- Pasukan Pull&Bear Aspar Ducati MotoGP telah memutuskan untuk menjenamakan semula pasukan mereka sebagai Angel Nieto Team.
- Penjenamaan semula ini dilakukan sebagai satu tanda hormat bagi juara dunia 13 kali yang telah meninggal dunia, Angel Nieto.
- Nieto telah meninggal dunia pada bulan Ogos yang lalu apabila dia telah bertembung dengan sebuah kenderaan yang lain sewaktu menunggang motosikal quadnya berhampiran rumahnya di Ibiza.
Sebagai satu tanda penghormatan buat Angel Nieto, juara dunia 13 kali yang telah meninggal dunia baru-baru ini, pasukan Pull&Bear Aspar Ducati telah memutuskan untuk menjenamakan semula diri mereka sebagai Angel Nieto Team bagi musim 2018 MotoGP. Keputusan ini telah dibuat oleh pemilik pasukan, Martinez Aspar yang pernah menjadi pesaing tersengit Nieto dan pada masa yang sama, teman paling rapat pelumba legenda berkenaan.
Pengumuman itu menjadi lebih istimewa apabila Gelete Nieto, anak lelaki Angel, diumumkan akan menyertai pasukan tersebut sebagai pengarah sukan bermula musim hadapan. Ianya pasti membantu dalam memastikan yang darah daging dan warisan penunggang legenda yang sudah tidak lagi bersama kita itu akan terus berada di dalam peringkat tertinggi perlumbaan motosikal.
Menurut Martinez Aspar, “Angel adalah punca mengapa begitu ramai penunggang dari Sepanyol, termasuk saya, anak-anak lelakinya, dan ramai lagi yang lain, ingin menumpukan hidup kami pada perlumbaan dan menjadi juara dalam sukan yang kami minati ini. Atas jasanya itu, kami mempunyai peminat yang terhebat di dalam dunia. Angel akan terus kekal selamanya, dia tidak akan hilang dari ingatan kami dan dengan penjenamaan semula ini, dia akan tersemat lebih kemas di dalam minda kami, sekiranya ianya mungkin, sewaktu kami terus menghasilkan juara dan mengekalkan api semangat membara kami untuk sukan ini terus menyala.”
Angel Nieto telah meninggal dunia pada bulan Ogos yang lalu di mana malangnya dia telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya di Ibiza. Dia pada ketika itu sedang menunggang motosikal quadnya sewaktu bertembung dengan sebuah kenderaan yang lain. Juara GP 12+1 itu berusia 70 tahun.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kejadian yang telah meragut nyawa Angel Nieto, TEKAN SINI.
Sumber: MotoGP