VIDEO Usikan Triumph Bonneville Speedmaster 2018 Dilancarkan!

 

Triumph telah melancarkan satu video usikan pendek yang menandakan pelancaran yang akan datang bagi Triumph Bonneville Speedmaster 2018 pada 3 Oktober 2017.
Pengeluar motosikal premium British itu memilih untuk menghidupkan semula model Speedmaster yang pada mulanya dilancarkan pada tahun 2002.
Kami menganggap yang model Speedmaster terbaru ini akan menggunakan enjin terbaru 1,200cc mirip motosikal Thruxton dan Bobber.


Tibanya tarikh 3 Oktober 2017 nanti, Triumph akan memperkenalkan tambahan terkini bagi rangkaian Bonneville, iaitu Triumph Boneville Speedmaster 2018 yang baru. Pengeluar dari Britain itu telah mengumumkannya melalui sebuah video usikan pendek yang menunjukkan hanya nama serta tarikhnya sahaja.

Motosikal Bonneville terbaru ini dikatakan akan membawa perwatakan British dengan gaya pengkhususan klasik serta kebolehan yang mendahului kelasnya. Apa yang dapat kami andaikan dari kenyataan ini adalah motosikal Speedmaster yang baru ini akan menjadi tawaran terbaru motosikal moden klasik dari Triumph yang diterapkan dengan teknologi terkini mereka.


Peminat Triumph pasti sudah sedia maklum bahawa nama Speedmaster bukanlah suatu nama yang baru. Motosikal cruiser Speedmaster yang pertama telah dikeluarkan pada tahun 2002 di mana ianya dijana oleh enjin 790cc yang dinaik taraf pada kali terakhirnya pada tahun 2005 ke 865cc. Tekaan kami, bagi model Speedmaster 2018 ini ianya akan mengikuti jejak langkah motosikal Thruxton dan Bobber yang menggunakan enjin 1,200cc, sejukan cecair generasi berikutnya milik Triumph.

Triumph Speedmaster 2005

Tarikh yang telah dipilih itu menandakan yang Triumph ingin mengelakkan pertunjukan motosikal antarabangsa utama seperti EICMA bagi memastikan motosikal terbaru mereka itu mendapat sambutan yang hangat dan tidak akan ditenggelami dengan pelancaran-pelancaran hebat yang lain yang sering kali diadakan pada pertunjukan motosikal besar-besaran yang utama sebegini.

Walau apapun sebabnya, kita hanya mampu menunggu ketibaan tarikh 3 Oktober 2017. Berdasarkan nama dan model yang telah dipilih oleh Triumph untuk dihidupkan semula, kami berasa amat pasti yang mereka mempunyai sesuatu yang hebat untuk dipersembahkan kepada kita semua nanti apabila tiba masanya nanti. Apa yang mampu kita lakukan adalah menanti dengan tekun.

Teruskan bersama MotoMalaya bagi perkembangan terkini segenap dunia permotoran.

 

Leave a Reply