Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah
- Motosikal Benelli TRK 502 telah dilancarkan sebagai pilihan mampu milik bagi mereka yang inginkan motosikal ‘sport-tourer‘ kelas pertengahan yang ringkas.
- Walaupun ia tampak ringkas, motosikal Benelli TRK 502 ini direka dengan cantik sekali lengkap dengan gaya Itali.
- Benelli TRK 502 ini selesa dan cekap bahanapi.
Kita para penggemar motosikal Malaysia cukup gemar untuk mengembara dan kita lakukannya tidak kira apa pun jenis motosikal yang ada. Saya pernah ada seorang bekas teman sekerja, yang bersama dengan rakannya, menunggang sebuah motosikal kapcai 135cc sehinggalah ke Chiang Mai, Thailand, dan pulang kembali. Ada juga cerita mengenai mereka yang telah menyudahi perjalanan “Thousand Corners” di Mae Hong Son di atas jentera Vespa klasik. Satu lagi kumpulan telah menunggang motosikal Ducati Scrambler ke sempadan China. Saya juga pernah menyertai perjalanan merentas sempadan di mana ada pesertanya yang menunggang motosikal lumba. Malah, pemegang rekod tunggangan motosikal berterusan terpanjang dunia dengan jarak 5,600km adalah seorang warganegara Malaysia, yang telah menunggang tanpa henti, tanpa tidur selama 4 hari setengah.
Dan untuk sebab inilah Malaysia menjadi pasaran tumpuan motosikal ‘sport-touring‘ dan juga ‘adventure-touring‘.
Namun begitu, kos jentera 650cc dan ke atas ini selalunya bermula sedikit sahaja di bawah tahap RM40,000, meletakkannya di luar jangkauan sebahagian besar penggemarnya.
Kini, ianya telah berubah dengan kehadiran motosikal Benelli TRK 502. Diletakkan pada harga RM30,621, ianya harga yang sudah pasti akan menarik minat ramai penggemar.
Motosikal Benelli TRK 502 ini cukup indah sekali untuk dipandang. Mempunyai dwi-lampu hadapan yang garang, mengesahkan bahawa ianya merupakan sebuah motosikal Benelli, serta dengan garis alur yang melayah turun dan brek berdiameter besar. Muncungnya yang panjang itu mengingatkan kita pada sebuah motosikal ‘sport-tourer‘ buatan Itali.
Menaikinya cukup mudah kerana pelananya yang rendah, jadi kedua-dua kaki dengan mudah dapat menjejak tanah. Tetapi bagi mencapai palang pemegangnya terasa agak “berbeza”. Dengan ketinggian 167cm, saya dapati yang palang pemegangnya yang lebar itu jauh lebih ke hadapan daripada motosikal yang lain. Tetapi bukan setakat itu sahaja, Ianya juga agak tinggi, dan oleh sebab itu, membuatkan kedua-dua bahu dan siku tergantung di udara. Melaraskan palang pemegangnya ke belakang sedikit menyebabkan perumah kawalan itu berdentum-dentam menghentam bahagian atas tangki bahanapinya, jadi lebih baik dibiarkan sahaja ditempat yang sebelumnya. Tempat letak kakinya diletakkan ke hadapan dan ini bermakna lutut tidak terlipat langsung.
Gabungan tempat letak kaki yang disetkan ke bawah dan hadapan, pelana rendah dan palang pemegang yang tinggi dan terkehadapan, membuatkan saya berasa seperti menunggang sebuah motosikal ‘bagger‘ dengan palang pemegang ‘lowrise ape-hanger‘. Penunggang yang lebih tinggi mungkin sekali dapat menyesuaikan diri dengan mudah. Walau apapun, badan anda juga akan dapat menyesuaikan diri dengan posisi menunggang itu dengan pantas sekali.
Disebabkan oleh posisi menunggang ini jugalah motosikal ini terasa lebih berat dari sepatutnya sewaktu melepaskan tongkat sisi, menunggang atau menunggu di lampu isyarat.
