Superkip Racing Academy Akan Memulakan Kempen Cub Prix Musim 2018

 

  • Bintang Moto2 Malaysia, Khairul Idham Pawi telah menubuhkan sebuah akademi perlumbaannya sendiri.
  • Superkip Racing Academy akan menyertakan penunggangnya dalam siri perlumbaan Cub Prix 2018.
  • Pasukan berkenaan akan diuruskan oleh ayah Superkip, Pawi Omar.

Usia yang muda dengan jadual yang penuh dalam MotoGP tidak menjadi penghalang buat penunggang Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, dari melatih para penunggang muda melalui Superkip Racing Academy miliknya sendiri.

Selain daripada melatih penunggang muda, akademi yang bertapak di Kampung Gajah, Perak itu juga telah mengambil langkah yang berikutnya dengan memulakan kempen mereka di pentas perlumbaan professional kebangsaan, iaitu Kejohanan PETRONAS AAM Malaysia Cub Prix pada tahun 2018, dalam kategori Wira dan CP115.

Di kalangan penunggang yang ada bersama Superkip Academy adalah adik Khairul, Anuar Ibrahim Pawi, penunggang Honda Wave Alpha Challenge, Md Afizat Supaat, Md Amer Rossi Amidi, Md Hazim, dan Md Haziq Rosmaza.

“Pemilihan penunggang telah dijalankan sejak pertengahan musim Kejohanan Cub Prix 2017 di mana kami telah meninjau dan menilai bakal pesaing dalam siri perlumbaan satu model Honda.”

“Setelah menyenaraikan beberapa orang penunggang, kami telah menjemput mereka untuk menjalani sesi latihan saya sebaik sahaja Kejohanan Cub Prix tamat di Johor pada bulan November yang lalu. Kami melakukan pendekatan yang berbeza di mana penunggang bukan sahaja menjalankan latihan intensif, tetapi juga telah disediakan tempat tinggal di sini. Selain daripada latihan di atas litar, mereka juga telah menjalani latihan-latihan yang lain seperti kecergasan, berbasikal, dan bermacam-macam lagi mengikut jadual yang telah ditetapkan,” ujar penunggang berusia 19 tahun berkenaan.

Mengulas mengenai sasaran untuk setiap penunggang, Khairul berkata,”Ini adalah tahun pertama pasukan ini bertanding di siri perlumbaan Cub Prix manakala para penunggang juga buat pertama kalinya bersaing dalam kelas yang lebih tinggi. Kami tidak menetapkan sasaran yang terlalu tinggi, kami akan berpuas hati dengan lima tempat teratas, dan sudah pasti akan berasa teramat gembira sekiranya mereka berjaya menaiki podium.”

“Persaingan sudah pasti akan menjadi sengit sekali dan mereka akan menghadapi penunggang dan pasukan yang lebih berpengalaman, termasuklah pasukan lama saya, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing. Persaingan ini sudah pastinya sesuatu yang hebat sekali dan saya berharap yang para penunggang akan dapat menimba pengalaman yang berguna pada tahun ini.”

Dia menambah, “Pasukan ini akan diselia oleh ayah saya kerana saya akan sering berada di Eropah pada tahun hadapan. Meskipun begitu, saya akan sentiasa menyaksikan mereka berlumba secara langsung di media sosial ketika saya tidak terlibat dalam perlumbaan dan akan sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak pengurusan.”

Ayah Khairul, Pawi Omar, yang akan bertindak sebagai pengurus pasukan, pula telah mengatakan yang pelan untuk menubuhkan akademi berkenaan timbul setelah Khairul memenangi perlumbaan Moto3 di Argentina dan Jerman.

“Pada peringkat permulaannya, akademi ini telah dibina bagi menyediakan bimbingan buat pemuda tempatan yang berminat dalam perlumbaan sebelum mereka memutuskan untuk mengambil langkah yang seterusnya.”

“Cara yang kami gunakan untuk membimbing Khairul selama ini akan digunakan untuk membimbing penunggang-penunggang lain. Paling utama sekali adalah sokongan untuk para penunggang itu sendiri. Kami amat gembira kerana keluarga para penunggang dalam akademi ini menyokong penuh dan membenarkan mereka tinggal bersama kami untuk latihan dan persediaan untuk perlumbaan Cub Prix,” terangnya.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]