- Pasukan Petronas Raceline Malaysia akan berpisah dengan Hafizh Syahrin pada tahun 2018.
- Hafizh Syahrin telah berjaya menaiki podium sebanyak dua kali pada tahun ini.
- Dia juga telah bersama dengan pasukan Petronas Raceline Malaysia sejak 10 tahun yang lalu.
Kuala Lumpur, 20 OKTOBER 2017 – Pasukan PETRONAS RACELINE MALAYSIA telah mengumumkan bahawa Hafizh Syahrin tidak akan bersama pasukan itu bagi siri Moto2 musim 2018, selepas kerjasama yang menakjubkan selama 10 tahun. (TEKAN SINI untuk melayari laman Facebook rasmi Petronas Raceline Malaysia.)
Pasukan PETRONAS RACELINE MALAYSIA telah mempunyai hubungan kerjasama yang amat berjaya bersama dengan Hafizh Syahrin, bermula dari tahun 2007, sewaktu penunggang muda ini membuat kemunculan sulungnya di kejohanan PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix. Barry Leong, yang merupakan Ketua Pasukan (Team Principal) pada ketika itu, telah mencungkil bakat bintang perlumbaan ini sewaktu dia sedang bersaing dalam Liga Pocket Bike.
“Ianya satu perjalanan yang cukup menakjubkan, menyaksikan peningkatan Hafizh di sepanjang kerjayanya bermula dari kejohanan PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix, maju ke hadapan di kelas yang berlainan, dan kemudiannya berpindah ke siri Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia (Asia Road Racing Championship). Hafizh, di bawah pasukan PETRONAS RACELINE MALAYSIA, kemudiannya telah menyertai Australian Formula Extreme Championship pada tahun 2011, sebelum kami berpindah untuk berlumba dalam siri FIM CEV Championship di Sepanyol” ujar Barry.
“Ianya sememangnya satu penghormatan serta keistimewaan buat kami sebagai sebuah pasukan, berpeluang untuk maju bersama Hafizh. Saya telah mengenali dan membimbingnya sejak dia berusia 12 tahun, seorang kanak-kanak yang berbakat besar dalam perlumbaan, dan kini, sebagai seorang pemuda yang penuh semangat. Walau bagaimana pun, setiap permulaan pasti akan ada pengakhirannya, dan kami secara bersama telah mencapai persetujuan yang disenangi kedua-dua belah pihak” ujarnya.
“Malaysia masih mempunyai ramai bakat muda tempatan yang belum ditemui, menantikan masa. Pasukan Raceline akan terus membangunkan serta mengasah bakat-bakat muda ini dan menetapkan matlamat yang tinggi bagi memaksimakan sepenuhnya potensi mereka” tambahnya lagi.
Hafizh Syahrin telah berjaya merangkul penamat di atas podium dalam siri Moto2 ini, termasuklah dua kali pada tahun ini, di mana salah satunya berjaya dikecapinya di Motegi pada minggu lalu. Gelaran “Pescao” diperolehi Syahrin semasa dia bertanding dalam Kejohanan CEV di Sepanyol. Menurut penunggang itu, oleh kerana prestasinya yang lebih menyerlah dalam cuaca basah, ahli kru-nya telah menamakannya “Pescao”, yang membawa maksud ‘ikan’ dalam bahasa Sepanyol. Bertepatan dengan nama gelarannya itu, penamat podiumnya sering kali datang semasa berlumba dalam keadaan cuaca yang basah.
Sejak kemunculan penuhnya pada musim 2014, Hafizh secara berperingkat telah memperbaiki kedudukan keseluruhannya – di tangga ke-19 pada tahun 2014, ke-16 pada tahun 2015, ke-9 pada tahun 2016, dan kini pada tangga ke-9 dengan baki tiga pusingan.
TEKAN SINI untuk melayari laman Facebook rasmi Hafizh Syahrin.