- Sejumlah hampir 500 sut hujan GIVI palsu telah dirampas dalam satu serbuan pagi ini.
- Serbuan itu dijalankan oleh pegawai KPDNKK bersama dengan wakil dari GIVI Asia Sdn. Bhd.
- Pemilik perniagaan berkenaan telah menjual produk palsu ini di atas talian.
Kepong, Kuala Lumpur, 4 Oktober 2017 – Satu serbuan telah dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK), di bawah bidang kuasa Tuan Haji Wan Mohd. Yusof bin W. Taib, Ketua Pegawai Penguasaan KPDNKK bagi Wilayah Persekutuan.
Pemegang amanah jenama GIVI telah memaklumkan KPDNKK setelah mengetahui suspek menjual sut hujan GIVI palsu di platform membeli-belah di atas talian, 11street.com.
KPDNKK terus bertindak dengan mengawasi modus operandi pemilik perniagaan itu sejak Mei 2017, dan mendapat tahu bahawa dia telah menyimpan sut hujan GIVI palsu di premis peribadinya sebelum memindahkannya ke sebuah gudang sewaan di Kepong di mana mereka akan menghantarnya kepada para pembeli.
Sejumlah sembilan orang pegawai beruniform KPDNKK telah menyerbu gudang tersebut pada jam 11 pagi, di mana mereka mendapati gudang tersebut berkunci dengan akses kad kunci. Wakil daripada GIVI yang hadir telah memperkenalkan diri kepada pekerja di premis berkenaan namun mereka tidak dibenarkan masuk. Pemilik perniagaan berkenaan muncul 15 minit kemudian dan diminta membenarkan para pegawai KPDNKK untuk memasuki premis berkenaan.
Sesudah masuk, pegawai KPDNKK telah memanggil wakil GIVI bagi mengenalpasti produk tersebut, di mana pada waktu ini, pemilik perniagaan berkenaan telah bertindak agresif dan memutuskan bekalan kuasa, dalam satu cubaan untuk melarikan produk palsu berkenaan melalui pintu belakang. Dia juga cuba menimbulkan tindak balas daripada kumpulan serbuan itu dengan ugutan yang dia ditemani oleh ahli kumpulan gangster dalam dua buah kereta yang menanti dan bersedia untuk campur tangan.
Satu rundingan diadakan di antara pegawai, wakil GIVI dan ahli perniagaan berkenaan, dengan hasil perbincangan itu adalah rampasan sut hujan GIVI palsu serta denda yang berat dikenakan.
Pemilik berkenaan akan didakwa di bawah seksyen 8(2), Akta Perihal Perdagangan 2011, berkaitan barangan palsu dengan pencabulan harta benda intelektual.
Di bawah akta ini, pemilik perniagaan berkenaan berhadapan dengan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang, atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan pertama.
Sejumlah 445 pasang sut hujan GIVI palsu telah dirampas, bernilai RM22,500 di pasaran.
Nasihat kami: Beli barangan GIVI dari kedai konsep GIVI Point atau melalui pengedar GIVI yang sah. Sila layari laman Facebook rasmi GIVI Malaysia (TEKAN SINI) bagi mengenalpasti barangan yang tulen. Dan ingat, sekiranya barangan itu teramat murah, sudah pasti ianya bukan yang tulen.