkan lebih banyak masa menikmati tempat itu,

Bak kata Kawasaki, ‘Supercharge your journey”.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]