- Para pembina yang berada di Krautmotors dari Jerman telah membina sebuah skuter elektrik buatan khas BMW C Evolution yang dinamakan “E-LisaBad”.
- Ditugaskan oleh BMW Motorrad sendiri, pembina buatan khas utama kelahiran Jerman, Rolf Reick, berjaya membina salah sebuah motosikal elektrik buatan khas yang tercantik sekali sepanjang zaman.
- Direndahkan serta dilengkapkan dengan tayar perlumbaan yang licik, skuter BMW C Evolution ini menghasilkan sekitar 72Nm tork dengan serta merta; 9Nm lebih daripada skuter BMW C650 Sport.
Sekilas pandang motosikal ini dan anda pasti dapat membayangkan masa hadapan motosikal elektrik yang sedang menuju haluan yang betul. Apa yang telah bermula sebagai sebuah skuter elektrik BMW C Evolution, telah berubah kepada sebuah ciptaan dua roda BMW Motorrad yang telah dikhususkan oleh para bijak pandai di Krautmotors.
Digelar “E-LisaBad”, skuter BMW C Evolution yang dikhususkan ini tampak lebih seakan sebuah jentera selinap ketenteraan yang dirahsiakan, dibina bagi mengucar-ngacirkan sasaran yang tidak akan sedar kehadirannya sehinggalah ia menghentamnya. Motosikal ini diperkenalkan pada hujung minggu yang lalu di Berlin sewaktu festival Pure & Crafted.
Bagi mengetahui bagaimana rupa skuter elektrik BMW C Evolution yang standard, saksikanlah video di bawah.
Dengan bentuk berbucu yang unik disertai dengan reraup hitam matte yang mengancam dan kemasan bak batu kasar, “E-lisaBad” menarik perhatian para penggemar motosikal dengan sekelip mata. Kesan itu digandakan lagi apabila mereka menyorot pandangan mereka ke bahagian belakang di mana ke semua bahagian dalaman skuter elektrik BMW C Evolution diperagakan dengan megahnya.
Saintis gila yang bertanggungjawab untuk karya seni bergerak yang mengagumkan ini adalah seorang pembina kelahiran Jerman, Rolf Reick, dari Krautmotors. Reick telah diminta oleh BMW Motorrad sendiri untuk mengetuai pembinaan ini dan dia menghasilkan sebuah jentera yang ulung sekali.
Dengan idea untuk mengubahnya kepada sebuah jentera yang dibuat untuk kelajuan, Reick merendahkan keseluruhan motosikal itu dengan mengeluarkan keseluruhan penyerap hentakan belakangnya dan melengkapkannya dengan tayar perlumbaan ke lengan ayun satu-sisi yang sudah cukup indah itu.
Oleh kerana kerumitan skuter elektrik futuristik ini, penjana kuasa utamanya kekal sama namun dengan sekitar 72Nm tork, skuter C Evolution ini mempunyai dorongan yang lebih baik daripada skuter BMW C650 Sport yang mempunyai 63Nm tork.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai BMW C650 Sport, TEKAN SINI.
Kami boleh terus bercerita berjam-jam mengenai bagaimana motosikal ini melawan arus normal rekaan motosikal semasa, serta imbangan artistik antara bentuk dan fungsi tetapi, bagi kami, biar gambar sahaja yang berkata-kata. Gambar-gambar yang hebat ini ada kisah yang ingin mereka ceritakan mengenai kemungkinan yang hebat yang ada di masa hadapan.
Sumber imej: Marc Holstein