- Modenas telah menganjurkan satu program yang teramat istimewa untuk lebih kurang 300 orang pemilik motosikal Modenas semalam (Sabtu, 30 Disember 2017) yang dinamakan Gempak Santai Modenas.
- Mereka yang telah menghadiri acara berkenaan semalam telah menikmati pelbagai aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan termasuklah cabutan bertuah, tunggang uji, dan kempen penyelenggaraan untuk motosikal kesayangan mereka.
- Tujuan program tersebut adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara jenama berkenaan dan para pelanggannya di dalam negara.
Pengeluar motosikal nasional Malaysia, Modenas, telah mengadakan satu acara yang khas pada hari Sabtu, 30 Disember 2017 semalam yang telah diberi nama Gempak Santai Modenas Volume 1. Lebih daripada 300 orang pemilik motosikal Modenas dari seluruh negara telah berhimpun di Kompleks Ibu Pejabat EON di Glenmarie, Shah Alam di mana Modenas telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang menarik buat para pengunjung yang telah menghadiri acara berkenaan semalam.
Lebih kurang 300 orang pemilik motosikal Modenas, tidak kiralah dari pemilik motosikal Modenas Pulsar yang baru, hingga ke model ikonik jenama berkenaan, CT115 dan motosikal Jaguh telah berkumpul di ibu pejabat mereka itu dalam satu usaha untuk memperkukuhkan lagi silaturahim di antara Modenas dengan penggunanya yang senantiasa bertambah.
Acara tersebut telah dimulakan dengan pelbagai aktiviti seperti sesi tunggang uji Pulsar Power beserta dengan sebuah demonstrasi cub prix yang amat mengujakan yang telah dipersembahkan oleh bintang-bintang mereka yang kini sedang bertanding dalam siri perlumbaan Malaysian Cub Prix.
Yang lebih penting lagi, para pemilik motosikal telah disambut mesra oleh para petugas penyelenggara Modenas yang berada di sana, di mana bagi mereka yang ingin membuat pemeriksaan dan penyelenggaraan motosikal mereka akan ditawarkan dengan harga serta diskaun yang istimewa. Para petugasnya terdiri daripada mekanik dan juruteknik pakar dari Modenas yang sedia memberikan pemeriksaan rapi untuk setiap motosikal bagi memastikan prestasi optimum.
Sesudah makan tengah hari, sesi perkongsian ringkas di antara para pemilik dan pihak pengurusan telah diadakan, bukan sahaja untuk merapatkan kedua belah pihak, tetapi juga bagi mendengar segala maklum balas mengenai perkara yang boleh diperbaiki di antara Modenas, motosikal mereka, dan sudah semestinya, peminat setia jenama itu sama ada yang lama mahu pun baru.
Beberapa cabutan bertuah telah dijalankan di mana para hadirin akan dapat membawa pulang hadiah-hadiah yang menarik seperti sebuah helmet serba baru. Seorang pemenang bertuah ternyata lebih bertuah berbanding yang lain di mana dia telah berjaya membawa pulang sebuah motosikal Modenas Kriss MR2 serba baru!
Secara keseluruhannya, Modenas telah menjalankan tugas yang baik sekali dalam merapatkan jurang di antara pengeluar dan penggunanya. Pada kadar yang sedang mereka lakukan (termasuklah dengan acara Pulsar Power yang telah diadakan di litar Speedway PLUS pada hujung minggu yang lalu), kami yakin yang imej serta jenama pengeluar ini akan terus kukuh menjelang tahun baru ini.