Usaha Valentino Rossi dalam mengejar takhta kejuaraan MotoGP 2017 kini dalam keadaan yang meragukan, apabila juara dunia Sembilan kali itu telah mengalami kecederaan retak tulang tibia dan fibula pada kaki kanannya, berikutan satu kemalangan semasa sesi latihan enduro.
Rossi telah pun menjalani satu pembedahan pada awal pagi , di mana para pakar pembedahan telah memasukkan sebatang ‘meal pin’ bagi menetapkan bahagian yang retak itu. Yamaha tidak lagi dapat menentukan jadual masa kembalinya Rossi ke litar buat masa ini namun Rossi telah menyatakan yang dia akan mencuba yang terbaik untuk kembali pulih.
“Pembedahan itu berjalan dengan lancar,” ujar Rossi. “Pagi ini, sewaktu saya bangun, saya sudah terasa lebih baik. Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada petugas di Ospedall Riuniti di Ancona, dan terutamanya sekali buat Doktor Pascarella yang telah membedah saya.”
“saya berasa amat kesal akan terjadinya inisiden ini. Padawaktu ini, saya ingin sekali kembali di atas motosikal saya secepat yang mungkin. Saya akan melakukan yang terbaik sekali untuk menjadikannya kenyataan!”
Valentino Rossi baru sahaja mendapat tempat ke-tiga di pusingan MotoGP Octo British Grand Prix pada 17 Ogos 2017 yang lalu, dan kini berada di tempat ke-empat dalam tangga kejohanan dengan kutipan mata sebanyak 157 mata, 26 mata di belakang pendahulu kejohanan, Andrea Dovizioso dari Team Ducati MotoGP yang telah pun mengumpul sejumlah 183 mata.
TERKINI DARI YAMAHA MOVISTAR MOTOGP – 1 September 2017
“Semalam, penunggang Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi, telah menjalani satu pembedahan dengan jayanya pada keretakan tulang tibia dan fibula pad kaki sebelah kanannya.”
“Bintang MotoGP berkenaan telah dimasukkan ke dalam hospital selepas satu kemalangan ‘enduro’ yang berlaku pada waktu petang semalam.”
“Setelah menjalani pemeriksaan di ‘Ospedale Civile di Urbino’, di mana dia didianos pada awalnya, penunggang kelahiran Itali itu telah dipindahkan ke ‘Azienda Ospedaliero-Universitaria Ospedali Riuniti’ di Ancona.”
“sejurus tiba, dia telah menjalani pembedahan di antara jam 2 pagi hingga 3 pagi yang diketuai oleh Dr. Raffaele Pascarella, Pengarah Jabatan Ortopedik dan Traumatologi. Semasa pembedahan berkenaan, keretakan itu telah ditetapkan semula kedudukannya menggunakan sebatang pin besi – ‘intramedullary nail’ yang terkunci – tanpa sebarang komplikasi.”
“Perkembangan perubatan selanjutnya akan menyusul pada masa yang bersesuaian.”
“Yamaha ingin mengucapkan jutaan terima kasih untuk keseluruhan petugas di ‘Ospedale Civile di Urbino’ dan juga ‘ Ospedali Riuniti di Ancona’ di atas dedikasi serta tahap penjagaan professional mereka.”