Ducati 900 SuperSport – 10 Perkara yang Perlu Anda Tahu

900 SuperSport S 2017

 

  • Motosikal Ducati 900 SuperSport baru sahaja dilancarkan.
  • Motosikal Ducati SuperSport mempunyai keturunan yang panjang serta menarik.
  • Ducati kini mempunyai sebuah motosikal yang ‘sporty‘ dan praktikal.

Ducati Malaysia baru sahaja melancarkan motosikal Ducati 900 SuperSport 2017.

Juga dikenali sebagai motosikal SS, nama SuperSport ini kaya dengan warisan yang gemilang. Di sini kami senarai 10 perkara yang perlu anda tahu mengenai motosikal 900 SuperSport ini.

1. WARISAN

Ianya bermula pada tahun 1972, sewaktu Paul Smart dan Bruno Spaggiari masing-masing menunggang sebuah motosikal prototaip Super Sport yang didasarkan daripada motosikal 750 GT, memenangi tempat pertama dan kedua di Imola 200. Enjin V-Twin berinjap-desmodromic itu telah direka oleh pereka tersohor, Fabio “Dr. T” Taglioni (laman saudara kami, Bikes Republic, telah menulis mengenai pereka terkenal ini bagi siri “Top Motorcycle Designer“. TEKAN SINI untuk membaca mengenainya).

Paul Smart di /imola 1972

Keputusan perlumbaan itu telah membawa beberapa kepentingan iaitu: 1. Ducati telah meningkatkan taraf mereka sebagai pembikin motosikal superbike; 2. Penggunaan sistem desmodromic (desmo) dalam hampir ke semua motosikal keluaran Ducati selepas itu; 3. Motosikal superbike Ducati pada era berkenaan telah dinamakan Super Sport.

Sistem injap Desmodromic

2. MIKE HAILWOOD

“Mike the Bike” kembali semula ke perlumbaan motosikal pada tahun 1978 selepas senggang masa selama 11 tahun, menyertai perlumbaan Formula 1 Isle of Man TT, dan memenanginya dengan bergaya sekali di atas jentera Ducati 900SS.

Mik Hailwood di Isle of Man TT pada tahun 1978

Pada tahun berikutnya, motosikal 900 Super Sport telah diwarnakan dengan warna hitam dengan jalur emas, tetapi sebuah motosikal Replika Mike Hailwood edisi terhad juga telah dihasilkan, lengkap dengan skema warna hijau dan merah.

ReplikaMike Hailwood 900 Super Sport 1979

 

 

3. MOTOSIKAL 900SS TAMBURINI

Dikenali sebagai “Michaelangelo of motorcycles”, Massimo Tamburini menyertai Cagiva Group pada tahun 1985; Pada waktu itu, Cagiva telah pun memperolehi Ducati.

Motosikal Ducati pertama rekaan Tamburini adalah motosikal Paso 750 yang telah membuat kemunculannya pada tahun 1986. Bercirikan bahagian hadapan dan belakang yang ‘berkotak’, beserta dengan bahagian badan yang melitup kemas di sekeliling bahagian mekanikal motosikal berkenaan.

Paso 750 tahun 1986

Mengambil ilham dari motosikal Paso berkenaan, dia kemudiannya telah mereka motosikal superbike 851 untuk tahun 1987. Motosikal 851 merupakan motosikal Ducati yang telah memulakan dominasi jenama Itali berkenaan dalam siri World Superbike.

Ducati 851 SP3

Dan dari rekaan motosikal 851 berkenaan, motosikal 900 SuperSport telah dilahirkan semula pada tahun 1988. Pada waktu inilah nama SS ini mula
dipromosikan oleh Ducati. Dengan enjin 904cc, sejukan udara, dua injap, 90-darjah, V-Twin “Desmodue” yang didasarkan daripada motosikal Pantah, beserta dengan ‘crankcase‘ yang berasal dari motosikal 851. Enjin ini juga kemudiannya akan menjana motosikal M900 Il Monstro.

Ducati 900SS 1991

Namun, ianya pada tahun 1991 yang menyaksikan motosikal 900SS ini semakin mendapat perhatian ramai. Di antara tahun 1991 hingga 1998, terdapat begitu banyak versi istimewa, termasuklah versi SP (Sport Production), CR, dan yang teramat seksi, SL (SuperLight). Walaupun ianya didasarkan daripada rekaan motosikal 851, motosikal SS ini jauh lebih praktikal untuk penunggangan harian dan touring hingga ke satu peringkat. Posisi menunggangnya tidak begitu memenatkan, ianya lebih tegak.

900SS SuperLight

Jualan motosikal 900SS mula merudum pada tahun 1997, disebabkan oleh motosikal Monster dan motosikal superbike 916/996/998 yang semakin meningkat popular. Ducati telah menawarkan 900SS FE (Final Edition) pada tahun 1998.

Ducati 900SS FE (Final Edition) 1998

Para penggemar motosikal pada era itu pasti akan mengingati motosikal 900SS sebagai motosikal Ducati dengan deraman ekzos bak gunung berapi.

4. KEMEROSOTAN SUPERSPORT

Tamburini telah membuat keputusan untuk kekal bersama Cagiva yang pada masa itu menumpukan perhatian pada MV Agusta, Menjadikan Pierre Terblanche sebagai ketua jabatan rekaan di Ducati.

