Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah
- CGK (Choppers Garage Kelantan) telah membuat permohonan maaf kepada kerajaan Thailand.
- Ini berikutan video yang menunjukkan marsyalnya sedang menghentikan lalulintas.
- Apakah tindak balas yang mungkin terjadi akibat kejadian ini?
Tahun lalu, kami baru sahaja mendaftar masuk ke suite bulan madu kami, menyegarkan diri dan sedang dalam usaha mencari skuter untuk disewa untuk tujuan bersiar-siar apabila kami ternampak berita yang tersiar di kaca TV: “Penunggang motosikal dari Malaysia ditembak mati” di Hatyai. (TEKAN SINI untuk membaca liputannya.)
Kami batalkan rancangan untuk bersiar menaiki skuter pada petang itu, walaupun kami sedar yang kami bertindak terlampau berhati-hati. Tetapi, sepasti manakah kami kerana kami kini berada di negara lain di mana komunikasi dengan warga tempatan terbatas disebabkan bahasa yang berbeza? Yang budaya dan tahap sensitivitinya berbeza daripada kita?
Pihak polis Thai bertindak dengan pantas dan telah menangkap penembak berkenaan. Motif kejadian itu adalah kerana dia tidak “suka akan cara penunggang (Malaysia) menunggang motosikalnya.”
Saya juga telah berada di Phuket dua bulan sebelum kejadian menembak itu, pada kali pertamanya untuk Phuket Bike Week dan yang berikutnya untuk satu tunggangan seminggu kemudian.
Kami sedang meliputi kemeriahan pada ‘bike week‘ berkenaan apabila sebuah video yang diambil oleh pemandu Thai menggunakan ‘dashcam‘nya telah disebarkan di laman Facebook, menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal Malaysia menghentikan lalulintas di persimpangan bagi membolehkan penunggang dalam kumpulan mereka melaluinya. Dia bagaimanapun, amat sopan dalam komennya, mengharapkan kejadian ini tidak akan berulang di masa hadapan.
Tetapi, pada perjalanan ke Phuket dua minggu kemudian, dalam kumpulan kami terdapat seorang penunggang yang berlumba dengan setiap warga Thai yang telah memotongnya. Alasannya, kerana takut malu akibat kalah dengan skuter 100cc di atas motosikal lumba naked 1000cc-nya. Tambahan pula, terdapat beberapa yang tidak henti-henti mengganggu wanita muda Thai yang menunggang skuter mereka sejak kami melintasi sempadan lagi, sehinggalah sampai ke Phuket, dan kembali semula. Kami telah memberi amaran kepada mereka ini, tetapi kalau ianya sudah menjadi kebiasaan mereka, agak sukar untuk
dibendung, bukan? Yang pasti saya tidak akan menunggang bersama-sama mereka lagi.
Saya ingatkan setakat itulah sahaja masalah ini.
Kemudian, muncul pula video ini di saluran Channel 7 News di Thailand, hanya beberapa minggu yang lalu.
Dirakam oleh ‘dashcam‘ pemandu Thai yang berlainan, ia menunjukkan empat penunggang motosikal Malaysia menghalang satu persimpangan supaya rakan- rakan mereka dapat melanggar lampu isyarat merah.
https://youtu.be/GfiIOMw9cKM
Bertali arus kritikan dihambur dalam media sosial. Mereka yang tidak menunggang menggelar penunggang-penunggang ini dengan nama yang tidak diingini, malah ada sesetengah daripada mereka mengkritik ke semua penunggang motosikal Malaysia. Para penunggang motosikal juga turut serta mengkritik mereka ini, sebahagian daripada usaha mereka untuk menjarakkan diri mereka daripada tindakan yang mementingkan diri ini.
Penyekatan lalulintas oleh marsyal, kecuali oleh polis, telah pun diharamkan di Malaysia oleh pihak berkuasa, jadi apakah yang bermain di fikiran mereka ini yang membuatkan mereka fikir yang mereka boleh melakukannya di Thailand?
Mereka bukan sahaja mencemarkan reputasi para penunggang motosikal, malah nama negara keseluruhannya juga turut terpalit akibat aksi mereka ini.
Namun begitu, ada juga segelintir yang cuba menegakkan benang yang basah, dengan mendakwa yang warga Thai memandu secara sewenang-wenangnya di bandar sempadan kita. Tetapi, ada mereka hentikan lalulintas bagi membolehkan rakan mereka menunggang tanpa berhenti? Ada bukti video?
