Subsidi Minyak Petrol RON95 Buat Motosikal Bawah 125cc

Sumber imej : springadvertise.co.za
  • Kementerian Kewangan telah membuat usulan pelan subsidi minyak petrol RON95.
  • Ia meliputi motosikal bawah 125cc dan kereta di bawah 1,500cc.
  • Pemilik motosikal yang berkelayakan akan menerima subsidi petrol sebanyak 40 liter manakala pemilik kereta yang layak akan menerima subsidi petrol sebanyak 100 liter.

Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kewangan telah membentangkan usul bagi sebuah sistem subsidi minyak petrol yang baharu. Pelan ini khusus untuk minyak petrol RON95 bagi motosikal bawah 125cc dan kereta bawah 1,500cc.

Menteri Kewangan Malaysia, Yang Berhormat Lim Guan Eng telah membuat pengumuman ini sewaktu beliau membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen tempoh hari.

Beliau turut menyatakan bahawa langkah ini akan menelan belanja sebanyak RM 2 Billion, merangkumi sehingga 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal. Subsidi ini akan melayakkan pemilik motosikal untuk menerima maksimum 40 liter minyak petrol, dan 100 liter buat pemilik kereta.

Mekanisma pelaksanaan pelan ini masih belum didedahkan. Di sini, kami mengandaikan yang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memaklumkan mereka yang layak. Mereka ini kemudiannya akan dibekalkan dengan kad subsidi.

Baik atau buruk langkah yang telah diumumkan ini, kami serahkan kepada anda untuk menilainya. Pada pendapat kami, pelan yang diusulkan ini boleh memberi manfaat kepada pemilik motosikal yang kurang berkemampuan. Namun, pada masa yang sama, masih ada lagi yang boleh diperbaiki mengenai pelan subsidi ini. Berbanding sistem subsidi semasa yang memberi manfaat yang sama tidak mengira pendapatan seseorang itu, pelan ini memastikan manfaat subsidi lebih mensasar kepada mereka yang memerlukannya. Atas sebab itulah kerajaan telah mencadangkan subsidi diberikan untuk motosikal bawah 125cc, dan bukannya motosikal di bawah 250cc, atau 400cc.

Pengumuman ini masih dalam pengusulan, di mana belanjawan ini masih perlu dipersetujui oleh majoriti Parlimen. Kita tunggu dan lihat sahaja bagaimana hasilnya apabila usul ini dipersetujui.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.