- Distinguished Gentlemen’s Ride Kuala Lumpur 2017 (DGR KL 2017) telah menyaksikan lebih daripada 500 orang peserta yang segak bergaya menyertai penunggangan untuk satu tujuan yang baik.
- Para peserta yang berpakaian segak bergaya telah menunggang motosikal kesayangan masing-masing dari motosikal Vespa yang vintaj hinggalah ke motosikal cruiser yang dikhususkan bermula dari Triumph Fast Bikes, Petaling Jaya hingga ke IOI City Mall, Putrajaya.
- Bahagian Kuala Lumpur telah berjaya mengutip derma dalam jumlah melebihi USD2,000 (sekitar RM8,000) bagi menyokong badan kebajikan berkaitan kesihatan lelaki dan juga pencegahan pembunuhan diri untuk platform tempatan dan juga antarabangsa.
Lebih daripada 500 orang peserta berpakaian segak bergaya telah menunggangi motosikal vintaj dan moden klasik mereka bagi acara Distinguished Gentlemne’s Ride Kuala Lumpur 2017 tahun ini. Bahagian Kuala Lumpur telah dikelolai oleh sebuah kumpulan tempatan, Naked13, di mana para peserta yang berpakaian segak telah memulakan penunggangan dari Triumph Fast Bikes, Petaling Jaya hingga ke IOI City Mall, Putrajaya.
Seperti yang dinyatakan di atas, lebih daripada 500 orang peserta telah mendaftarkan diri untuk tunggangan DGR Kuala Lumpur tahun ini dan secara keseluruhannya telah berjaya mengumpul derma dalam jumlah melebihi USD2,000 (kira-kira RM8,000) untuk badan kebajikan yang didokongi oleh acara Distinguished Gentlemen’s Ride ini.
Cuaca pada hari berkenaan cukup baik sekali untuk acara setahun sekali ini, dengan matahari yang tersergam indah di angkasa dan langit biru yang terpampang luas sejauh mata memandang. Penggemar permotoran dari jauh dan juga dekat telah hadir kemas dan segak, sedia menunggang di atas jalan raya mengemudi motosikal kesayangan mereka, sama ada ianya motosikal Vespa yang vintaj, atau ‘chopper‘ yang dikhususkan, hinggalah cruiser yang gila-gila.
Ianya merupakan pemandangan yang indah yang dapat ditatapi oleh peminat DGR dan juga para penonton yang bernasib baik dapat menyaksikan konvoi besar-besaran itu. Semestinya ianya adalah salah satu acara amal yang paling bergaya dan juga lain daripada yang lain yang terdapat di dalam negara kita ini.
Secara keseluruhannya, lebih daripada 90,000 orang penunggang di seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam acara DGR tahun ini dengan jumlah dana terkumpul sebanyak USD4,285,236 (kira-kira RM17.9 juta) yang mana tidak jauh dari sasaran yang telah mereka tetapkan iaitu USD5 juta. Semua ini menjadi kenyataan dengan bantuan penyokong utama acara tunggangan ini, Triumph Motorcycles, Zenith Watches dan Hedon Helmets.
Distinguished Gentlemen’s Ride atau lebih dikenali sebagai DGR merupakan satu acara amal antarabangsa yang mendokong program kesihatan lelaki, Movember Foundation. Ke semua dana akan disalurkan sepenuhnya untuk penyelidikan kanser prostat di kedua-dua platform tempatan dan antarabangsa. Bagi menjadikan dana ini lebih berguna, pencegahan pembunuhan diri juga telah ditambah di bawah senarainya.
Pengasas acara ini, Mark Hawwa dari Australia, telah diinspirasikan oleh watak Don Draper dari siri televisyen terkenal, Mad Men. Sebuah gambar Don Draper di atas sebuah motosikal klasik berpakaian segak bergaya telah menimbulkan idea bagi acara ini.
Dia menganjurkan acara tunggangan bertema ini dengan harapan untuk mengubah persepsi negatif tentang lelaki yang gemar menunggang motosikal dan pada masa yang sama menyatukan komuniti motosikal untuk satu tujuan yang mulia.
Beleklah galeri gambaar di bawah dari acara tunggangan Distinguished Gentlemen’s Ride Kuala Lumpur 2017 di bawah ini!