Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah
- Motosikal Honda CRF1000L Africa Twin adalah sebuah jentera yang cukup hebat untuk ditunggangi.
- Namun begitu, ianya agak besar dan juga tinggi, terutamanya bagi kita warga Asia.
- Honda menyedari yang mereka tidak mempunyai sebuah motosikal kembara kelas pertengahan.
Ramai peminat telah berasa amat gembira apabila Honda mengumumkan kemunculan semula motosikal Africa Twin pada tahun 2015. Dan bukan di kalangan kelompok peminat antarabangsa sahaja yang amat menyukai motosikal Africa Twin ini, tetapi ia juga turut popular di kalangan penggemar di Malaysia sewaktu lewat 90-an dan awal tahun 2000.
Penulis juga pernah angaukan jentera tinggi yang datang dalam warna putih, merah dan biru ini, lengkap dengan pelindung tangan, pelindung gril besi untuk lampu hadapan berkembar, selubung tangki bahanapi/radiator yang besar, dan juga pelindung takungan yang besar, serta nota bunyi ekzosnya yang bergema itu. Ianya kelihatan cukup gagah sekali untuk menangani hutan belantara tanpa sebarang masalah!
Malah, versi terakhir XRV750T pada tahun 2003 tampak seperti ianya telah menelan sebuah Honda CBR900RR Fireblade sebelum keluar menakluk gunung.
Model yang pertama, XRV650 telah dibina oleh Honda Racing Corporation (HRC) sendiri. Ya, mereka adalah orang yang bertanggungjawab di atas ke semua motosikal perlumbaan Honda. Sesetengah pihak telah menggelarnya sebagai “RC30 untuk off-road”. Ianya dihasilkan berasaskan motosikal Honda NXR-750 yang telah memenangi Rali Paris-Dakar sebanyak empat kali dalam tahun 80-an.
Motosikal 650 kemudiannya bertukar menjadi XRV750 Africa Twin, model paling terkenal yang ada di sini. Namun ianya tidak pernah dieksport ke Amerika Syarikat.
Apabila Honda menghentikan pengeluarannya pada tahun 2003, ianya telah menghancurkan hati ramai peminatnya.
Kini, dengan enjin Twin-selari, engkol 270 darjah (untuk mengajuk aturan pembakaran sebuah enjin V-Twin 90 darjah), 1000cc, dengan pilihan Dual Clutch Transmission (DCT) Honda, motosikal CRF1000L Africa Twin yang baru ini dijanjikan sebagai sebuah versi yang lebih baik serta lebih kontemporari buat motosikal dengan warisan dan salasilah yang tersohor itu semasa ianya dilancarkan pada tahun 2015. (TEKAN SINI untuk membaca mengenai Tanggapan Pertama yang telah ditulis oleh laman saudara kami, Bikes Republic)
Saya berjaya mendapat satu peluang untuk menunggangi CRF1000L ini di Thailand sewaktu tunggangan GIVI Golden Triangle Adventure 2017. Terdapat sejumlah tiga buah Africa Twin sewaktu penunggangan itu, dua daripadanya dengan kelengkapan DCT. Ianya sebuah jentera yang menakjubkan untuk ditunggang; gayanya, keseimbangannya, keselesaannya, serta tork enjinnya. Tetapi ianya agak tinggi dan ini menjadikannya agak berat untuk dikendalikan dalam persekitaran dalam bandar yang sibuk. Ianya jauh lebih tinggi berbanding Versys 650 dan Suzuki V-Strom 650, dan ianya sebuah motosikal yang membuatkan motosikal BMW R 1200 GS LC tampak pendek dan lebar.
Namun demikian, sekiranya anda teringin untuk mengembara dan berkeras mahukan Honda yang lebih kecil, anda boleh membuat pilihan daripada rangkaian yang terdiri daripada CRF250L atau CRF250 Rally, CB500X, NC700X dan NC800X, tetapi kehebatannya tidak akan sama seperti sebuah Africa Twin.
Honda sedar akan hal ini. Kenji Morita, Ketua Projek Utama bagi Africa Twin, berkata, “Apabila kita berkata mengenai motosikal kembara yang tulen, kami tidak mempunyai rangkaian yang luas. Dan ya, kami sedang berkira-kira untuk mengeluarkan model pertengahan untuk menarik minat penunggang yang lebih muda.”
Honda sudah pun mempunyai enjin Twin-selari 750cc yang menjana motosikal NC750X dan X-ADV (penulis juga telah menungganginya di Thailand. Ianya cukup mengagumkan!). Tetapi ini akan mencipta satu rangkaian produk dengan model-model yang terlalu rapat dari segi kuasa di antara satu sama lain. Jadi, bagaimana pula jika mereka membangunkan sebuah enjin 650cc sebagai satu talian terus kepada motosikal XRV650 Africa Twin yang asal?
Ini adalah satu segmen yang tidak boleh dilepaskan oleh Honda, oleh kerana pasaran motosikal kembara kelas pertengahan (750cc hingga 800cc) ini telah menjadi medan pertarungan paling hangat. Ianya sedang disaingi dengan sengit sekali di antara BMW F 850 GS, Triumph Tiger 800, KTM 790 Adventure, serta bakal ditandingi oleh motosikal yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, Yamaha Ténéré 700.
Honda menyatakan yang mereka kini tidak dalam usaha membangunkan Africa Twin yang lebih kecil buat masa ini, tetapi apa yang kami boleh kata dengan yakin sekali, mereka tidak akan berdiam diri. Jadi, nantikan perkembangannya di sini.