Enjinnya bermula dalam masa beberapa putaran, pada kebanyakan masa. Ini kerana telah ada beberapa kali apabila ianya diengkol dan terus diengkol tanpa sebarang hasil. Cuma selepas dipujuk rayu baru ianya hidup. Nasib baik baterinya masih baru dan kuat, jika tidak sudah tentu saya terkandas. Pernah juga saya diketawakan oleh satu pasangan, “Hahaha, motosikal besar dia tidak boleh dihidupkan,” kata mereka dalam bahasa Cina, tanpa menyedari yang saya faham apa yang mereka katakan.
Saya berhadapan dengan isu yang sama sewaktu menunggang uji motosikal TRK 1190 dan TnT 302 beberapa tahun yang lalu. Saya berharap yang Benelli dapat memperbetulkan isu ini. Motosikal TnT 600 yang saya tunggang uji tidak mempunyai masalah ini.
Namun begitu, ketika motosikal ini ditunggangi, ianya cukup selesa sekali. Penghadang angin bersaiz besar dan panel badannya menepis tiupan angin dari bahagian muka dan badan penunggang.
Pengendaliannya boleh tahan baik, walaupun ianya tidaklah begitu lincah. Ianya stabil oleh kerana jarak antara rodanya yang panjang dan ketinggian pelana yang rendah. Penyerap hentakan belakangnya berayun-ayun semasa motosikal ini menangani selekoh yang laju, tetapi ia tetap berada di garisan laluannya. Kedua-dua suspensi hadapan dan belakang menangani kecelaan jalan dengan baik sekali, dan dengan agak kuat sekali bunyinya.
Ada orang lainkah yang mendera motosikal demo ini sebelum kami tunggang ujinya?
Breknya teramatlah baik sekali, tanpa sebarang cela. Saya tungganginya sewaktu hujan lebat dalam beberapa kali dan ianya mencengkam kuat tanpa menggegarkan motosikal itu dengan teruk. ABS-nya berfungsi seperti dijanjikan semasa mengenakan brek dengan keras di atas garisan kuning yang basah.
Enjinnya menemani anda dengan kombinasi antara raungan dan lolongan. Ia bermula dengan perlahan tetapi dapat mengekalkan kelajuan dengan mudah sekali pada kelajuan yang lebih tinggi. Daya kilasnya cukup baik sekali, sesuai dengan kapasitinya. Memotong kenderaan yang lain dapat dilakukan dengan mudah pada kelajuan yang sesuai.
Namun, untuk mencari gear NEUTRAL sewaktu enjinnya melahu sesukar mendapatkan satu billion ringgit tanpa melanggar undang-undang. Sekali lagi, ianya masalah yang sama seperti model-model yang sebelumnya, kecuali untuk model TnT 600.
Apa yang saya sambut baik adalah penambahan ‘pannier‘ besar Coocase dan juga ‘top case‘. Apa yang saya tidak sukai adalah hujan yang tertiris masuk ke dalam ‘top case‘-nya dan membasahi isi kandungan, salah satu daripadanya adalah kamera saya. Tetapi, untuk berlaku adil, ianya kelihatan seperti kotak itu telah ditimpa motosikal itu atau pun telah terjatuh ke atas lantai sebelum ini. Tetapi, untuk lebih selamat, anda boleh sahaja untuk menukarkannya dengan kelengkapan GIVI.
Secara keseluruhannya, motosikal Benelli TRK 502 ini baik-baik sahaja. Ianya telah melakukan apa yang patut ia lakukan, walaupun dengan beberapa masalah kecil yang kami nyatakan. Ianya ditetapkan pada harga yang menawarkan gaya Itali dengan prestasi yang baik pada harga yang boleh dimiliki, jadi apa boleh sahaja membawanya untuk perjalanan jarak jauh. Sebagai sebuah motosikal 500cc, ianya si pengembara yang mampu dimiliki semua.