- Honda telah memperkenalkan sebuah video usikan baru dengan cogan kata “What Lies Beyond” yang menandakan pelancaran sebuah motosikal baru pada 24 Oktober 2017.
- Video pendek ini mengusik perasaan semua penunggang motosikal berkenaan dengan sebab dan perasaan yang berkaitan dengan penunggangan.
- Video usikan ini akan didatangkan dalam lima bahagian berbeza yang mana ianya menandakan kemungkinan lebih daripada sebuah model 2018 yang akan dilancarkan Honda.
Honda Motorcycles telah mengeluarkan sebuah video usikan dengan ‘hash tag‘ #WhatLiesBeyond, memberi isyarat bahawa sebuah motosikal serba baru bakal dilancarkan pada 24 Oktober 2017. Tarikh itu hanya beberapa hari sahaja sebelum hujung minggu MotoGP di Sepang, Malaysia dan sekitar waktu yang sama dengan acara yang bakal dilangsungkan, Honda Asian Journey.
Walaupun kita masih belum benar-benar pasti tentang apa-apa pun mengenai motosikal besar baru dari Honda ini, kami pasti yang ianya untuk meningkatkan lagi pengalaman menunggang di atas lebuh raya dengan pengembaraan dan perjalanan yang akan mengujakan mana-mana penggemar permotoran. Semestinya ianya satu cara yang baik untuk membakar semangat para penggemar permotoran di luar sana.
Berdasarkan pada isi kandungan video berkenaan, kami beranggapan yang ianya merupakan sebuah motosikal jalanan yang serba baru, barang kali sebuah motosikal cruiser atau pun ‘touring‘. Kehadiran motosikal Goldwing dan NC700X juga menjadi sebahagian daripada petunjuk yang dapat dilihat dalam video ini. Satu lagi perkara yang dapat kami sahkan berdasarkan video usikan berkenaan yang akan didatangkan dalam lima bahagian berbeza, jadi, ia sudah pasti bukannya motosikal yang sedia ada dengan hanya kemaskini kecil bagi tahun 2018.
Kami tidak dapat mengatakannya dengan pasti tetapi berdasarkan video usikan yang pertama ini, kemungkinan lebih dari sebuah motosikal Honda 2018 yang akan diperkenalkan. Kami mempunyai firasat yang kuat mengatakan bahawa ianya salah satu daripada pelbagai model 2018 yang akan diperkenalkan pada tarikh yang dinyatakan dalam video itu diikuti oleh beberapa model yang lain pada penghujung tahun semasa Pertunjukan EICMA di Milan, Itali.
https://youtu.be/9H8GNPYbGTw
Walau apapun, satu perkara yang pasti; ianya tidak membosankan. Jadi, sabarlah menanti tarikh 24 Oktober 2017 dan ketahuilah “What Lies Beyond“.
Buat sementara waktu, beleklah motosikal “Lifestyle” dari Boon Siew Honda, iaitu Honda MSX125 dan Honda Rebel 500 2017 dengan menekan SINI.
Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.