Suzuki GSX-S1000FZ Edisi Phantom 2018 Diumumkan

 

  • Suzuki telah mengumumkan motosikal Suzuki GSX-S1000FZ Phantom 2018 yang telah dikemaskini untuk tahun hadapan.
  • Tambahan terbaru dalam rangkaian motosikal GSX-S Phantom ini didatangkan dalam warna hitam matte keseluruhan dengan kemasan warna merah serta ekzos yang berwarna hitam legap.
  • Suzuki juga turut memperkenalkan motosikal Suzuki GSX-S1000 yang kini didatangkan dengan warna putih dan motosikal kelas pertengahan GSX-S750 2018 dalam warna merah dan hitam.

 

 

Suzuki telah mengumumkan penambahan terbaru dalam rangkaian motosikal Phantom yang didatangkan dalam bentuk Suzuki GSX-S1000FZ Phantom 2018. Motosikal GSX-S1000FZ ini akan menyertai motosikal Suzuki GSX-S1000 Phantom dan Suzuki GSX-S750 Phantom yang telah pun tersedia di beberapa buah pasaran di seluruh dunia.

Motosikal GSX-S1000FZ Phantom 2018 yang baru ini didatangkan dalam warna hitam matte keseluruhan dengan kemasan halus berwarna merah bagi menyerlahkan lagi keganasan motosikal super sports tourer ini. Walaupun sudah ada sebuah Suzuki GSX-S1000F Phantom yang telah dikeluarkan sebelum ini, model terbaru ini mendapat huruf “Z” tambahan dibelakang namanya itu dengan sebuah kelengkapan baru yang penting bagi membezakan kedua-dua model berkenaan; sebuah ekzos berwarna hitam.

Dijana oleh enjin Suzuki GSX-R1000 K5 yang ikonik, motosikal sports tourer Suzuki terbaru ini telah ditala semula untuk kuasa yang lebih terkawal dan jangkauan rpm pada tahap rendah dan sederhana bagi membekalkan lebih kawalan serta stabiliti semasa menyusup di jalan raya dalam bandar.

Enjinnya masih mengekalkan aturcara yang sama seperti model 2017 dengan 150hp pada 10,000rpm dan 108Nm tork maksima pada 9,500rpm. Bersama dengan klac “slipper-and-assist” yang telah dibikin semula, motosikal GSX-S1000FZ 2018 terbaru ini dikatakan sebagai sebuah jentera yang lebih ‘sopan’, dengan syarat anda tidak memulas pendikitnya itu semahu anda bagi membebaskan ‘hantu’nya itu. Seperti mana yang sepatutnya bagi sebuah enjin satu-liter Gixxer.

Jika anda lebih gemar akan GSX-S1000 yang original, ianya akan didatangkan dengan warna yang baru disediakan untuk tahun 2018 iaitu dalam warna putih dengan kemasan grafik berwarna merah dan hitam serta roda berwarna merah.

Jika anda inginkan sebuah motosikal kelas pertengahan, Suzuki GSX-S750 2018 akan menggunakan spesifikasi yang sama tetapi akan disediakan dalam skema warna merah dan hitam yang serba baru.

Motosikal-motosikal ini dijangkakan untuk tiba di bilik pameran di seluruh dunia secara berperingkat bermula tahun hadapan. Untuk pasaran Malaysia pula, kita hanya mampu nantikan pengesahan rasmi daripada Suzuki Assemblers Malaysia. Buat sementara waktu ini, nikmatilah gambar-gambar motosikal yang menggiurkan ini!

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai rangkaian motosikal Suzuki GSX-S 2017, TEKAN SINI.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]