Terblanche telah mereka motosikal SuperSport bagi tahun 1999, yang telah diilhamkan daripada motosikal Supermono yang telah direka olehnya beberapa tahun lebih awal. Rekaannya itu menyimpang jauh daripada apa yang biasa dilihat oleh para penggemar Ducati (Ducatisti) dan ianya mendapat tentangan yang hebat dari sesetengah pihak.

900SS 1999

Motosikal SS berkenaan telah dipertingkatkan kapasiti enjinnya ke 1000cc, namun, dengan jualannya yang menjunam, model ini telah ditamatkan pada tahun 2007.

5. MOTOSIKAL DUCATI SUPERSPORT 2017 SERBA BARU

Ducati telah memperkenalkan motosikal SuperSport 2017 di Intermot 2016.

Ducati mempunyai rangkaian yang meluas di hampir setiap segmen, namun, terdapat satu kekosongan yang amat terang sekali dalam segmen “motosikal superbike kegunaan harian”. Ducati mempunyai Multistrada bagi kedua-dua segmen sport-touring dan adventure-touring. Motosikal Panigale pula merupakan motosikal lumbanya yang sejati. Motosikal Monster pula lebih kepada motosikal lumba naked yang lebih praktikal, namun tidak sesuai untuk kegunaan pengembaraan. Motosikal Scrambler pula lebih kepada sebuah motosikal moden klasik. Motosikal Diavel adalah sebuah motosikal power-cruiser.

Hasilnya, lahirlah motosikal ini. Tetapi apakah nama yang patut diberikan padanya? Sudah semestinya SuperSport!

6. POSISI MENUNGGANG

Tarikan utama buat motosikal 900 SuperSport 2017 ini adalah posisi menunggangnya – ‘sporty‘ dan pada masa yang sama, selesa.

Seperti yang dinyatakan di atas, Ducati telah mengambil kira permintaan para pembeli motosikal dan telah membina sebuah motosikal yang praktikal untuk kegunaan harian, ‘sporty‘ untuk tunggangan riadah hujung minggu, selesa untuk pengembaraan jarak jauh, dan cukup pantas untuk hari litar.

Seperti motosikal 900SS tahun 1991 hingga 1998.

7. AGIHAN KUASA YANG DITALA SEMULA

Enjin 900 SuperSport yang baru ini merupakan enjin yang sama dengan motosikal 939 Hypermotard, iaitu enjin Testastretta 937cc, tetapi, telah ditala semula untuk tork pada tahap rendah dan lebih luas teragih di sepanjang rangkaian enjinnya. 80% daripada 96.7Nm tork motosikal ini boleh didapati dari hanya 3000rpm sahaja.

Tork rendah dan peringkat pertengahan adalah yang terpenting sekali semasa anda menunggangnya di atas jalan raya, kerana ia membolehkan cubaan memotong lebih mudah, selain daripada tidak mengganggu tumpuan anda dan menjimatkan tenaga anda daripada perlu menukar gear dengan kerap. Tambahan pula, tork yang membolehkan sebuah motosikal untuk mengangkut pembonceng dan bagasi dengan mudah.

Dan walaupun 113hp mungkin tidak kedengaran begitu gah di atas kertas, ianya lebih berkuasa berbanding dengan motosikal superbike 916 tahun 1994.

Enjin 900 SuperSport

8. PENUNGGANGAN HARIAN/PENGEMBARAAN

Ia mungkin kelihatan seperti sebuah Panigale, tetapi palang pemegang ‘clip-on‘nya diletakkan tinggi, tempat letak kakinya lebih rendah, serta penghadang anginnya boleh dilaras sebanyak 50mm. Ducati juga menawarkan “Touring Pack”, yang juga dilengkapi oleh sepasang pannier separa keras, penghadang angin yang lebih besar dan juga penggenggam yang dipanaskan.

Pannier yang terdapat dengan “Touring Pack”

9. TUNGGANGAN LUMBA/ “CANYON BLASTING”

Ducati juga turut menawarkan “Sport Pack”, yang dilengkapi dengan madgad hadapan karbon, penutup tangki bahanapi karbon, kit tuil perlumbaan bersendi, dan penutup ‘billet‘ aluminium untuk takungan cecair brek hadapan dan juga belakang.

10. VERSI

Motosikal Ducati SuperSport 2017 ini ditawarkan dalam dua varian.

Motosikal SuperSport S telah dilengkapkan dengan fork hadapan 48mm boleh laras sepenuhnya Ohlins beserta dengan penyerap hentakan belakang Ohlins. Ia juga bercirikan ‘quickshifter‘ yang berfungsi untuk menukar ke gear yang lebih tinggi dan juga ke gear yang lebih rendah. Oleh dengan itu, klac hanya digunakan sewaktu bermula dan berhenti. Motosikal SuperSport S didatangkan dalam warna Ducati Red dan Star White Silk. Penutup pelana belakang dengan warna yang sama turut disertakan.

900 SuperSport S 2017

Model SuperSport asas dilengkapi dengan fork hadapan 41mm boleh laras sepenuhnya Marzocchi serta penyerap hentakan belakang Sachs yang boleh dilaras secara pra-muatan dan lantunan sahaja. Ianya didatangkan dalam skema warna dua tona Ducati Red dan Saturn Grey. Pemilik boleh memilih untuk melengkapkannya dengan ‘quickshifter‘ dari SuperSport S.

Ducati SuperSport 2017

Kedua-dua model ini dilengkapi dengan ABS hadapan dan juga belakang, mod penunggangan, serta Ducati Traction Control sebagai sebahagian daripada Ducati Safety Pack.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]