Malaysian Cub Prix: Pusingan Kedua Terakhir Di Pulau Pinang Dibatalkan Akibat Cuaca Buruk

 

  • Pusingan ke-sembilan bagi PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix 2017 yang telah dijadualkan pada hari ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk yang melampau.
  • Hujan tanpa henti selama beberapa jam dan angin yang kuat telah melanda bahagian pulau dan tanah besar negeri itu yang telah menyebabkan ramai terkandas akibat air yang telah meningkat naik.
  • Pusingan terakhir bagi Malaysian Cub Prix 2017 akan diadakan di Bandar Penawar, Johor pada 18 dan 19 November 2017.

Cuaca yang buruk beserta hujan lebat tanpa henti berjam-jam lamanya telah memaksa para penganjur dan promoter bagi Kejohanan PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix 2017 untuk secara dukacitanya membatalkan pusingan kedua terakhir bagi musim tahun ini. Hujan ribut yang melebihi 17 jam telah membadai negeri Pulau Pinang di mana keadaan cuaca yang melampau itu juga turut telah memporak-perandakan litar perlumbaan dan tapak acara lewat malam semalam.

Pusingan yang ke-sembilan bagi Kejohanan Malaysian Cub Prix 2017 yang telah dijadualkan untuk berlangsung pada hari ini berdekatan dengan Stadium Batu Kawan. Berikutan keadaan cuaca yang tidak dijangkakan itu, petugas perlumbaan AAM telah memeriksa litar berkenaan pada awal pagi hari ini dan mengumumkan akibat kuasa alam semulajadi yang tidak dapat dielakkan (force majuere), sebahagian besar daripada litar sementara yang berada berdekatan dengan Kompleks Sukan Batu Kawan berkenaan diisytihar tidak selamat untuk perlumbaan.

Sebahagian besar daripada bahagian pulau dan tanah besar di negeri Pulau Pinang itu telah dibadai dengan cuaca yang melampau yang telah menyebabkan jalan-jalan utama serta lebuh raya ditutup akibat banjir. Pihak berkuasa serta para sukarelawan telah tiba memberikan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terperangkap di dalam situasi ini.


Berbalik kepada Kejohanan Malaysian Cub Prix pula, kejohanan ini akan diteruskan ke pusingan yang terakhir di Bandar Penawar, Johor dalam masa dua minggu, pada 18 dan 19 November 2017. Kami mendoakan keselamatan ke semua yang terkesan akibat bencana alam yang tidak diduga ini.

 

 

Leave a Reply