Honda Bersedia Untuk Bersaing dalam Suzuka 8 Hours 2018 Bersama Dengan Pasukan Pengilang HRC

 

  • Honda telah mengumumkan bahawa akan adanya satu lagi penyertaan baru bagi perlumbaan ketahanan Suzuka 8 Hours 2018 bersama dengan pasukan pengilang HRC mereka.
  • Pengumuman ini dibuat setelah Yamaha Factory Racing Team memenangi perlumbaan ikonik buat tiga tahun yang lalu.
  • Pengeluar tersohor dari Jepun itu mungkin juga bakal menggunakan penunggang utama mereka dari siri perlumbaan MotoGP dan WorldSBK bagi memperbaiki peluang mereka bagi tahun 2018.

Salah sebuah perlumbaan ketahanan motosikal terhebat di dunia, Suzuka 8 Hours, bakal menyaksikan perubahan besar di kalangan pesaing utamanya bagi tahun 2018. Selepas dominasi selama tiga tahun oleh Yamaha Factory Racing Team yang menyaksikan pasukan itu memenangi perlumbaan pada bulan Julai yang lalu (yang juga merupakan ulang tahun ke-40 perlumbaan berkenaan), Honda memutuskan sudah tiba masanya untuk mereka bertindak balas.

Sumber imej: FIM EWC

Honda memandang serius penglibatan mereka dalam perlumbaan, dan ianya telah terbukti dari keputusan-keputusan yang telah diperolehi mereka. Selepas penglibatan selama 40 tahun dalam perlumbaan ketahanan ikonik Jepun itu, mereka telah memenanginya sebanyak 27 kali namun sejak tiga tahun yang lalu, Yamaha telah menguasai penuh perlumbaan berkenaan dengan jentera kilang sepenuhnya mereka dan penunggang bertaraf dunia dari siri perlumbaan WorldSBK dan MotoGP.

Aleix Lowes setelah memenangi Suzuka 8 Hours 2017 di atas jentera Yamaha YZF-R1

Oleh kerana itu, Honda telah bertindak balas dengan pengumuman penyertaan pasukan pengilang sepenuhnya HRC yang akan bersaing dalam perlumbaan berkenaan. Ini adalah satu langkah yang besar memandangkan yang mereka telah pun memberikan bantuan kepada pasukan-pasukan seperti F.C.C. TSR Honda dan MuSASHi RT HARC-PRO yang telah beraksi dengan cukup baik pada perlumbaan tahun ini, merangkul tempat ke-tiga dan juga ke-empat.

Kami mengandaikan bahawa Honda menganggapnya sebagai satu tamparan memandangkan Yamaha telah memenangi perlumbaan berkenaan diikuti oleh Kawasaki Team Green, di mana penunggang dari negara kita sendiri, Azlan Shah Kamaruzzaman telah membantu mereka mencapai keputusan berkenaan.

Azlan Shah di atas jentera Kawasaki Team Green, Kawasaki ZX-10R

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pencapaian Azlan Shan beserta Kawasaki di dalam perlumbaan ketahanan Suzuka 8 Hours 2017, TEKAN SINI.

Dengan barisan penunggang seperti Pol Espargaro, Bradley Smith, Michael van der Mark, Aleix Lowes membantu Yamaha buat beberapa tahun yang lalu, Tidak mengejutkan sekiranya Honda memutuskan untuk menggunakan khidmat Marc Marquez dan Dani Pedrosa bagi menghangatkan lagi pertandingan. Namun ianyaagak tipis sekali memandangkan perlumbaan tersebut berlangsung di tengah-tengah musim MotoGP.

Adakah kita bakal menyaksikan kemunculan Marc Marquez dalam perlumbaan ketahanan Suzuka 8 Hours 2018?

Takaaki Nakagami, Jack Miller, serta Cal Crutchlow lebih berkemungkinan digunakan berbanding para penunggang Repsol Honda. Walau apa pun jua, perlumbaan “2018 Suzuka 8 Hours FIM World Endurance Championship” bakal dihangatkan lagi dengan pengumuman ini. Siapakah yang bakal muncul juara? Pasukan pengilang Yamaha atau pengilang HRC? Kami tidak berani untuk pilih.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]