- Boon Siew Honda (BSH) baru sahaja mengumumkan yang mereka akan melancarkan pusat Honda BigWing mereka yang baru dikhususkan sepenuhnya untuk motosikal berkapasiti besar Honda.
- “Pengenalan Honda BigWing menunjukkan kesungguhan BSH dalam memupuk lebih minat dan nilai untuk para pelanggan.”
- Honda BigWing dijadualkan akan di buka di empat buah bandar raya utama – Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor bermula tahun hadapan pada bulan Januari.
Boon Siew Honda (BSH) baru sahaja mengumumkan yang akan adanya pusat perkhidmatan dan jualan motosikal satu hentian eksklusif terbaru yang dikhaskan sepenuhnya buat semua motosikal berkapasiti besar Honda, dinamakan Honda BigWing. Memenuhi keperluan ke semua motosikal 250cc dan ke atas Honda, mereka merancang untuk mempelbagaikan keseluruhan rangkaian motosikal berkuasa tinggi mereka di seluruh Malaysia.
Diumumkan ketika Malaysia Autoshow 2017 yang sedang berlangsung, pengumuman serta penyertaan mereka ini diharapkan dapat membina sebuah platform yang dipercayai buat semua pemilik motosikal besar Honda semasa dan yang akan datang, supaya mereka dapat memiliki, mendapat khidmat penyelenggaraan, dan mengkhususkan jentera kesayangan masing-masing tanpa sebarang kesukaran atau kerisauan.
Menurut Encik Nobuhide Nagata, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, “Pengenalan Honda BigWing menunjukkan kesungguhan BSH dalam memupuk lebih minat dan nilai buat para pelanggan, jadi kami bukan sahaja membekalkan produk dan perkhidmatan terbaik kami, tetapi juga akan mencipta pengalaman buat pelanggan kami melalui pelbagai aktiviti yang mengujakan.”
Pusat terbaru mereka itu akan terdiri daripada bilik pameran yang serba canggih, pusat perkhidmatan penyelenggaraan, ruangan alat ganti dan aksesori, serta ruangan menunggu untuk pelanggan. Konsep yang telah dibina oleh BSH bagi divisyen BigWing terbaru mereka itu juga akan memberikan atmosfera yang ranggi, canggih, dan premium buat ke semua yang mengunjungi pusat baru mereka itu.
Untuk memastikan yang pelanggan mereka mendapat nilai yang setimpal, ke semua pusat Honda BigWing akan dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan terkini yang diiktiraf oleh BSH sendiri manakala pegawai jualan serta kumpulan mekaniknya akan menjalani sesi latihan professional.
Langkah ini tidaklah mengejutkan memandangkan yang jualan motosikal besar Honda di Malaysia telah meningkat melebihi 400 unit berbanding dengan tahun sebelumnya. BSH berharap dapat mempertingkatkan lagi jumlah berkenaan untuk tahun hadapan dengan pengenalan pusat Honda BigWing bermula tahun hadapan.
Honda BigWing dijadualkan akan dibuka di empat buah bandar raya utama – Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor, yang telah menyumbangkan kira-kira 75% penjualan motosikal besar Honda di Malaysia. Pusat Honda BigWing yang pertama akan dilancarkan adalah di Kuala Lumpur, pada bulan Januari 2018 oleh FeTiong Motorsports Sdn. Bhd., diikuti oleh Taycon Motor Sdn. Bhd. di Pulau Pinang, Welly Team Cycle Sdn. Bhd. di Selangor, dan Additional Growth Sdn. Bhd. di Johor.
Siap sedialah, tuan-tuan dan puan-puan. Gerombolan motosikal besar Honda akan tiba bersama kekuatan penuh Boon Siew Honda dan mereka akan menderu pantas dengan adanya Honda BigWing.