- Motosikal Honda Gold Wing 2018 terkini telah pun dilancarkan secara rasmi di Pertunjukan Motor Tokyo 2017.
- Akan terdapat dua buah model yang akan disediakan; motosikal Honda Gold Wing 2018 yang berinspirasikan motosikal bagger dan sebuah motosikal super touring, Honda Gold Wing Tourer.
- Honda telah menetapkan harga bagi generasi keenam motosikal Gold Wing ini bermula dari $23,500 (kira-kira RM99,534) sehingga $27,700 (kira-kira RM117,323).
Honda baru sahaja memperkenalkan motosikal Honda Gold Wing 2018 terbaru mereka di Pertunjukan Motor Tokyo. Ianya merupakan motosikal cruiser kontinental generasi keenam keluaran Honda yang telah dilengkapi dengan pelbagai kemaskini sehinggakan anda boleh menganggapnya sebagai sebuah jentera yang serba baru.
Akan terdapat dua buah model yang berbeza yang akan disediakan, Honda Gold Wing 2018 yang berilhamkan motosikal bagger dan juga sebuah motosikal touring, Honda Gold Wing Tour 2018. Jika dilihat pada rekaannya itu, tidak syak lagi yang kedua-duanya adalah motosikal serba baru yang dibina daripada mula, dan bukan sekadar yang telah dikemaskini.
Malah, enjin enam-silindernya juga merupakan enjin yang baru yang terletak betul-betul di tengah badan motosikal yang amat kemas dan padat itu. Berbanding dengan motosikal gergasi generasi sebelumnya, motosikal Gold Wing 2018 baru ini agak ringan dengan perbezaan beratnya melebihi 40kg.
Rekaan semula serta pengurangan beratnya itu terpapar merentasi keseluruhan jentera ini, dengan bantuan pakej suspensi ala-Hossack yang serba baru, penjana kuasa yang ringan tetapi berkuasa, serta bahagian-bahagian yang diperbuat daripada bahan-bahan yang ringan dan tahan lasak. Pakej enam-silinder melintang bertentangan masih lagi dikekalkan tetapi ianya telah dipertingkatkan dengan empat injap bagi setiap silinder.
Dengan beratnya yang telah dikurangkan itu, motosikal Gold Wing terbaru ini pasti lebih lincah lagi berbanding dengan yang terdahulu. Sebagai bonus tambahan, Honda juga turut mempertingkatkan lagi aerodinamik jentera terkini mereka ini bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan penjimatan bahanapi yang lebih tinggi (peningkatan sebanyak 20%).
Motosikal Honda Gold Wing 2018 juga didatangkan dengan sistem DCT (Dual Clutch Transmission – Transmisi Dwi Klac) Honda yang terkini sebagai satu kelengkapan tambahan yang menjanjikan peningkatan yang boleh dirasai pada pengalaman penunggangan keseluruhan. Sistem yang baru ini membolehkan kecekapan transmisi yang lebih baik untuk lebih memudahka penggunaannya, terutamanya sewaktu pengembaraan jarak jauh.
Ciri-ciri hebat yang lain termasuklah sistem pendikit “Ride-by-Wire“, mod penunggangan boleh pilih beserta dengan kawalan cengkaman, lampu LED keseluruhan, kawalan bersiar, bantuan mendaki, dan sistem infotainmen penuh (Apple CarPlay dan GPS disertakan!).
Honda telah meletakkan harga bagi motosikal Honda Gold Wing 2018 dari $23,500 (sekitar RM99,534 selepas pertukaran terus matawang). Jika anda
tambah sejumlah $1,200 (kira-kira RM5,082).sistem Honda DCT dengan transmisi tujuh-kelajuan akan disertakan sebagai kelengkapan tambahan. Bagi motosikal Honda Gold Wing Tour pula, ianya dinilai pada harga $26,700 (sekitar RM113,087) dan $27,700 (sekitar RM117,323) bagi motosikal Tour lengkap dengan sistem DCT.
Terdapat juga sebuah motosikal Honda Gold Wing 2018 edisi DCT Beg Udara yang berharga $31,500 (sekitar RM133,418), sekiranya anda inginkan sesuatu dengan ciri keselamatan tambahan. Generasi terkini motosikal Gold Wing ini akan boleh didapti di seluruh dunia secara berperingkat pada suku pertama tahun 2018.