Kawasaki ZX-10RR 2018 Diperkenalkan – “Jika Ianya Tidak Rosak, Jangan Betulkannya!”

 

  • Kawasaki baru sahaja melancarkan motosikal terbaru mereka, Kawasaki ZX-10RR 2018 yang secara amnya mengandungi pertukaran dua warna pada komponennya.
  • Motosikal ZX-10RR ini masih menggunakan enjin DOHC, empat-selari, sejukan cecair, 998cc, sedia perlumbaanya itu yang telah diperhalusi sedikit untuk reliabiliti dan prestasi yang lebih baik.
  • Generasi terbaru ZX-10RR ini telah diletakkan harganya bermula dari £16,249 (sekitar RM90,959) di pasaran United Kingdom (UK).


Kawasaki baru sahaja memperkenalkan motosikal superbike generasi terkini mereka, Kawasaki ZX-10RR 2018. Dipandang tinggi sebagai salah sebuah motosikal superbike terbaik yang ada pada masa kini dan telah terbukti kehebatannya dikemudi oleh Juara Dunia WorldSBK , Jonathan Rea dari pasukan Kawasaki Racing Team (KRT), evolusi terbaru ini secara amnya mengandungi ‘pertukaran dua warna pada komponennya’.

Berdasarkan pada gambar yang menunjukkan motosikal ZX-10RR yang baru itu, kedua-dua pertukaran warna itu adalah pada kanister takungan fork hadapan (yang ditukarkan dari warna merah ke warna perak) dan penutup atas fork (dari warna merah ke hijau). Dengan pakejnya yang amat menakjubkan dan penguasaan mutlaknya dalam siri WorldSBK pada musim tahun ini, “Team Green” berpegang teguh pada pepatah “Jika ianya tidak rosak, jangan betulkannya.

Buat setakat ini dalam musim WorldSBK yang masih lagi berlangsung, jentera Kawasaki ZX-10RR yang dikemudi oleh penunggang-penunggang pasukan KRT, iaitu Jonathan Rea dan Tom Sykes telah merangkul 13 kemenangan perlumbaan daripada 11 pusingan (22 perlumbaan) dan sejumlah 35 penamat di atas podium. Sememangnya satu jumlah yang amat mengagumkan.

Menurut Pengarah Kawasaki Motors Europe, Morihiro Ikoma, dia berkata “Dikemudi oleh para penunggang pasukan KRT kami, Jonathan Rea dan Tom Sykes, motosikal Ninja ZX-10RR telah mengecapi kemenangan Superpole, pusingan terpantas, kemenangan perlumbaan, dan yang paling penting sekali, takhta WorldSBK 2017 dalam tahun pertama pengeluarannya. Bagi para pasukan perlumbaan motosikal, penggemar hari litar, dan juga penunggang motosikal di jalan raya, motosikal Ninja ZX-10RR 2018 ini melambangkan pakej prestasi hebat dan sebuah asas yang sesuai untuk kejayaan perlumbaan.”

Motosikal ZX-10RR ini masih lagi menggunakan enjin DOHC, empat-selari, sejukan cecair, 998cc yang sedia perlumbaan, yang telah diperhalusi sedikit bagi prestasi dan reliabiliti yang lebih baik semasa memecut di atas litar pada kelajuan yang tinggi. Secara keseluruhannya, motosikal terbaru dari Kawasaki ini menghasilkan sehingga 207hp pada tahap 13,000rpm (dengan udara RAM) dan 113.5Nm tork maksima apabila mencecah tahap 11,500rpm.

Ciri-ciri hebat yang lain adalah KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System), ABS, suspensi ‘back-link‘ melintang, KLCM (Kawasaki Launch Control Mode), IMU (Inertial Measurement Unit), injap pendikit elektronik, KCMF (Kawasaki Cornering Management Function), S-KTRC (Sport-Kawasaki Traction Control), mod kuasa dan pelbagai lagi ciri-ciri yang menakjubkan.

Buat masa ini, motosikal Kawasaki ZX-10RR 2018 ini telah diletakkan harganya bermula dari £16,249 (kira-kira RM90,959) di UK tetapi sekiranya ianya di bawa masuk ke dalam negara kita, kami tidak akan terkejut sekiranya ianya melebihi tahap RM100,000. Ianya boleh didapati dalam pilihan warna Ebony sahaja buat masa ini.

https://youtu.be/SMS9Bl753hk

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Kawasaki ZX-10RR 2018, TEKAN SINI.

Sumber: Kawasaki

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]