BMW Motorrad Melancarkan Skuter BMW C 400 X 2018!

Advertisements

 

  • BMW Motorrad baru sahaja memperkenalkan skuter terbaru mereka di EICMA 2017, iaitu BMW C 400 X 2018.
  • Dijana oleh enjin satu silinder 350cc, skuter C 400 X terbaru ini menghasilkan 34hp pada 7,500rpm 35Nm tork maksima.
  • Skuter C 400 X ini dilengkapi dengan pencahayaan LED keseluruhan beserta Lampu Nyalaan Siang (DRL), skrin TFT 6.5 inci berwarna sepenuhnya, dan pelbagai lagi ciri premium.

 

Kali terakhir BMW Motorrad mengeluarkan skuter adalah pada tahun 2011 yang lalu dengan rangkaian BMW C 600 mereka yang berkuasa beserta dengan sejumlah besar perincian yang premium untuk sebuah maxi skuter. Pada minggu ini di EICMA 2017 di Milan, pengeluar terkemuka dari Jerman itu telah mempertingkatkan lagi tahapnya dengan pengenalan kepada skuter BMW C 400 X 2018 terbaru – sebuah skuter bersaiz sederhana yang premium.

Dengan dunia kini yang pantas bertukar kepada sebuah tempat di mana pembangunan dalam bandarnya sedang berada di tahap tertingginya, motosikal skuter telah menjadi salah sebuah mod pengangkutan yang utama. BMW menyedari akan hal ini dan telah tampil dengan sebuah skuter yang bukan sahaja penuh dengan fungsi, tetapi ianya juga sesuatu yang akan mengubah perjalanan rutin harian kepada sebuah pengembaraan yang penuh dengan keseronokan.

Dijana oleh enjin satu silinder 350cc, skuter C 400 X terbaru ini menghasilkan 34hp pada 7,500rpm dan 35Nm tork maksima pada 6,000rpm. Ke semua kuasa kudanya itu dipindahkan ke roda belakangnya melalui transmisi CVT yang telah dilengkapkan dengan pemutus gegaran dan “Automatic Stability Control” (ASC) BMW untuk cengkaman yang lebih baik walaupun ketika memecut laju.

Dirumahkan di dalam kerangka tiub keluli yang kuat dan tahan lasak, casis serta pengendalian skuter ini dipertingkatkan lagi dengan fork hadapan teleskopik dan gegelung pegas berganda yang mengendalikan bahagian belakang C 400 X ini. BMW telah mendakwa yang skuter terbaru mereka ini menawarkan pengalaman menunggang yang ‘sporty‘ serta dinamik di samping memberikan tahap keselesaan yang lebih hebat.

Pakej pembrekannya didatangkan dalam bentuk atur cara cakera berganda bagi bahagian hadapannya dan satu cakera brek di bahagian belakangnya. ABS juga turut disertakan sebagai kelengkapan standard pada skuter BMW C 400 X terbaru ini.

Kelengkapan elektronik yang ada pada skuter baru BMW ini cukup mengagumkan. Dari pencahayaan LED keseluruhannya yang premium beserta Lampu Nyalaan Siang (DRL), ke gugusan instrumen pelbagai fungsi berwarna penuh 6.5 inci TFT, skuter C 400 X ini bercirikan gaya bentuk dan fungsi. Pautan Bluetooth dan GPS? Juga telah disertakan.

Satu lagi sebab mengapa semakin ramai yang memilih skuter adalah jumlah ruangan simpanan yang ia ada. BAgi skuter C 400 X 2018 ini, beberapa buah kompartmen yang direka dengan bijak beserta Flexcase yang boleh didapati di bawah pelana menawarkan praktikaliti pada tahap yang tinggi walaupun ketika dalam perjalanan yang panjang di atas lebuh raya.

Bahagian yang paling menarik minat kami sudah pasti merupakan rekabentuk keseluruhannya dan skema warna yang telah ditawarkan dengan skuter C 400 X terbaru ini. Cat warna Zenith Metallic Blue memberikannya rupa yang moden dan mengujakan sesuai bagi mereka yang inginkan sesuatu dengan tarikan ‘sporty‘, manakala warna Alpine White pula memperagakan rupa premium dan canggih skuter ini.

Dengan permintaan untuk skuter sedang meningkat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia, BMW C 400 X 2018 ini sedia memenuhi keperluan itu di samping menawarkan sebuah pakej yang anggun, penuh fungsi, dan bergaya yang akan mengujakan peminat motosikal mahu pun kereta.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.