MV Agusta Dan Lewis Hamilton Memperkenalkan MV Agusta F4 LH44 Edisi Terhad

  • Juara Formula 1, Lewis Hamilton, telah memperbaharui kontraknya bersama MV Agusta dan mengesahkannya dengan memperkenalkan MV Agusta F4 LH44 Edisi Terhad.
  • Diinspirasikan oleh citarasa dan kegemaran Lewis Hamilton dari segi rekaan dan prestasi, motosikal F4 LH44 yang amat terhad itu didatangkan dengan pelbagai penaiktarafan yang menarik.
  • Hanya 44 buah model sahaja akan dikeluarkan dan harganya dikatakan terletak pada sekitar RM200,000.

 

Selepas tersebarnya berita baru-baru ini berkaitan dengan bintang F1, Lewis Hamilton, yang telah memperbaharui kontraknya bersama dengan pengeluar motosikal premium Itali, MV Agusta, dan mereka kini telah mengesahkannya dengan memperkenalkan sebuah motosikal superbike yang baru dan teramat terhad, MV Agusta F4 LH44.

Motosikal MV Agusta F4 LH44 itu didatangkan dengan kemasan grafik yang serba baru yang menepati citarasa dan gaya motosikal Lewis Hamilton. Selain daripada rupa luarannya yang menawan, motosikal F4 edisi terhad ini juga dilengkapi dengan pakej kit perlumbaan MV Agusta yang dikatakan telah meningkatkan hasil kuasa motosikal itu sehingga 212hp.

Satu lagi penambahan besar yang ketara adalah ekzos titanium SC Project yang menggantikan ekzos empat-paip ‘undertail‘ standardnya yang mengagumkan. Ekzos satu kanister itu bukan sekadar hiasan sahaja kerana ianya mempunyai spesifikasi yang hampir sama dengan ekzos yang digunakan pada motosikal Leon Camier dalam siri WorldSBK.

Pakej suspensi keseluruhannya juga telah menerima penaiktarafan keseluruhan yang super premium. Pada bahagian hadapannya, sepasang fork bersadur TiN Ohlins NIX 30 telah dipasang manakala penyerap hentakan Ohlins TTX 36 pula melengkapi bahagian belakangnya. Ianya sebuah pakej yang amat baik sekali, lebih-lebih lagi jika anda mahu menunggang sepantas Lewis di atas kereta lumba F1-nya ketika di atas litar.

Seberapa istimewakah motosikal MV Agusta F4 LH44 ini? Motosikal MV Agusta F4 LH44 ini amat istimewa sekali kerana hanya 44 buah sahaja yang akan dihasilkan. Harga motosikal ini masih belum diputuskan buat masa ini, namun, berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, kami tidak akan hairan sekiranya ianya mencecah angka sehingga RM200,00.

Sumber : MV Agusta

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]