- Menurut sebuah pos yang telah dimuat naik baru-baru ini oleh seorang pengguna yang prihatin, Lebuhraya MEX (Maju Expressway) berselerak dengan paku, skru, dan dawai yang mana berkemungkinan boleh mendatangkan kecelakaan.
- Encik Zul Mamu melaporkan penemuannya itu di laman Facebook berkenaan dengan segala serpihan yang boleh menyebabkan kemalangan dari plaza tol Salak Selatan sehingga ke laluan keluar Seri Kembangan.
- Kami berharap kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menangani keadaan ini dengan secepat mungkin bagi memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini pada ribuan pengguna jalan raya yang berulang alik di atas jalan raya berkenaan setiap hari.
Menurut sebuah pos yang dibuat baru-baru ini oleh seorang pengguna yang prihatin yang tidak bernasib baik telah mengalami kebocoran tayar, Encik Zul Mamu telah memerhatikan satu pemandangan yang membimbangkan di mana Lebuhraya MEX berselerak dengan serpihan yang berpotensi mengakibatkan kecelakaan buat ribuan penggunanya.
Menurut saudara Zul yang telah memuat naik pos mengenai penemuan ngerinya itu di laman kumpulan Facebook Jual Beli SuperBike/ Barang SBK, tayar belakangnya telah dibocori oleh dawai besi yang terdapat di sisi kiri lebuh raya berkenaan. Mujur bagi Encik Zul, dia dilengkapi dengan segala peralatan yang diperlukan untuk memperbaiki kerosakan itu dan meneruskan perjalanannya ke tempat kerja di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Sebagai seorang penunggang yang prihatin, Encik Zul atau lebih mesra dikenali sebagai “Mamu” memutuskan untuk menyiasat sendiri berapa banyakkah serpihan yang merbahaya ini yang terdapat di atas Lebuhraya MEX dari plaza tol Salak Selatan hingga ke laluan keluar Seri Kembangan.
Hasilnya? Sebakul PENUH dengan paku, skru, dawai besi dan bahagian keluli yang lain berselerak di merata-rata tempat terutamanya di bahagian paling kiri serta laluan kecemasan. Dia melaporkan penemuannya itu di media sosial dan kami merasakan yang kita semua perlu memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat yang membimbangkan ini untuk keselamatan orang awam terutamanya para penunggang motosikal.
Memikirkan tayar yang bocor sahaja lebih dari cukup untuk menyusahkan hari sesiapa sahaja tetapi sekiranya tayar itu bocor pada kelajuan lebuhraya, kemungkinan yang ianya menyebabkan insiden yang lebih buruk amatlah tinggi. Berdasarkan pada barangan yang dijumpai oleh Encik Zul, terdapat kemungkinan yang ianya adalah perbuatan khianat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang sama ada ingin menangguk di air keruh atau pun menyebabkan kecelakaan dengan sengaja.
Atau mungkin sekali ianya sampah sarap yang berterbangan dari lori sampah yang menggunakan lebuh raya berkenaan. Apa yang pasti ialah pengguna jalan raya perlulah sentiasa peka sepanjang masa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Kami di MotoMalaya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Zul Mamu atas usahanya memastikan jalan raya berkenaan bersih serta selamat buat pengguna jalanraya lain dengan mengalihkan serpihan yang merbahaya daripada lebuhraya itu. Kami berharap yang pihak berkuasa berkenaan dapat menangani masalah ini dengan secepat mungkin sebelum ianya menjadi lebih teruk.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pos asalnya, TEKAN SINI.