Ducati Scrambler 1100 2018 – Motosikal Ducati Scrambler Paling Berkuasa Setakat ini

  • Tambahan terkini pada keluarga Scrambler telah pun diperkenalkan dalam bentuk motosikal Ducati Scrambler 1100 2018.
  • Enjin V-berkembar, sejukan udara, 1,079cc serba baru telah dilengkapkan pada motosikal Scrambler terbaru ini yang mana ianya dapat menghasilkan kira-kira 85hp dan 88Nm tork.
  • Terdapat tiga buah model berbeza yang boleh didapati; Ducati Scrambler 1100, Ducati Scrambler 1100 Special, dan Ducati Scrambler 1100 Sport.

 

Ducati terus mengorak langkahnya di pertunjukan EICMA 2017 di Mlian pada tahun ini dan tambahan terkini mereka ke dalam rangkaian motosikal Scrambler mereka adalah motosikal Ducati Scrambler 1100 2018. Kita sudah pun mengetahui bagaimanakah rupanya Scrambler 1100 ini apabila terdapatnya beberapa buah gambar yang telah ditiriskan di atas talian internet beberapa hari sebelum bermulanya acara utama ini.

Ducati telah mengesahkan bahawa mereka akan mengeluarkan tiga buah model yang berbeza untuk motosikal Scrambler yang terbaru ini; Ducati Scrambler 1100, Ducati Scrambler 1100 Special, dan Ducati Scrambler 1100 Sport yang telah siap sedia untuk tahun 2018.

Motosikal Ducati Scrambler terbaru ini menggunakan enjin V-berkembar, sejukan udara, 1,079cc yang telah dikatakan dapat menjana sehingga 85hp dan sekitar 88Nm tork maksima. Ini menjadikan motosikal Scrambler 1100 ini yang terbesar dan paling berkuasa dalam rangkaiannya.

Selain daripada enjinnya yang baru itu, motosikal Scrambler 1100 2018 ini juga dilengkapi dengan teknologi canggih seperti Bosch Cornering ABS, sistem kawalan pendikit “Ride-by-Wire”, Ducati Traction Control (DCT) dan lampu hadapan LED, adalah di antara perincian yang telah disertakan. Paparan digital sepenuhnya yang terdapat di atas motosikal Ducati ini juga tampak amat menarik sekali.

Bahagian pembrekannya, terutamanya di bahagian hadapan telah dikemaskini bagi disesuaikan dengan casis baru Scrambler ini yang lebih besar dan lebih panjang. Ducati telah melengkapkan sebuah angkup Brembo Monobloc M4.32 bagi mengendali cakera berkembar 320mm yang telah dipaut pada sepasang fork hadapan boleh laras sepenuhnya 45mm Marzocchi. Bahagian belakangnya pula telah dikendali oleh penyerap hentakan boleh laras sepenuhnya Kayaba.

Sepasang roda 18 inci (hadapan) dan 17 inci (belakang) telah dilitupi dengan tayar premium Pirelli MT60 RS untuk cengkaman serta prestasi optimum. Dengan berat bersihnya di bawah paras 190kg, kami menganggapkannya sebagai sebuah jentera yang mampu menangani sebarang keadaan menunggang.

Bagi dua model yang lain itu, model Special dilengkapi dengan roda berjejari manakala model Sport pula telah dilengkapkan dengan sepasang roda aloi yang ringan. Pakej suspensi bagi model standard dan Special kekal sama tetapi sekiranya anda memilih model Scrambler 1100 Sport, anda akan dihadiahkan dengan suspensi Ohlins.

Masih tiada lagi berita mengenai harganya. Untuk sebarang perkembangan terkini, pastikan anda terus bersama kami di MotoMalaya.

Selain itu, Ducati juga turut memperkenalkan sebuah motosikal Ducati Scrambler Desert Sled 2018 yang baru dengan kemasan grafik yang baru dinamakan “Shining Black”. Walaupun namanya biasa-biasa sahaja, skema warnanya bertepatan sekali untuk motosikal ini.

DUCATI SCRAMBLER 1100 2018

DUCATI SCRAMBLER 1100 SPECIAL 2018

DUCATI SCRAMBLER 1100 SPORT 2018

 

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]