- Dani Pedrosa akan bermula dari petak pertama di MotoGP Malaysia 2017 esok.
- Sesi 15 minit yang mengujakan ini telah menyaksikan pendahulu kejohanan, Marc Marquez terbabas.
- Tempat pertama sehingga ke-sepuluh hanya dipisahkan dengan catatan masa kurang daripada satu saat.
Dani Pedrosa telah berjaya mendapat tempat di petak pertama bagi pusingan Shell Malaysian MotoGP 2017 selepas satu sesi kelayakan yang amat mengujakan.
Berlangsung di bawah terik bahang matahari, para penunggang telah melakukan yang sehabis baik bagi mendapatkan masa yng terpantas, dan ini telah menghasilkan pertukaran penunggang bersilih ganti di posisi yang didambakan sebelum ianya ditentukan pada saat-saat yang terakhir.
Terdapat juga beberapa insiden yang telah berlaku, salah satu daripadanya semasa pendahulu kejohanan, Marc Marquez terbabas di selekoh terakhir
sewaktu pusingan kelayakannya yang pertama, setelah memasuki selekoh berkenaan terlalu laju. Dia baru sahaja mengelakkan dirinya dari terbabas sewaktu sesi Latihan Bebas 4. Dengan pantas Marquez menghidupkan semula motosikalnya dan menuju kembali ke kawasan pit untuk mendapatkan motosikal simpanannya. Dia kembali semula beberapa minit sebelum tamatnya sesi Kelayakan 2, namun hanya mampu mendapat tempat yang ke-enam di atas grid.
Sementara semua orang sibuk dengan insiden yang menimpa Marquez, Johann Zarco telah menyelinap masuk dan berjaya mendapat petak pertama. Zarco telah memenangi perlumbaan Moto2 di Malaysia sejak dua tahun yang lalu.
Di belakang penunggang dari Perancis itu, Maverick Vinales, Valentino Rossi, Dani Pedrosa, Jorge Lorenzo, dan Andrea Dovizioso yang sedang berusaha untuk memenangi takhta kejohanan dunianya yang pertama dan 11 mata di belakang Marquez bertarung untuk mendapatkan tempat pertama itu.
Rossi yang mula menyingkirkan Zarco dari tempat teratas, mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin, sebelum masanya dipintas oleh Dovizioso. Namun, sewaktu kamera tertumpu pada “Desmo” Dovi, muncul pula Pedrosa yang mencatatkan masa terpantasnya 1’59.212.
Kemudiannya Zarco muncul kembali dan memperbaiki masanya serta menyingkirkan Dovi ke tempat yang ke-tiga.
Petak pertama sehingga ke-10 hanya telah dipisahkan dengan catatan masa kurang daripada satu saat.
Satu perkara yang perlu kita ketahui mengenai MotoGP Malaysia ialah kita tidak dapat menjangka bagaimana kesudahan perlumbaannya nanti. Dan sekiranya sesi kelayakan hari ini adalah bayangannya, sudah pasti kita bakal menyaksikan satu perlumbaan yang amat mengujakan esok!