Saya sering kali bertemu dengan pemandu-pemandu berkenaan di jalan raya dan ya, memang mereka LAJU. Tetapi mereka tidak menghalang lalulintas, berlumba dengan pemandu tempatan atau mengganggu cik adik dan awek-awek kita.
Kita semua pernah lihat betapa semberononya cara sesetengah mat salleh di Thai dan perlakuan mereka terhadap warga Thai atau pun mana-mana
masyarakat di negara membangun, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak pernah mengganggu lalulintas seperti mana yang telah dilakukan oleh mereka ini.
Malah, kami pernah bertembung dengan ahli kumpulan Bandidos MC sewaktu Phuket Bike Week, sebuah kumpulan motosikal ‘1-percenter‘ dengan kaitan dengan kumpulan motosikal “Hell’s Angels”, tetapi mereka juga tidak menghentikan lalulintas untuk rakan-rakan mereka.
Marsyal-marsyal berkenaan merupakan sebahagian daripada kumpulan dari Choppers Garage Kelantan (CGK). Mereka telah pun melakukan perkara yang sebaiknya dengan menghantarkan surt permohonan maaf rasmi kepada Konsulat Thai di Malaysia. (TEKAN SINI untuk laporannya di MyMetro.)
Tetapi, bagaimana pula dengan tindak balas akibat kejadian ini? Adakah ianya selesai semudah ini? Saya tertanya-tanya sama ada permohonan maaf ini telah disebarkan di saluran TV Thai sama sekali.
Warga Thai adalah antara orang yang paling ramah di seluruh dunia. Kebanyakannya, jika tidak semuanya, akan berbesar hati menerima kedatangan anda, cocok dengan timangan mereka “The Land of Smiles”. Pergilah ke tempat seperti Buriram atau Chiang Mai dan mereka pasti akan menyapa anda setiap kali berjumpa. Anak-anak sekolah tersenyum dan melambai apabila melihat anda menunggang motosikal besar. Pemilik restoran menyambut anda di premis mereka dengan ‘wai’ dan menundukkan kepala mereka, anda dilayan bak seorang raja.
Pelancongan menyumbang sehingga lebih daripada 10% ekonomi Thailand dan ianya sesuatu yang penduduk tempatannya sedia maklum. Kebanyakan daripada mereka akan menutup sebelah mata pada ‘tradisi’ biadab sesetengah pelancong. Pihak polis juga lebih lembut hati dengan para pelawat.
Pada ketika ini, pelancong China telah mengambil alih sebagai pengunjung utama ke negara itu. Menurut laman sesawang Persatuan Agen Pelancongan Thai (TEKAN SINI untuk maklumat lanjut), pelancong China merangkumi sehingga 59.29%, bersamaan dengan 2,576,129 pengunjung, dari 1 Januari hingga 30 September pada tahun ini sahaja. Namun kegagalan mereka untuk menghormati tradisi tempatan telah membuatkan penduduk Thailand untuk bertindak balas. Pelancong dari China kini perlu dipandu masuk ke dalam Thailand.
Pelancong Malaysia pula menyumbang jumlah pelawat yang lebih kecil ke negara itu, 26,723 orang pengunjung telah melintasi sempadan dalam tempoh masa yang sama, namun, warga Thai tetap menganggap kita orang Malaysia sebagai sahabat dari jauh. Sering mereka bertanya, “Anda dari mana?” dan akan tampak riang sewaktu kita sebut, “Malaysia”.
Tetapi, jika kita berterusan untuk melayani mereka dengan rasa angkuh, apa yang dapat menghentikan mereka daripada melayani kita seperti mana yang telah dihadapi oleh pengunjung dari China dari Timur Tengah sebelum ini? atau menyaksikan kebenaran untuk memasuki negara itu diperketatkan atau disukarkan urusan kita oleh badan penguatkuasaan Thailand?
Atau lebih buruk lagi, berdepan dengan muncung pistol Beretta 9mm.
Apa yang kita mahu? Adakah kita mahu jadi seorang penunggang motosikal yang bertamadun, berpengetahuan, dan sopan? Atau adakah kita mahu menjadi seperti orang gasar di atas kuda besi? jika sesiapa memilih pilihan yang kedua, tolong tanggalkan nombor pendaftaran Malaysia atau pun apa-apa sahaja yang boleh mengenal pasti anda sebagai rakyat Malaysia.
Semoga kita mendapat iktibar daripada kejadian ini.