Modenas Pulsar Power Test

  • Pengeluar motosikal kebangsaan, MODENAS telah menganjurkan sebuah acara besar-besaran meraikan duah buah model Pulsar terkini mereka.
  • Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang hari sewaktu acara berkenaan berlangsung.
  • Hadiah utama cabutan bertuah acara berkenaan merupakan sebuah motosikal Modenas Pulsar NS200 serba baru.

Litar Kart Speedway PLUS, 23 Disember 2017 – Tidak dapat dinafikan lagi yang model-model terkini dari Modenas, Modenas Pulsar RS200 dan Pulsar NS200 telah mendapat sambutan hangat dan popular sejak pelancarannya beberapa bulan yang lalu. Oleh kerana itu, ianya masa yang amat tepat sekali buat Modenas untuk menganjurkan sebuah perjumpaan, dinamakan “Modenas Pulsar Power Test”.

Acara ini bermula dengan sebuah konvoi oleh Modenas Pulsar Owners Club (MPOC) dari ibu pejabat Modenas Emos di Glenmarie, Shah Alam, ke litar (lebih dikenali sebagai “Litar Elite” atau hanya “Elite”). Lebih daripada 400 orang peserta mula berkumpul di sana seawal jam 7 pagi. Konvoi itu memulakan perjalanannya pada jam 8 pagi dan tiba di litar pada jam 9 pagi untuk permulaan acara.

Terdapat juga peserta yang telah menuju terus ke litar Elite, menjadikan jumlah keseluruhannya hampir mencecah sehingga 1,800 peserta, berdasarkan nombor siri pendaftarannya. Di mana kebanyakan daripada mereka adalah dari sekitar Lembah Klang, terdapat juga sebilangan mereka yang telah tiba dari sepelusuk wilayah Semenanjung Malaysia, sama ada Pulau Pinang, Pantai Timur, Johor, dan lain-lain.

Modenas telah mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang hari berkenaan. Modenas juga turut menyediakan 20 buah motosikal Pulsar NS200 dan Pulsar RS200 yang baru untuk acara ini.

Acara utamanya adalah acara “Power Test Ride”, di mana pemilik semasa dan juga bakal pemilik diberikan peluang untuk menunggang uji kedua-dua model NS200 dan RS200 di atas litar tersebut. Keselamatan penunggang diutamakan dan oleh kerana itu setiap peserta tunggang uji diperlukan untuk mengenakan kelengkapan menunggang yang lengkap sebelum dibenarkan untuk menunggang di atas litar.

 

Tunggang uji itu telah diadakan secara berkumpulan dan seorang penunggang Cub Prix Modenas mengetuai setiap kumpulan sewaktu pusingan pemanas badan sebelum melepaskan mereka bagi menunggang mengikut rentak masing-masing.

Di luar kawasan litar, Modenas telah mendirikan khemah khas bagi menyelenggarakan motosikal pelanggan, di samping menawarkan kelengkapan alat ganti seperti minyak enjin, penapis minyak, palam pencucuh, penapis udara, serta bateri. Pemilik juga telah ditawarkan peluang untuk memeriksa sistem elektronik motosikal mereka menggunakan sebuah penguji diagnostik khas.

 

Laluan sisi bersebelahan dengan khemah-khemah itu telah dipagari sehinggalah ke bulatan sebagai kawasan ujian pecutan jalan lurus dan litar slalom yang dinamakan “Power Time Attack”.

Sebuah kawasan yang berbeza pula telah dikhaskan untuk pertunjukan aksi lagak ngeri di mana para penunggang aksi lagak ngeri mempersembahkan pelbagai aksi seperti ‘wheelie’, ‘stoppie’, ‘burnout’, dan bermacam-macam lagi.

Bersebelahan kawasan aksi lagak ngeri adalah tempat di mana demonstrasi “Power Corner” telah dijalankan. Para penunggang Cub Prix Modenas telah melakukan demonstrasi menunjukkan kebolehan motosikal Pulsar RS200 dan NS200 membuat pusingan tajam walaupun dalam ruangan yang sempit, selain daripada mempamerkan kestabilan motosikal-motosikal ini di mana ianya dicondongkan serapat ke tanah yang boleh, walaupun pada kelajuan yang rendah. Para penunggang telah melakukan pusingan mereka itu dengan lutut mencecah jalan tar!

Selain daripada pelbagai aktiviti berkaitan kedua-dua buah model berkenaan, Modenas juga turut menjemput beberapa buah ‘food truck’ bagi memeriahkan lagi suasana dan mengisi perut peserta. Di bawah adalah gambar sebuah kugiran yang telah membuat persembahan pada hari itu, diketuai seorang gadis dengan vokal yang padu.

Pengeluar aksesori, kelengkapan menunggang, dan bagasi motosikal tersohor, GIVI, juga turut berada di acara berkenaan dengan bas acara istimewa mereka, memperagakan pelbagai pilihan yang tersedia bagi kedua-dua buah motosikal Pulsar berkenaan. GIVI juga turut menyewakan helmet ‘full face’ kepada para peserta yang ingin mengambil bahagian dalam tunggang uji berkenaan.

 

Modenas telah mengadakan pelbagai cabutan bertuah di sepanjang hari itu, dengan pelbagai hadiah yang menarik. Cabutan terakhirnya telah diadakan pada jam 5 petang di mana pemenang bertuahnya telah berjaya membawa pulang sebuah motosikal Pulsar NS200 serba baru.

Ianya sebuah acara yang hebat kelolaan Modenas dan kami di MotoMalaya berasa amat gembira menyaksikan jenama kebangsaan ini semakin mendapat tempat di kalangan penggemar motosikal negara dan pastinya ternanti-nantikan acara hebat yang seterusnya pada masa yang akan datang.

GALERI GAMBAR

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.