- Royal Enfield Baru sahaja mempratontonkan tawaran terkini mereka untuk tahun hadapan dalam bentuk sebuah motosikal kembara, Royal Enfield Himalayan 2018.
- Motosikal kembara tahap mulaan ini dilengkapi dengan sebuah enjin 411cc satu silinder yang menghasilkan 24.5hp dan 32Nm tork.
- Motosikal Royal Enfield 2018 ini dijangkakan tiba di bilik pameran seluruh dunia sekitar bulan Jun dengan harganya ditetapkan pada paras $4,459 (kira-kira RM18,370).
Pada masa dan ketika ini, kita sedang menyaksikan penambahan bilangan penggemar motosikal kembara di seluruh dunia. Dengan semakin ramai pengeluar mengikut trend menghasilkan motosikal kembara yang lebih mampu milik untuk kegunaan ramai, Royal Enfield telah menjadi pengeluar terbaru yang mengambil kesempatan di atas trend semasa ini dengan mempratontonkan motosikal scrambler terbaru mereka, Royal Enfield Himalayan 2018.
Memberikan lebih tumpuan kepada penunggang-penunggang berketinggian lebih rendah, terutamanya yang ada di pasaran Asia, motosikal Himalayan 2018 ini dari segi rupa bentuknya pasti akan mendapat pujian ramai. Dengan berat bersihnya hanya pada 191kg, mengemudi motosikal ini sama ada di atas jalan raya berturap mahu pun tanah merah pastinya mudah walaupun untuk penunggang yang baru. Motosikal yang lebih ringan juga bermakna yang sekiranya anda terjatuh atau terbabas di kawasan semak di atas jalan tanah merah, mengangkat semula motosikal Himalayan ini sudah pasti lebih mudah berbanding dengan motosikal ADV yang lebih berat.
Dijana oleh enjin suntikan bahanapi, sejukan udara, satu silinder 411cc, motosikal Himalayan ini menghasilkan sejumlah 24.5hp pada 6,500rpm dan 32Nm tork maksimum pada 4,250rpm. Keseluruhan kuasanya itu akan diagihkan ke roda belakangnya melalui sebuak kotak gear lima kelajuan dengan aturcara pacuan akhir rantai.
Oleh kerana tumpuannya adalah sebagai sebuah motosikal ‘off-road’ yang berkebolehan, motosikal Himalayan 2018 ini dilengkapi dengan suspensi dengan ruang gerakan yang panjang yang datang dalam bentuk fork teleskopik 41mm dengan ruang gerakan 200mm beserta penyerap hentakan belakang dengan pautan yang memberikan ruang gerakan sebanyak 180mm.
Digandingkan dengan tangki bahanapi 15 liter, ianya adalah sebuah jentera yang dapat meliputi jarak yang jauh sebelum memerlukan isian semula. Ramai pasti beranggapan yang sebuah motosikal satu silinder pasti akan berhadapan dengan masalah gegaran sewaktu menunggang namun begitu, Royal Enfield telah mengatasi masalah ini dengan penggunaan pengimbang balas.
Day henti motosikal ini didatangkan dalam bentuk sebuah cakera brek hadapan 300mm dengan angkup terapung dua omboh beserta dengan sebuah cakera brek belakang dan angkup satu omboh. Motosikal ini dilengkapi dengan tayar 21 inci di bahagian hadapan dan 17 inci di bahagian belakang untuk keseronokan yang tidak terhingga di dalam sebarang cuaca.
Motosikal Royal Enfield Himalayan 2018 ini dijangkakan tiba di bilik pameran di seluruh dunia pada pertengahan tahun hadapan dengan tanda harganya ditetapkan pada hanya $4,499 (kira-kira RM18,370 selepas pertukaran terus matawang). Satu harga yang amat berpatutan yang mana Royal Enfield telah mendakwanya sebagai pilihan yang tepat bagi mereka yang mengingini sebuah motosikal yang mampu dimiliki, cekap, dan tahan lasak dalam kancah dunia penunggangan kembara.