Yamaha Pratontonkan Motosikal Yamaha YZF-R6 2017 Semasa MotoGP Sepang

  • Pusingan MotoGP Malaysia 2017 baru-baru ini telah menyaksikan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) membuat sebuah pratonton motosikal Yamaha YZF-R6.
  • Terletak di dalam astaka gergasi di kawasan Mall Area dalam Litar Antarabangsa Sepang, motosikal R6 yang terbaru itu telah diletakkan bersebelahan dengan motosikal Yamaha YZF-R1S.
  • Motosikal Yamaha SCR950, XSR700, MT-03, dan MT-07 Tracer 2017 juga turut diperagakan bagi menghiburkan dan mengujakan para pengunjung.

Sewaktu pusingan Shell Malaysia MotoGP baru-baru ini yang telah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sebaik sahaja anda memarkir kenderaan anda sehinggalah sewaktu anda kembali kepada kenderaan anda sesudah selesainya semua perlumbaan. Sejurus sahaja anda memasuki kawasan Welcome Area, anda disambut dengan pelbagai khemah, aktiviti dan bermacam-macam lagi sewaktu anda menuju ke kawasan Mall Area.

Salah sebuah khemah yang terbesar semasa hujung minggu berkenaan adalah tidak lain dan tidak bukan khemah Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM). Dengan astakanya yang amat besar, memperagakan motosikal replika Movistar Yamaha M1 tunggangan Maverick Vinales bagi memberi peluang buat pengunjung untuk bergambar bersama, kami perasan yang terdapat beberapa buah motosikal baru yang masih belum boleh didapati di negara kita ini. Salah satu daripada motosikal tersebut adalah motosikal Yamaha YZF-R6 2017.

Jentera supersport kelas pertengahan terbaru oleh Yamaha itu telah diperkenalkan lewat tahun lalu dan telah mendapat sambutan hangat di seluruh dunia disebabkan oleh prestasinya yang menakjubkan serta pakej keserbabolehannya yang kompak itu. Jika dinilai hanya pada rupanya di depan mata, motosikal YZF-R6 2017 ini tampak seperti sebuah permainan dan bukannya jentera berprestasi tinggi, NAMUN, jangan pandangnya dengan sebelah mata. Di sebalik rupanya, berselindung kuasa yang amat ketara.

Dijana oleh enjin empat silinder, sejukan cecair, DOHC, 599cc yang dibikin semula, motosikal R6 yang baru ini menghasilkan sehingga 116.8hp pada
14,500rpm dan 61.7Nm tork maksima apabila ia mencecah 10,500rpm. Dilengkapi dengan injap titanium, omboh yang ditempa, gerek silinder seramik-komposit saduran-terus, enjin ini dihasilkan untuk menjana kuasa maksima dari pakej yang ringan dan minima.

Walaupun Yamaha boleh melakukan sesuatu bagi menjadikan ekzos titaniumnya lebih cantik dan sepadan dengan temanya canggih, ianya telah direka untuk pemusatan jisim yang optimum. Tambahannya, ianya juga merumahkan EXUP (Exhaust Ultimate Power Valve) Yamaha yang menawarkan jangkauan kuasa yang lebih luas serta lebih mengujakan buat penunggang.

Lebih menggiurkan lagi, kelengkapan dari motosikal Yamaha YZF-R1 juga telah dilengkapkan pada motosikal R6 ini bagi memastikan prestasi, pengendalian, dan pengalaman penunggangan keseluruhan yang lebih baik. Kelengkapan-kelengkapan ini terdiri daripada pakej suspensi, brek, serta penggayaan yang juga telah diinspirasikan daripada motosikal untuk perlumbaan sahaja yang berlegenda, Yamaha M1.

Dari segi harganya, kita telah sedia maklum yang motosikal Yamaha YZF-R6 2017 ini telah diletakkan harganya di pasaran Amerika pada tanda harga $12,199 (sekitar RM51,571 selepas pertukaran terus). Sekiranya motosikal ini dibawa masuk ke Malaysia, kami tidak akan terkejut jika harganya melepasi paras RM80,000. Walau apa pun jua, ianya sebuah motosikal yang cukup cantik sekali (jika tidak diambil kira ekzosnya).

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Yamaha YZF-R6 2017, TEKAN SINI.

Motosikal-motosikal lain yang juga turut dipratontonkan di astaka Yamaha adalah Yamaha YZF-R1S, MT-03, MT-07 Tracer, SCR 950, dan XSR700. Ke semua motosikal ini sudah pasti akan mengujakan kita JIKA ianya di bawa masuk dalam masa terdekat. Hanya masa sahaja yang dapat menentukan sekiranya ianya sekadar angan-angan mahu pun kenyataan.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.